Amy Mastura 

Akuinya secara jujur, tidak semua lakonan komedi mudah meninggalkan kesan. Biarpun cukup terkenal dengan lawak spontan dan aksi melatahnya, Amy sedar tanggungjawab menjayakan watak komedi itu cukup berat ditambah pula dengan harapan peminat dan pengarah sesebuah karya itu.

“Jangan ingat semua orang suka dengan lawak kita. Sebab itu saya cuba memberikan yang terbaik dengan lakonan yang bersahaja dan tidak terlalu mencuba. Watak komedi pun payah juga sebenarnya.

“Bergantung kepada skrip dan juga mood ketika itu. Alhamdulillah, setakat ini peminat masih menyokong lakonan komedi saya. Saya berterima kasih sangat,” kata pelakon yang cukup popular dengan filem Puteri Impian ini.

Berpuluh-puluh kali, mungkin juga beratus-ratus kali menjayakan watak komedi, jauh di sudut hati ibu kepada dua orang puteri ini mengakui sangat mendambakan watak-watak yang lebih serius.

Tidak berniat untuk menjadi artis yang memilih sebaliknya kata anak seni kelahiran Ipoh, Perak ini, sudah tiba masanya untuk dia melakonkan watak-watak yang memerlukan emosi yang lebih berat.

“Kalau diikutkan hati, memang saya suka membawakan watak-watak ringan lebih senang dan mudah kerana tak payah hendak fikir soal emosi dalaman. Tapi seperti yang saya cakap, watak komedi pun bukan senang.

“Bukan memilih atau demand, saya pun tidak kisah sekiranya tawaran yang datang semuanya watak komedi. Bagi saya itu rezeki yang Allah kurniakan. Saya terima sahaja.

“Cuma kadang-kadang teringin juga watak-watak yang lebih serius. Mungkin ada pengarah atau produser yang berbesar hati ingin merealisasikan impian itu, saya terima dengan hati terbuka,” kata pelakon yang mendirikan rumah tangga dengan Alvin Tham Suffian 17 tahun lalu.

Pertama kali melakonkan watak yang agak serius dalam drama Mencintaimu Mr. Photographer, Amy sebenarnya terkejut apabila menerima tawaran tersebut.

Katanya, dia sendiri tidak percaya tawaran sedemikian diberikan kepadanya.

“Apabila mereka tawarkan saya dengan watak serius, saya sendiri pun tak percaya. Ada juga orang yang yakin dengan bakat saya, kan?

“Cuma apabila dapat peluang saya gunakan dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, peminat positif dengan lakonan saya. Walaupun sedikit ‘jahat’ tapi peminat masih suka,” katanya.

Mengakui rezeki lakonan tidak putus tiba, Amy juga bakal terlibat dengan satu program game show tidak lama lagi.

Bagaimanapun Amy enggan mendedahkan lebih lanjut tentang program tersebut.

“Alhamdulillah, lepas satu drama selesai akan ada tawaran lain yang datang. Kiranya rezeki itu tidak putus. Saya pun kalau boleh tidak mahu mencampur-adukkan kerja.

“Lepas satu drama, baru saya sibukkan diri dengan drama lain. Tak mahu bersimpang-siur jadual. Lagipun pada usia sekarang, lebih baik saya fokus satu-satu. Tak menang tangan nanti,” katanya yang riuh bercerita soal kerjaya.

Karier nyanyian belum berkubur

Tatkala diaju soal single baharu, penyanyi berusia 46 tahun ini sekadar tergelak kecil.

Dia sedar ramai yang merindukan lunak suaranya berkumandang di corong-corong radio.

Bukan tidak mahu mengeluarkan lagu baharu demi kelangsungan kerjaya nyanyiannya cuma kesibukan diri sebagai pelakon sedikit membataskan langkah itu.

Bagi Amy, dia harus bijak menyusun atur langkah seninya.

“Saya masih menerima tawaran nyanyian cuma tidak ‘selebat’ dahulu. Ramai peminat pun asyik tanya soalan sama, bila mahu keluar lagu baharu. Kalau ikut cita-cita itu, memang nak sangat.

“Cuma nak keluar single baharu ini kena pandai susun strategi. Tak boleh main pilih lagu begitu sahaja. Peminat pun sudah pandai sekarang. Insya-Allah, tahun ini saya akan keluar dengan lagu baharu. Tunggu...” katanya yang sentiasa ceria melayan kerenah rakan media.

Berbicara soal usia, Amy turut ditanya apakah dia terfikir untuk bersara daripada dunia seni dan adakah suaminya pernah menyuruhnya menyekat langkahnya?

Seraya tersenyum, dia menafikan semua soalan berkaitan. Tiada istilah berhenti atau bersara daripada dunia seni bagi pemilik nama penuh Amy Mastura Suhaimi ini.

Menurut Amy, dia tidak kenal erti bersara.

“Saya akan terus menyanyi. Saya akan terus berlakon sampai saya tak perlu menggunakan solekan untuk watak hantu,” selorohnya.

Begitu dalam cintanya terhadap dunia seni, tidak berubah walau sebesar zarah.

Malah dengan sokongan keluarga yang tidak pernah putus-putus, Amy sangat bersyukur dengan kehidupan yang dilaluinya.

“Suami tidak pernah ambil kisah dengan yang saya buat sepanjang bergelar anak seni. Dia tidak menghalang dan dia juga tidak menyokong. Apa saya nak buat, dia senyum sahaja,” kata Amy mengakhiri perbualan.