Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Mahu dekati orang muda

Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail
Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail

Penampilannya sangat bersahaja. Bergaya ranggi dari dandanan rambut sehingga kepada pemilihan jeans dan but sebagai aksesori wajib, pilihan sama seperti anak muda seusianya.

Namun siapa sangka, anak muda ini sebenarnya memegang tanggungjawab yang besar bergelar seorang pendakwah dan penceramah bebas pada usia baharu 22 tahun.

Bagi anak muda lain, umur sebegini masih ‘hijau’ dan masih mahu mengenal dan meneroka dunia tetapi tidak bagi Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail yang mempunyai misi tersendiri sejak usia 15 tahun, iaitu mahu menyampaikan dakwah menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat.

Dihantar ke Kaherah, Mesir oleh kedua ibu bapanya untuk mendalami pengajian Islam dan bahasa Arab di Maahad Buuth Islamiyah sejak usianya belasan tahun, tempoh berjauhan dengan keluarga dan mempelajari banyak perkara baharu mematangkan anak muda ini sehingga membuka mata untuk menyebarkan keindahan Islam terutama kepada generasi muda.

“Tidak semestinya seorang ustaz itu perlu berkopiah, berjanggut panjang atau berserban untuk menyebarkan dakwah. Anda boleh memakai apa sahaja asalkan pada landasan yang betul dan sentiasa berlandaskan syariat Islam.

“Saya akui penampilan ini kadang-kala tidak disenangi kerana tidak menggambarkan perwatakan seorang ustaz, namun saya tetap positif menjadi diri sendiri. Saya mempunyai cara tersendiri untuk mendekati rakan seusia dan tidak melihat penampilan luaran sebagai halangan untuk menyebarkan kebaikan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mesra disapa sebagai Syed, dia kini aktif memenuhi jemputan ceramah ke sekolah, universiti dan masjid selepas berjaya menempatkan diri di pusingan separuh akhir dalam program realiti Dai’ Pendakwah Nusantara Musim Ke-4.

Bukan mahu mengejar populariti, anak muda ini menjadikan program tersebut sebagai platform untuk dirinya mendekati masyarakat melalui usaha dakwah yang sepatutnya menjadi tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap orang secara langsung atau tidak, mengikut keupayaan diri masing-masing.

Katanya, dia mengambil pendekatan yang berbeza ketika menyampaikan ceramah mengikut siapa audien yang menerima input supaya penyampaian dakwah lebih spontan, tersusun dan mudah diterima.

“Setiap kelompok usia memerlukan pendekatan berlainan. Sebagai contoh, jika saya menyampaikan ceramah dan tazkirah di masjid, saya akan berjubah dan memakai serban untuk menghormati mereka yang lebih tua.

“Namun itu bukan bermaksud saya seorang yang hipokrit, kerana seperti yang saya katakan tadi penampilan atau gaya seseorang itu tidak mencerminkan dia seorang penceramah, asalkan mempunyai pengisian yang mahu disampaikan dan bersifat lebih terbuka dalam menerima apa jua input selain menerima kritikan yang membina.

“Jika saya bertemu dengan audien seusia, saya lebih selesa membawa penampilan seperti sekarang, kerana bagi saya golongan muda lebih mudah didekati dengan cara itu.

‘Apabila menganggap kita sebagai rakan, sedikit sebanyak dapat mempengaruhi mereka melalui nilai-nilai dan adab yang kita tunjukkan,” ujarnya yang selesa bercakap dalam loghat utara.

Menjadikan pendakwah terke­nal, Ustaz Datuk Mohd. Kazim Elias dan gurunya dari Mesir, Syed Muhammad Al-Junid sebagai idola, akuinya bergelar pendakwah muda bukanlah sesuatu yang mudah, bahkan sehingga kini dia masih berdepan dengan cabaran-cabaran yang agak sukar untuk ditangani.

Ujarnya, gelaran yang dibawa pada hari ini satu peranan yang besar dan dia perlu menjadi contoh yang baik kepada generasi muda di luar sana.

Katanya, golongan muda sebenarnya mudah untuk didekati sekiranya penyampaian dakwah dilakukan mengikut cita rasa yang memikat hati mereka. Pendekatan dakwah yang menepati gaya pemikiran orang muda mampu menarik minat golongan itu patuh kepada perintah agama.

Memandangkan usianya masih muda dan berpenampilan yang agak ranggi, dia sering mendapat usikan nakal daripada pengikut-pengikut remaja di laman sosial yang ada kalanya mencabar kewibawaannya sebagai seorang pendakwah.

“Saya menggunakan laman sosial untuk mendekati anak muda untuk menyebarkan dakwah namun lain pula tanggapan sesetengah daripada mereka.

“Saya tidak selesa apabila ada segelintir remaja perempuan meninggalkan komen yang tidak begitu sesuai dengan status saya sebagai seorang pendakwah, memandangkan laman sosial saya juga diakses oleh rakan-rakan seperjuangan dalam dunia ini, takut disalah tafsir pula.

“Sehingga kini saya masih lagi mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk menangani masalah ini kerana ia umpama menarik rambut di dalam tepung di mana semua hati perlu dijaga dan dalam masa yang sama dakwah perlu diteruskan,” katanya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan