Menurut kertas pertuduhan, Hakim Alberto Banos mengarahkan Bieber dibicarakan atas tuduhan rompakan, cuba merompak dan menyerang sehingga meng­akibatkan kecederaan kecil.

Pada November 2013, Bieber mengarahkan seorang pengawal peribadi merampas kamera dan telefon bimbit jurugambar tersebut, Diego Pesoa di sebuah kelab malam di kawasan kejiranan Palermo.

Walau bagaimanapun, Bieber telah mengingkari perintah mahkamah untuk hadir di depan hakim, menyebabkan Argentina terpaksa memohon Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol) untuk penangkapannya.

Sementara itu, peguam plaintif, Matias Morla mengalu-alukan keputusan tersebut.

“Keputusan hakim adalah sangat baik dan merupakan satu tamparan baharu kepada keangkuhan Bieber. Bieber berlindung di sebalik kemasyhuran dan duit untuk melarikan diri daripada keadilan.

“Sekarang dia perlu mematuhi keputusan mahkamah di sebuah negara berdaulat seperti Argentina dan muncul memberi ketera­ngan seperti rakyat lain,” katanya kepada akhbar tempatan, Diario Popular.

Bieber pernah dikenali dengan imej yang bersih tetapi baru-baru ini, dia sering melanggar undang-undang terutama di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada. – AFP