Mahu fokus menyanyi

Hunny Madu berhenti sebagai penyampai radio semata-mata untuk fokus pada nyanyian

HUNNY beri masa tiga tahun untuk mengembangkan kariernya sebagai 3
HUNNY beri masa tiga tahun untuk mengembangkan kariernya sebagai penyanyi.

Sebelum ini ramai yang mengenali Hunny Madu atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 32, menerusi lagu-lagu yang bergenre hip hop.

Namun, berbeza sedikit kali ini apabila wanita ini mempertaruhkan lagu baharunya yang berunsurkan pop berjudul Hello.

Percaturan yang diambil itu dianggap oleh Hunny sebagai sebuah eksperimen untuk memberi kelainan pada kerjaya muziknya.

“Ramai yang kata lagu saya kali ini berbeza sedikit daripada sebelum ini. Saya melihat tanggapan berbeza itu sebagai sesuatu yang positif.

“Mungkin saya boleh gunakan genre pop ini sebagai salah satu cara untuk menarik peminat baharu,” jelasnya.

Bercerita mengenai idea untuk membuat lagu tersebut, jelas Hunny, semuanya datang secara kebetulan sahaja.

Malah, dia juga sebelum ini sudah mencipta banyak lagu dalam telefon tetapi hanya Hello adalah satu-satunya lagu berentak pop.

“Sekiranya ada permintaan untuk saya terus dengan konsep ini, mungkin agak sukar untuk saya buat lagi kerana banyak lagu yang dihasilkan berentak hip hop. Namun kalau genre pop itu membantu perkembangan karier, saya akan usahakan biarpun susah,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan seterusnya, wanita yang juga seorang pengacara ini mahu membuat sebuah album kompilasi.

Malah, album terbaharunya itu juga disifatkan sebagai lambang kematangan sepanjang dia berada dalam industri muzik.

Jika dilihat, album pertama Hunny yang berjudul Pulau Janji pada 2011 dilihat agak kabur daripada segi pemilihan genre.

“Memang benar. Album pertama saya bercampur aduk daripada segi genre. Saya akui, sebab ketika itu saya masih lagi mentah dalam industri.

“Tetapi kali ini, saya mahu fokus kepada sesuatu subjek dalam album. Mungkin album seterusnya dihasilkan untuk mengatur perjalanan kerjaya saya dalam industri seni,” jelasnya.

Fokus jadi penyanyi

Untuk memberi fokus penuh pada bidang nyanyian, Hunny mengakui dia mengorbankan kerjayanya sebagai penyampai radio untuk mengejar cita-cita.

Keputusan itu dibuat berdasarkan kepada waktu kerjaya dan faktor luaran yang boleh mengganggu dia untuk menjadi penyanyi.

“Orang ingat jadi penyampai radio adalah kerjaya yang mudah. Tetapi sebenarnya jadual penyampai radio sangatlah padat dan memenatkan sebenarnya.

“Hinggakan hendak mengambil cuti pun agak sukar. Itu yang saya buat keputusan untuk berhenti semata-mata mahu fokus pada nyanyian,” jelasnya.

Hunny sebelum ini merupakan seorang penyampai radio Fly. FM bermula 2008 hinggalah tahun 2013.

Selain faktor masa, jelas Hunny, dia juga tidak mahu karyanya tersekat dek kerana kepentingannya pada sesebuah stesen radio.

“Jika saya bergelar penyampai radio dan pada masa yang sama menjadi seorang penyanyi, sukar sebenarnya daripada segi promosi.

“Tambah lagi, kepentingan pada radio itu akan membuatkan lagu saya tersekat dan menimbulkan masalah dengan stesen radio pula. Itu yang saya elakkan,” jelasnya.

Ditanya sama ada rindu atau tidak dengan kerjaya sebagai seorang penyampai radio, jelas Hunny, dia memang merindui bidang tersebut.

Malah, dia sendiri berharap supaya satu ketika nanti dapat kembali kepada kerjaya yang digemarinya itu.

Buat masa ini dia tidak mahu terburu-buru untuk membuat keputusan. Hunny sendiri meletakkan tiga tahun sebagai aras buatnya untuk fokus pada nyanyian.

“Sebenarnya ada tawaran daripada stesen radio lain tetapi saya terpaksa tolak buat masa ini untuk meneruskan tujuan asal saya.

“Lagipun, masa yang ada sekarang ini selain menyanyi, saya gunakan untuk mencipta lagu dan sebagainya,” katanya.- Gambar JEFFRI IRAN

Gaya fesyen jadi tumpuan 

Baru-baru ini fesyen yang digayakan Hunny Madu mendapat pujian daripada pengkritik fesyen terkenal, Giuliana Rancic.

Mengakui terkejut dengan perkara itu, jelas Hunny, dia berbangga kerana apa yang diperagakan itu adalah hasil pereka fesyen tempatan.

“Memang bangga sebab itu hasil pereka tempatan, Linda Rahim mendapat pujian di peringkat antarabangsa.

“Malah, fesyen yang saya gayakan dipilih untuk dikritik oleh Rancic itu juga sudah mengejutkan saya sebenarnya,” katanya teruja.

Gambar tersebut dipilih oleh Datuk Aznil Nawawi menerusi program Pak Nil Goes To Hollywood yang berkesempatan menemu bual Rancic.

Hunny mengakui semua pakaian yang diperagakannya mendapat reaksi yang positif. Dia melihat fesyen itu adalah sesuatu yang subjektif.

Menurutnya, pendapat seseorang mengenai fesyen itu tidak semuanya sama. Masing-masing bebas untuk melontarkan luahan sendiri.

“Saya lebih suka mengambil sesuatu yang berisiko dalam fesyen. Lagipun, dunia fesyen ini sentiasa berubah. Saya suka mencuba sesuatu yang baharu dan itu yang menyeronokkan kerana perkara baharu selalunya memberi pengalaman menarik dan menjadi tumpuan ramai.

“Itu yang kalau belek-belek balik gambar lama, saya sendiri tergelak melihat diri yang ketika itu tidak tahu menilai fesyen, main pakai saja,” katanya.

​Peralihan Aman Ra

Nama Aman Ra mungkin agak asing bagi mereka yang bukan peminat kepada muzik bergenre hip hop.

Hakikatnya, lelaki ini dalam skop muziknya sangat dikenali dan dikagumi terutamanya dalam penulisan lirik yang berat dan kasar.

Tetapi, kolaborasi antara dia dengan Hunny Madu menerusi lagu Hello menunjukkan sisi lain pada dirinya sebagai seorang rapper.

Lirik bersahaja dan ringan menurut Aman Ra memang menjadi pilihannya. Dia tidak mahu lagu Hello dilihat sebagai sesuatu yang berat.

“Lagu saya berjudul pantun 100 kerat sebenarnya yang membuatkan ramai beranggapan saya suka membuat lirik yang agak berat dan mendalam.

“Tetapi, sebagai seorang penulis lirik, saya lihat menjadi sesuatu yang baik untuk mencuba benda lain.

“Mencuba itu bukan bermaksud membuat lirik lagu rock atau sebagainya. Tetapi kelainan yang dibuat dalam zon keselesaan sendiri. Contohnya, rap yang lebih ringan,” jelasnya yang mempunyai album berjudul my#1 pada 2011.

Ini adalah gandingan pertama Aman Ra bersama dengan Hunny dan dia sentiasa bersedia jika ada projek seterusnya bersama dengan wanita itu.

 

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati