Sejak merangkul anugerah tersebut, nama wanita berusia 33 tahun ini terus menjadi sebutan dalam kalangan pengkarya filem Melayu. Ternyata itu bukan sekadar disebut-sebut malah khidmatnya sebagai pelakon turut menjadi rebutan.

Terkini, anak jati Kuala Lumpur ini sedang menjalankan penggambaran filem Proksi bersama-sama barisan bintang popular antaranya Ashraff Sinclair, Bront Palarae, Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor dan Faizal Hussein.

Bercerita tentang rezekinya dalam industri filem Melayu, Sangeeta berkongsi rasa teruja dengan yang diperolehnya kini.

“Saya bersyukur kerana rezeki saya dalam pasaran filem Melayu semakin banyak. Mungkin kerana penggiat seni mula mengenali siapa diri saya.

“Selepas filem Adiwiraku, saya ada menjangkakan penglibatan saya akan disedari oleh peminat filem Melayu. Namun tidak pernah terlintas dalam fikiran saya akan diberikan watak utama dalam sebuah filem bajet besar seperti Proksi.

“Saya rasa sangat bertuah apatah lagi berpeluang bergandingan dengan pelakon yang selama ini menjadi pujaan saya,” jelasnya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Proksi baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penglibatannya dalam filem tersebut, Sangeeta menyifatkan cabaran yang diterima menerusi watak Elle membuatkan dia tidak teragak-agak menerima tawaran yang diberikan.

Tambahnya, cabaran bukan sahaja berkaitan watak yang dibawa malah berlakon di samping idolanya, Bront Palarae turut menyumbang kepada cabaran yang bukan calang-calang buatnya.

Selain itu, Sangeeta juga mengakui dia menyatakan persetujuan untuk watak tersebut kerana ingin lari daripada terus terikat dengan watak cikgu yang dilakonkannya sebelum ini.

“Watak Elle iaitu seorang pegawai jenayah siber sangat mencabar dan seratus peratus berbeza dengan watak cikgu yang pernah saya bawakan sebelum ini.

“Selepas tampil dengan Adiwiraku, ke mana sahaja saya pergi orang akan panggil saya cikgu sampai sekarang. Dalam set penggambaran filem Proksi ini juga saya masih dipanggil cikgu.

“Cabaran dan perbezaan ini menjadi alasan kenapa saya tidak mampu menolak tawaran yang diberikan. Tambahan pula saya tidak mahu lagi dikenali hanya dengan watak cikgu sahaja.

“Pun begitu, saya tidak menolak sekiranya ada karya hebat lain yang menawarkan saya watak cikgu. Jika itu sebuah karya yang bagus, kenapa saya perlu tolak?” ujarnya.

Puas hati dengan Proaksi

Tidak ramai yang diberi peluang untuk terlibat dalam sebuah filem berkos besar. Dalam hal ini, Sangeeta meluahkan rasa terharu dan puas kerana terpilih menjadi salah seorang pelakon Proksi.

“Dapat berlakon dalam sebuah filem yang berbajet besar dan karya hebat sememangnya memberikan kepuasan kepada saya memandangkan pengalaman saya dalam filem Melayu masih baharu.

“Pada awalnya saya tidak percaya diberi watak tersebut. Ini kerana saya percaya terdapat ramai lagi pelakon lain yang mampu menjayakan watak ini dengan baik,” jelasnya.

Bagaimanapun bekas pelajar jurusan undang-undang di Universiti London ini mengakui yang dicapai kini belum cukup untuknya berpuas hati meskipun dia sudah meraih anugerah terbaik tahun lalu.

Malah dia mahu terus memberikan hasil yang terbaik kepada setiap karya yang dipertanggungjawabkan demi kepuasan diri, penerbitan dan peminat.