Berpendapat persada seni tempatan amat ‘dahagakan’ pelapis baharu yang berbakat selain mampu mengharumkan nama negara hingga ke peringkat antarabangsa, Black antara golongan penggiat seni yang kini bertungkus lumus mengatur strategi bagi melahirkan generasi baharu bawah tunjuk ajarnya.

Black yang memahat nama dalam program realiti Mentor musim ketiga dilihat antara penyanyi lelaki yang semakin bersinar dengan jenamanya sendiri.

“Sekarang ini memang saya sedang atur langkah untuk mengasah bakat-bakat baharu yang berminat nak jadi penyanyi.

“Sebenarnya penyanyi generasi baharu macam saya inilah yang patutnya ambil inisiatif demi melahirkan legasi bawah kami.

“Sama seperti Datuk M.Nasir dan Ajai, mereka ada anak didik. Jadi saya mahu ikut langkah mereka supaya ilmu yang ada kita dapat kongsi bersama-sama. Kalau tak, bila lagi?” katanya.

Malah kata Black keseriusannya dalam hal itu dibuktikan dengan tertubuhnya syarikat rakaman sendiri iaitu Nyawablack Music serta label pengurusan, Blackcira Solution.

“Nyawablack Music merupakan syarikat rakaman baharu untuk industri tempatan yang dikelolakan oleh saya.

“Fokus kami bukan sahaja mencari artis daripada program realiti tetapi juga buat mereka yang memang tiada asas dalam nyanyian, saya akan ajar dan gilap bakat mereka.

“Ketika ini artis bawah naungan label saya ialah Syeera Mentor Milenia, Afiff Sola dan Nuzul,” jelasnya lagi.

Sementara itu, penyanyi lagu Mana Mungkin itu turut mempelawa mereka yang berumur 13 tahun hingga 35 tahun untuk menyertai satu uji bakat yang bakal diadakan tak lama lagi.

“Saya percaya ramai yang ada bakat untuk jadi penghibur dan dengan adanya program realiti yang dianjurkan oleh pihak televisyen sedikit sebanyak beri peluang untuk mereka ke hadapan.

“Tapi mungkin juga ada yang malu dan tak berani nak sertai program seperti itu, jadi inilah masanya untuk mereka kejar impian mahu jadi penyanyi.

“Kami akan kemas kini tarikh dari semasa ke semasa di laman sosial Instagram nyawablack_music,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, usai program Mentor Milenia 2017 berakhir awal Mei lalu, Black sudah menyiapkan single sulung protegenya, Syeera yang memenangi tempat keempat pada program tersebut.

“Single pertama Syeera sudah hampir 70 peratus siap dan kami rancang mahu lancarkan lagu terbabit selepas raya nanti.

“Saya menggunakan beberapa khidmat komposer profesional sebab saya menitikberatkan kualiti serta karya dalam menghasilkan lagu,” ungkapnya.