Doa dan keinginan itu termakbul pada usia beliau mencecah 31 tahun apabila banglo yang menjadi impiannya itu sudah siap dibina di Kota Damansara di sini.

Mahligai yang dinamakan beliau sebagai Aliff Syukri Palace itu dibina di atas tanah bernilai RM13 juta dan dilengkapi 30 bilik termasuk surau, pawagam mini serta bilik karaoke.

Selain itu, Aliff Syukri turut memperuntukkan RM11 juta bagi kos hiasan dalaman kediaman yang mula dirancang pembinaannya pada 2015.

Bagaimanapun anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu enggan berkongsi kos keseluruhan pembinaan rumah agam yang dibina di atas empat bidang tanah lot banglo.

“Dahulu, saya selalu memasang impian mahu memiliki banglo dan impian itu dipenuhi ketika usia 24 tahun. Selepas itu, saya menyimpan impian mahu memiliki kediaman seperti istana pula.

“Saya sedar untuk dapat apa yang saya hendak, saya harus be­kerja keras. Saya terus berusaha hingga akhirnya saya mendapat apa yang saya impikan. Jangan menyerah dan teruskan usaha untuk mencapainya,” kata Aliff Syuk­ri dalam sesi ramah mesra bersama wartawan sempena lawatan ke mahligainya hari ini.

Sebelum ini, dalam laman sosial Instagram peribadinya, ahli perniagaan yang juga bapa kepada lima cahaya mata terma­suk dua anak angkat itu sering berkongsi mengenai cerita serta foto-foto pembinaan mahligai sehingga mengundang rasa ingin tahu masyarakat.

Aliff Syukri yang terkenal kerana sikap terbukanya juga pernah berkongsi kisah-kisah kehidupan peribadinya dalam program realiti Oh Abang Kosmetik yang ditayangkan di saluran Astro.

Menurut usahawan kosmetik itu, beliau membeli empat bidang tanah lot banglo tersebut pada 2015 dan proses pembinaan bermula setahun selepas itu serta dijangka siap sepenuhnya sebelum sambutan Aidilfitri akan datang.

“Sekarang baru 80 peratus sahaja siap. Ruang bawah tanah merupakan bahagian terakhir untuk disiapkan. Saya robohkan empat buah banglo yang dibeli untuk bina semula mahligai ini.

“Secara keseluruhannya, terdapat 30 buah bilik merangkumi bilik tidur, bilik rehat keluarga, bilik mandi, bilik pakaian, ruang makan, ruang santai, ruang pejabat, ruang tamu, dapur dan sebagainya,” kata beliau sambil memberitahu ilham dekorasi rumah diperoleh daripada bacaan pelbagai majalah hiasan dalaman.

Aliff Syukri turut mendapatkan kelengkapan rumah termasuk bahan binaan dari empat negara iaitu China, Indonesia, Portugal dan Itali.