Di mana-mana pentas yang beliau tampil, si ratu ini tidak pernah jemu mengajak pencinta-pencintanya mengalirkan rasa kasih dan cinta terhadap karya-karyanya.

Dek prinsipnya jarang mengadakan persembahan di tempat-tempat terbuka serta sentiasa teliti dalam menghasilkan karya seni menyebabkan kekaguman dan rasa hormat peminat terhadapnya tidak pernah berkurang walau seinci.

Lalu, apabila Sheila mengumumkan kemunculannya di panggung bersejarah, Stadium Negara sempena Sheila Majid; The Concert Kuala Lumpur 2017, itu adalah isyarat untuk semua peminat tegarnya kembali berhimpun untuk menyaksikan satu lagi sejarah dilakar penghibur tersebut.

Justeru, ada benarnya seniwati ini layak sekali berada di kelasnya yang tersendiri.

Malam ajaib Sheila Majid; The Concert Kuala Lumpur 2017 telah merumuskan keberuntungan Sheila disayangi peminat-peminatnya yang merentasi pelbagai kaum, usia dan latar peribadi mereka.

Lalu, ungkapan seperti ‘terima kasih kepada peminat-peminat saya’ dan ‘saya mempunyai peminat yang terbaik di dunia’ adalah terjemahan penghargaan Sheila bagi mereka, kelompok yang menjadi tulang belakang kejayaan menjadi anak seni.

Malam istimewa itu tidak hanya memberi tafsiran Sheila mengenai hala tuju muziknya sebaliknya membawa maksud sebenar sebuah konsert yang selalunya disalah erti bukan sahaja oleh masyarakat, bahkan media.

Selama tiga jam, penonton melihat penghibur itu mewarnakan seluruh pentas dengan energi dan sebuah rangkuman perjalanan panjang seorang diva yang menyerahkan seluruh raganya kepada seni.

Gabungan seluruh harta intelek yang diperjuang Sheila menerusi adunan muzik yang diterajui Mac Chew selaku Pengarah Muzik serta perjalanan konsert pada tangan Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert memberi makna yang sangat mendalam mengenai erti sebuah konsert yang sebenar.

Susunan muzik yang cemerlang pada tangan Mac Chew yang dibantu oleh Jenny Chin dan Datuk Acis turut terkesan dengan pemuzik-pemuzik lain yang terpilih berada di pentas itu termasuk nama-nama besar seperti Steve Thornton, Sham Kamikaze, John Thomas, Ken Chung dan Dean Sim.

Pasukan horn (instrumen tiupan) dan string (instrumen bertali) dan penyanyi latar yang diterbangkan dari Jakarta, Indonesia turut merangsang persembahan Sheila.

Konsert istimewa sempena 32 tahun perjalanan seni Sheila turut menampilkan pemuzik dan komposer ternama Indonesia, Tophati yang mengiringi persembahan dalam satu segmen.

Secara keseluruhannya, segenap aspek diberi penekanan oleh seluruh tenaga produksi termasuk penataan cahaya, pakaian rekaan Michael Ong dan klip-klip video yang menzahirkan sebuah persembahan bertaraf dunia.

dari lubuk hati

Pada konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu, Sheila memberikan energi luar biasa menerusi rangkaian lagu-lagu malar segarnya yang sebetulnya sudah beribu-ribu kali didendangkan tetapi masih belum jemu mengalirkan rasa kepada peminat-peminatnya.

Sebaik membuka panggung dengan lagu Pengemis Muda petanda Sheila Majid; The Concert Kuala Lumpur 2017 adalah kesinambungan kecemerlangan Sheila dalam memberikan sebuah persembahan yang spektakular.

Persembahan pembukaan sang ratu itu diikuti dengan dendangan lagu Embun, Di Dalam Emosi Ini, Fikirkan Dulu, Tua Sebelum Waktu, Gerimis, Kepergianku dan Persis yang mula mengajak penonton untuk kembali menyelak satu demi satu memori-memori indah yang pernah dilakar oleh Sheila sepanjang 32 tahun.

Tidak sekadar memberi tumpuan kepada vokalnya, gema muzik lagu-lagu yang dipersembah oleh Sheila pada malam itu turut membawa dimensi baharu bagi karya-karya yang sudah berpuluh-puluh tahun usianya menerusi susunan muzik yang lebih segar, bersifat remaja dan sangat kontemporari.

Melihat momentum peminat yang begitu teruja dengan persembahannya, Sheila seperti sudah terlupa yang usianya sudah mencecah angka lima siri namun terus ligat dan lincah menguasai pentas.

Tentu sekali ada juga yang mungkin terlupa, wanita yang sedang beraksi di pentas bersejarah itu adalah ibu kepada empat orang cahaya mata namun tiada lelah yang kelihatan, tiada rasa jemu yang ditunjukkan pada wajahnya, sebaliknya hanya kasih dan sayang yang tidak berbelah bagi Sheila pada profesion yang telah membawa dia jauh berkelana merentasi pelbagai pengalaman dan jatuh bangun dalam seni.

