Justeru, bagi pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad, andai peluang sebegitu terbuka kepadanya, dia sama sekali tidak akan menolak.

Melihat rakannya, Nabil Ahmad, berpeluang bertugas pada acara karpet merah sempena Anugerah Academy ke-89 di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini, Fahrin berkongsi rasa teruja dan menyimpan hasrat untuk melalui pengalaman yang sama.

“Bagi saya, peluang yang Nabil dapat itu membuatkan saya rasa kagum. Saya seronok untuknya kerana dia telah melakukan tugas tersebut dengan cukup baik.

“Sebagai rakan, penonton dan orang Malaysia yang mengenalinya, saya gembira melihat dia berada di sana dan dapat bertemu dengan bintang-bintang antarabangsa yang terkenal.

“Sebagai pengacara pula, itu akan menjadi satu kenangan dan profil yang tidak akan dilupakan kerana orang lain tidak mendapat peluang yang sama. Saya nampak dia telah menggunakan peluang tersebut sebaik-baiknya.

“Kalau saya dapat peluang itu, saya (juga) akan pergi, saya tidak akan melepaskannya,” ujar Fahrin.

Sinonim dengan tugasan mengacara program kesukanan sejak akhir-akhir ini, Fahrin tidak mengganggap itu sebagai halangan untuknya menggapai impian itu.

Sebaliknya, pengalaman mengacara pelbagai jenis program suatu masa dahulu menjadi senjata untuk Fahrin bergelar pengacara versatil.

“Pengalaman terdahulu saya sebagai pengacara meliputi pelbagai genre. Jadi jika diberi peluang untuk mengacara program berbentuk hiburan, tidak menjadi masalah kepada saya. Peranan dan skop kerja pengacara tetap sama cuma genrenya sahaja yang berbeza.

“Yang penting apabila ke sana, saya atau mungkin Nabil juga telah tetapkan dalam fikiran, itu bukan tugas sebagai pengacara sahaja tetapi turut membawa nama Malaysia.

“Itu adalah amanah dan tanggungjawab sebenar seorang pengacara,” jelasnya.

Tidak kejar anugerah 

Lari daripada isu pengacaraan, soal anugerah pula menjadi topik bualan dengan pelakon filem Pilot Café ini. Pernah tercalon untuk Anugerah Skrin dan Anugerah Bintang Popular, Fahrin menyifatkan niatnya bergelar anak seni bukan untuk meraih anugerah semata-mata.

“Apabila bercakap tentang anugerah, penilaian individu itu sangat subjektif. Sebagai penonton, kita melihat lakonan pelakon itu sangat hebat. Tetapi pandangan mereka yang profesional, lakonan pelakon tersebut biasa-biasa sahaja.

“Sebab itulah bagi saya, sebagai pelakon, tanggungjawab saya ialah untuk melaksanakan watak yang diberikan dengan baik. Bukan soal anugerah yang menjadi keutamaan.

“Amanah dalam menjalankan tugas perlu dijadikan perkara utama. Apabila kita ikhlas dalam bekerja, soal anugerah dan sebagainya itu akan datang kemudian. Kalau hasil kerja kita dihargai dan layak diberi anugerah adalah satu bonus.

“Selagi saya ada dalam industri tidak kira sebagai pelakon atau pengacara, saya akan buat yang terbaik dalam setiap tugasan yang diamanahkan kepada saya,” ujarnya.

Sementara itu, kelibat Fahrin dalam lapangan seni kebelakangan ini dikatakan agak samar. Sebaliknya Fahrin memilih untuk lebih menonjol sebagai pengacara.

Mengenai hal tersebut, Fahrin akui, selain daripada memilih untuk memberi fokus kepada dunia pengacaraan, persediaan menyambut cahaya mata lima bulan lalu membuatkan dia sukar menerima tawaran berlakon.

“Sebenarnya dalam diri saya ada beberapa bakat yang boleh saya ketengahkan. Kalau tidak berlakon, saya diberi rezeki dalam bidang pengacaraan.

“Perjalanan saya agak perlahan sejak beberapa bulan lalu kerana saya mengehadkan pengambilan tawaran lakonan. Saya membuat keputusan tersebut kerana ketika itu isteri saya bakal bersalin dan saya perlu menyediakan lebih masa untuknya.

“Apabila jarang berlakon, timbul pula rasa rindu untuk berada di lokasi dan muncul dalam televisyen.

“Namun saya bersyukur kerana tawaran untuk saya tidak pernah putus dan sekarang saya sibuk dengan beberapa penggambaran telefilem,” jelasnya.