Kehadiran wanita itu di stesen yang beroperasi di Johor Bahru itu adalah bagi menggantikan tempat Haiza yang menamatkan kontrak bersama radio itu sejak Februari lalu.

Mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan, jelas Zarina, pelbagai perkara dinilai sebelum dia menerima tawaran daripada stesen radio itu.

“Saya mengambil masa selama seminggu untuk memikirkan tawaran tersebut sama ada saya mampu atau tidak untuk berhijrah dari ibu kota ke Johor Bahru.

“Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan apatah lagi menjadi penyampai radio ini memerlukan komitmen kerja yang tinggi,” jelasnya.

Apa yang berlaku kini, jelas Zarina, merupakan salah satu cara untuk dia kembangkan lagi kariernya dalam industri seni tempatan.

Sebelum ini dia memulakan kerjaya sebagai penyanyi, kemudian menceburi pula bidang lakonan dan hanya bidang pengacaraan yang belum dijengahkan kakinya.

“Sepanjang saya dalam bidang seni, tidak pernah saya berpeluang untuk menjadi pengacara. Jadi, peluang menjadi penyampai radio ini ibarat asas pelajaran buat saya untuk jadi pengacara.

“Menjadi penyampai radio dan pengacara bukan mudah sebenarnya. Gaya dan intonasi setiap perkataan perlu betul untuk mencerminkan sesuatu situasi,” katanya.

Tambahnya, orang yang paling gembira bila dia menyatakan akan bekerja di Johor Bahru ialah ibunya yang kini menetap di sana.

“Bila mak dapat tahu saya ditawarkan untuk bekerja di Johor Bahru, memang dia gembira kerana sudah semestinya saya akan tinggal bersamanya.

“Itu yang saya anggap, tawaran yang saya dapat ini semuanya adalah aturan Allah,” katanya yang pernah terlibat dalam program realiti nyanyian Akademi Fantasia, musim kedua.

Ditanya mengenai persediaannya untuk bergelar seorang penyampai radio, bagi Zarina, sudah pasti ada yang cuba membandingkan antara dia dan penyampai sebelum ini.

Seminggu bertugas di konti, wanita ini sudah menjangkakan perkara itu dan menerima setiap teguran dan pandangan dengan positif.

“Setiap teguran dan pandangan yang diberikan, saya gunakan untuk memperbaiki diri. Selain itu, saya juga ada mendengar bagaimana cara penyampai lain bertugas sebagai langkah persediaan,” jelasnya yang mengendalikan program Double Z bersama Zairi setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 hingga 10 pagi.

 

Hubungan matang

Mengakui sedang berhubungan rapat dengan seseorang yang dirahsiakan, Zarina bersyukur kerana hubungan mereka berada di peringkat yang matang.

“Saya ada berkawan rapat dengan seseorang yang tidak boleh diberitahu siapa. Lagipun itu permintaan dia untuk saya sembunyikan identiti dirinya.

“Kami berdua selesa antara satu sama lain. Kalau tanya mengenai kahwin, dia bukanlah jenis individu yang paksa saya untuk berkahwin dengannya.

“Lagipun kami berdua sibuk dengan kerjaya dan kalau ada keputusan yang dibuat antara kami berdua, saya pasti akan beritahu,” jelasnya.

Bercerita mengenai cinta jarak jauh, jelas Zarina, fasa percintaan mereka bukanlah seperti golongan muda lain yang tidak mudah untuk berpisah.

“Hubungan kami berada di tahap yang matang. Jadi perkara remeh seperti hubungan jarak jauh bukanlah sesuatu yang menjadi pertikaian.

“Lagipun, dia sangat menyokong apa yang saya lakukan. Untuk menjadi penyampai radio pun, dia antara yang kuat memberi sokongan,” kata Zarina.

 

Tak berhenti dunia seni

Antara menjadi pelakon dan penyampai radio, kedua-duanya memerlukan komitmen yang tinggi terutamanya daripada faktor masa.

Zarina sendiri mengakui perkara tersebut tetapi tidak akan meninggalkan dunia lakonan biarpun waktunya kini lebih kepada penyampai radio.

“Meninggalkan dunia lakonan sama sekali memang tidak. Saya akan tetap berlakon tetapi bidang radio menjadi keutamaan saya kini.

“Lagipun saya sudah berbincang dengan stesen radio dan mereka sudi memberi saya kelonggaran sekiranya saya terlibat dengan mana-mana tawaran lakonan dan sebagainya,” katanya.

Bagi Zarina, untuk dia terus bergelar seorang penyanyi tidak menjadi masalah kerana kebanyakan persembahan diadakan pada hujung minggu.

Jika berlakon pun, mungkin dia hanya akan mengambil watak kecil sahaja kerana tidak mahu risiko yang menyusahkan mana-mana pihak.

Menjangkau usia 32 tahun, kata Zarina, bidang seni kini adalah punca pendapatan utama baginya untuk menyara hidup.

“Bidang seni bagi saya sekarang bukan sekadar minat sahaja. Tetapi adalah periuk nasi saya untuk meraih pendapatan bagi menyara kehidupan.

“Ada yang bertanya, mana satu yang menjadi minat saya antara menyanyi, berlakon atau penyampai radio. Bagi saya, semuanya terletak pada rezeki.

“Kalau kita minat sekalipun tetapi rezeki sudah ditetapkan dalam bidang yang lain, tidak salah untuk saya mencuba.

“Lagipun buat masa ini, saya kerja untuk cari makan dan bagi saya, minat akan menyusul sekiranya saya seronok dengan apa yang dilakukan,” jelasnya yang sering membawa watak jahat sebelum ini.

Zarina juga 
dikatakan pernah bercinta dengan pelakon Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz, ketika berlakon bersama dalam drama Syurgamu
 Ramadan.

Selepas itu, 
dia juga pernah dikaitkan bercinta dengan Azlee Khairi sewaktu mereka sama-sama berlakon dalam drama Dingin Lavenda.

Bekas peserta 
Akademi Fantasia musim kedua dan pernah menghasilkan lagu, antaranya, Biarku Sendiri, lagu tema untuk filem Cinta Fotokopi dan Jentayu untuk 
Saka Jentayu.