Atlet bola tampar bagi pasukan Amerika Syarikat, David Mckienzie atau nama Islamnya, Mohd. Daud Mckienzie, 36, yang bakal menjadi suami kepada Lana.

Bagi Lana, ada sebab tertentu mengapa dia memilih lelaki luar negara itu berbanding jejaka tempatan yang lebih arif dengan budaya timur dan adat Melayu khususnya.

Jelas wanita ini, apa yang terjadi semuanya sudah dijodohkan. Hatta bercinta dengan lelaki tempatan walau 10 setahun sekalipun, tetapi jika tiada jodoh tetap tidak akan bersama.

“Bukan saya pilih untuk bersuamikan jejaka luar negara. Tetapi, satu firasat dalam diri yang mengatakan bahawa Mohd. Daud adalah yang terbaik buat diri saya,” jelasnya.

Tambah Lana, keyakinannya untuk menerima lamaran jejaka ini bertambah apabila Mohd. Daud sendiri menyatakan bahawa dia mahu memeluk Islam.

“Saya ada beritahu pada dia, jika mahu berkahwin dengan seorang Muslim, maka dia perlu memeluk agama Islam terlebih dahulu.

“Malah, ketika kali pertama bertemu dengan dia, saya bertanya sama ada dia tahu atau tidak tentang Islam dan dia memang tahu.

“Rupanya, dia pernah berada di Dubai dan Kuwait selama tujuh tahun dan daripada situ dia tahu tentang Islam, malah pernah membaca al-Quran dalam bahasa Inggeris,” jelasnya.

Lantas, pada 5 Disember tahun lalu, jejaka itu telah memeluk Islam dan menambah keyakinan Lana untuk menjadikan jejaka itu sebagai suaminya.

Bercerita tentang detik perkenalan mereka, jelas Lana, dia mula bertemu dengan Mohd. Daud sewaktu menghadiri satu majlis sukan yang diadakan di Singapura.

Ketika itu, jelasnya, ramai atlet terutamanya dari Amerika Syarikat berkumpul termasuk Mohd. Daud yang merupakan seorang pemain bola tampar bagi pasukan negara Uncle Sam itu.

“Daripada situ, kami berbual-bual dan seterusnya berhubung melalui media sosial dan telefon, akhirnya saya mula terbuka hati padanya.

“Tetapi, sebelum kami bercinta, banyak kali saya cuba uji dia sama ada dia benar-benar serius mahu mempunyai hubungan dengan saya atau sekadar main-main.

“Lagipun, umur saya pun sudah 36 tahun, jadi sudah tidak ada masa untuk saya bermain-main lagi. Saya tidak mahu bercinta kemudian putus lagi,” jelas wanita berasal dari Kuching, Sarawak ini.

Mengenali lelaki itu, jelas Lana, dia sudah biasa ke luar negara dan bertemu dengan lelaki luar yang kebanyakannya mempunyai sikap dan perangai yang lebih kurang.

“Berbeza dengan Mohd. Daud, walaupun dia bukan beragama Islam, tetapi dia tidak minum mahupun merokok memandangkan dia seorang atlet.

“Lagipun, dia sudah biasa dengan budaya Asia kerana ibunya sendiri adalah orang Filipina dan juga merupakan atlet bola tampar.

“Jadi untuk dia terkena kejutan budaya saya rasa tidak. Tambahan, dia memang suka masakan tempatan yang pedas,” jelas Lana tersenyum.

Sambung kerjaya di Amerika

Bercerita tentang kerjayanya, jelas Lana, dia masih meneruskan lakonan tetapi akan lebih memilih untuk menyesuaikan jadualnya.

“Saya akan lebih memilih sebab saya perlu mengikut jadual bakal suami saya. Kadang-kadang dia perlu berada di luar negara untuk latihan dan sebagainya.

“Jadi, dia sudah pesan, selepas berkahwin, dia mahu saya ikut ke mana sahaja yang dia akan pergi,” jelasnya.

Tambah Lana lagi, Mohd. Daud juga akan cuba memperkenalkan dia dengan rakannya yang merupakan ejen untuk menjadi pelakon di Los Angeles.

“Mungkin kalau ada rezeki, saya akan diperkenalkan dengan rakannya untuk mencuba dunia lakonan di sana.

“Tetapi, itu memerlukan saya untuk menguasai bahasa pasar di sana terlebih dahulu baru saya boleh cuba untuk menjengahkan karier saya di sana,” jelasnya.

Bagi Mohd. Daud sendiri, dia juga tidak akan menghalang Lana jika wanita itu mahu terus menjadikan lakonan sebagai kariernya.

“Jika itu yang dia minat, saya tidak akan halang dan akan memberi dorongan kepadanya,” jelasnya.

Perkahwinan tergesa-gesa

Melihat kepada tarikh perkahwinan mereka yang diaturkan pada 15 Mei depan, jarak waktu itu dirasakan terlalu singkat untuk mengatur sebuah majlis perkahwinan.

Menurut Lana, tarikh yang dipilih itu tidak bermaksud apa-apa sebaliknya kerana tidak mahu melengahkan perkahwinan.

“Jadual Mohd. Daud selepas bulan Jun memerlukan dia untuk berada di Amerika Syarikat bagi menjalani latihan.

“Walaupun agak tergesa-gesa, tetapi saya sendiri tidak mahu melengahkan perkahwinan apatah lagi usia saya sendiri sudah menjangkau angka 36 tahun,” ujarnya.

Tambahnya, memang sukar kerana waktu cuma ada sebulan setengah sahaja memerlukan dia memanggil Bill Bora untuk menguruskan majlis perkahwinannya.

“Kalau saya uruskan seorang memang tidak terkejar kerana keluarga Mohd. Daud sendiri tidak pernah berada di sini. Jadi, saya perlu aturkan semua perkara untuk keluarganya,” jelasnya.

Jelas Lana lagi, dia juga memilih untuk tidak bertunang dan terus bernikah sahaja.

“Ibu bapa saya sudah beritahu kalau sudah suka, tidak payah tunang lagi. Teruskan dengan pernikahan sahaja.

“Lagipun mengenai majlis pertunangan, baru-baru ini saudara mara ada mengadakan majlis pertunangan, jadi saya bawa dia untuk lihat majlis pertunangan.

“Saya bawa dia siap dengan berbaju Melayu semua jadi saya merasakan dia sendiri sudah lihat adat bertunang, itu sudah mencukupi,” jelasnya.