Gabungan sentuhan magis

Di hadapan 4,000 penonton termasuk keluarga diraja, tokoh-tokoh korporat ternama tanah air serta rakan-rakan artis seperti Anuar Zain, Afgan dari Indonesia dan ramai lagi, Sheila menggunakan seluruh ruang pentas mengajak pemuja-pemujanya untuk menjadi diri sendiri.

“Akhirnya, terasa bagus benar dapat kembali semula ke sini. Saya amat hargai kehadiran anda di sini. Tiada peraturan dibuat, oleh itu saya cadangkan anda semua menari malam ini,” katanya berceloteh.

Menyedari peluang untuk beraksi di sebuah pentas ikonik seperti Stadium Negara, di bumi kelahiran sendiri agar sukar diperoleh lantaran kepayahan mendapat penaja, lalu Sheila menggunakan sepenuhnya ruang dan kesempatan yang diberikan untuk mendekati peminat-peminatnya.

Di sini dapat dilihat kebijaksanaan penghibur legenda ini yang menggunakan kelebihan personalitinya yang sangat ceria dan humor untuk menarik perhatian peminat-peminatnya.

Nyanyian dari hati Sheila menyebabkan tercetus rasa harmoni antara beliau dengan penonton-penontonnya.

Kalau sudah namanya peminat setia, tentu sekali mereka sentiasa berada di sisi Sheila pada setiap masa senang dan susahnya.

Lalu, apabila alunan Ku Mohon didendangkan Sheila, seakan-akan ada kuasa magnet yang menarik peminat-peminatnya untuk turut mendasari perasaan penghibur kesayangan mereka.

Dan kerana itu, tepuk sanjungan diberikan kepada penghibur itu dengan disambut dengan kecintaan yang mendalam oleh Sheila.

Pada malam istimewa itu juga, Sheila merakamkan penghargaan yang tinggi beliau buat dua insan seni yang banyak memberi inspirasi kepadanya sepanjang bergelar anak seni iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Johan Nawawi.

Buat Allahyarham Johan, Sheila mendedikasikan lagu Jentayu (nyanyian asal duet dengan Nora) sementara buat P. Ramlee, beliau memilih rangkaian lagu-lagu medley seperti Aduh Sayang, Bila Larut Malam dan Jelingan Manja.

Sesuatu yang istimewa juga dapat dilihat pada malam konsert itu apabila Mac Chew memberikan sentuhan magis pada susunan muzik lagu-lagu seperti Warna, Memori, Cinta Jangan Kau Pergi serta lagu-lagu yang dipetik dari album terkini Sheila, Boneka.

Baik Sheila dan Mac Chew, masing-masing menyedari bukan mudah untuk membuat seleksi terbaik daripada ratusan lagu-lagu terbaik yang pernah Sheila rakamkan sepanjang bergelar penyanyi.

“Saya ada lapan album sepanjang tempoh 32 tahun berkecimpung sebagai artis. Saya menyerahkan senarai panjang lagu yang boleh mengisi konsert selama tiga hari kepada pengarah muzik.

“Selepas berbincang kami berhasil mencari jalan penyelesaian dan memilih lagu yang terbaik untuk dipersembah dalam konsert malam ini. Persembahan ini lebih untuk anda dan bukannya mengenai diri saya,” ujar Sheila.

Untuk rekod juga, Stadium Negara merupakan panggung yang sangat sinonim dengan Sheila kerana di situ juga tiga sejarah gemilang dilakarnya iaitu Konsert Legenda pada 1991, Konsert Ratu (1996) dan Konsert Ku Mohon (1999).

Justeru, peluang yang ditawarkan oleh penganjur konsert IME Malaysia diterima dengan hati yang sangat terbuka kerana sudah lama Sheila ‘berhutang’ sebuah pementasan mega dengan peminat-peminat tempatan.

Di hujung malam penuh berbahagia itu, khabar gembira sampai ke telinga wartawan tempatan dengan pengumuman kesediaan IME yang berjanji untuk membawa Sheila berkelana sekali lagi ke Indonesia diikuti Singapura, Los Angeles, London dan Australia untuk mengadakan persembahan di sana.

Menurut Pengarah Serantau IME Malaysia Asia, Howard Kong, jika ada ruang dan kesempatan, penyanyi sehebat Sheila juga akan diusahakan untuk menembusi pasaran Taiwan dan Jepun memandangkan Sheila pernah menempa kemasyhuran di situ.

“Kami percaya artis Malaysia juga boleh dibawa ke luar negara. Untuk Sheila, kami berhasrat untuk merealisasikan siri jelajah dunia 2018 dan 2019,” kata Howard dalam sidang akhbar di akhir konsert tempoh hari.