KUALA LUMPUR, 11 FEBRUARI 2015 - Sesi fotografi bersama penyanyi, 2
Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan dan Datuk M.Nasir

MESKIPUN sudah dua bulan musibah banjir besar yang melanda pantai timur dan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia berlalu, derita penduduknya masih dirasai.

Justeru dalam usaha membantu kesengsaraan mangsa terlibat, sebuah konsert, Doa Langit dan Bumi dianjurkan bagi mengutip dana untuk mengisi tabung bantuan banjir.

Tiga sahabat, Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir dan Datuk Hattan bersatu tenaga bersama-sama vokalis Wings, Awie untuk merealisasikan kutipan RM500,000 untuk tabung berkenaan yang akan dizahirkan di Pusat Dangan Dunia Putra pada 22 Februari ini.

Kepada Pancaindera, ketiga-tiga legenda ini berkongsi rasa prihatin, simpati dan cerita peribadi untuk peminat.

Hattan teruja

MENYI­FATKAN konsert ini sebagai perjalanan manis dalam hidup, Hattan tidak menafikan yang dia cukup teruja untuk menjayakannya.

Bagi penyanyi tersebut, acara begini mampu merapatkan ikatan kasih sayang antara golongan penyanyi dan peminat untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Malah Hattan menjelaskan, dia tidak menghadapi sebarang masalah besar untuk persembahan itu nanti kerana sudah biasa bekerjasama dengan mereka.

“Kami sudah biasa berkongsi pentas bersama-sama dan saya tak merasakan ada masalah yang akan timbul meskipun masing-masing merupakan penyanyi yang hebat.

“Ini bukan masa untuk membuktikan siapa yang hebat tetapi masa untuk kita bersatu demi membantu mereka yang memerlukan. Yang saya harapkan adalah kehadiran peminat untuk sama-sama berhibur dan menghulurkan sumbangan,” kata Hattan.

Mengulas mengenai perkembangan terkininya, Hattan menafikan wujud sebarang masalah apabila membuat pertukaran syarikat yang bakal menerbitkan filem Gadis Jolobu pada saat-saat akhir.

Kini, filem berkenaan diterbitkan oleh syarikat Arca Kreatif Sdn. Bhd..

“Tak ada apa-apa masalah pun yang berlaku sebaliknya kami memikirkan peluang yang lebih besar pada masa hadapan. Bertukar syarikat bukan perkara yang luar biasa kepada produksi.

“Cuma yang menjadi masalahnya sehingga hari ini kita masih belum jumpa wanita yang sesuai untuk membawakan watak gadis berkenaan,” katanya lagi.

Selain dirinya, Gadis Jolobu juga bakal dibintangi oleh Waris dan Ebby Yus.

Ramli berbangga

MENGAKUI hatinya begitu sayu tatkala mahu merealisasikan impian besar untuk membantu mangsa banjir, Ramli Sarip tahu ini merupakan tanggungjawab sosial dan kesedaran bagi mereka yang terlibat pada konsert kali ini.

Bukan bertujuan untuk mencari keuntungan semata-mata sebaliknya mahu mengumpul seberapa banyak dana bagi membantu memulihkan kembali beberapa negeri yang dilanda banjir tempoh hari.

“Setakat ini saya boleh mengatakan yang kebanyakan rakyat Malaysia rata-rata mempunyai keprihatinan yang sangat tinggi. Bila kita umumkan sahaja konsert ini dua minggu lalu, sambutan yang diterima begitu menggalakkan.

“Setidak-tidaknya saya tahu kita masih ada perasaan simpati yang tidak dimiliki oleh semua insan. Saya juga berterima kasih kerana penyanyi yang terlibat yang mempunyai semangat dan rasa tanggungjawab yang tinggi,” kata Ramli.

Bakal berlangsung selama tiga jam, Ramli sudah memilih beberapa buah rangkaian lagu yang sesuai dengan tema Doa Langit dan Bumi sebagai pembuka dan penutup konsert tersebut.

Sebagai pencetus idea, jelas Ramli, dia juga memberikan kebebasan kepada M. Nasir, Hattan dan Awie untuk memilih koleksi lagu yang bakal dinyanyikan nanti.

“Ini bukan konsert untuk kita bersedih. Dan mereka bebas untuk menyanyikan lagu yang mereka dimahukan,” jelas Ramli ringkas.

Konsert Doa Langit Dan Bumi bakal diiringi pemuzik handalan terdiri daripada Man Kidal, Aji Samin, Tom Anuar, Fauzie Zain, Rozario Rasul, Uda, Paang Zaman dan Boy Razli.

Penilaian M.Nasir

MELIHATKAN perkembangan industri seni tanah air, komposer handal ini tidak menafikan ada gelombang yang sedang melanda atmosfera muzik tempatan ketika ini.

Meskipun penjualan album bukan lagi perkara keutamaan tetapi M. Nasir mampu tersenyum tatkala melihat sambutan yang diterima terhadap konsert berbayar yang semakin diterima baik oleh peminat tempatan.

Dia yang menganggap perkara berkenaan sebagai apresiasi terhadap industri menganggap segala-galanya perlu ‘kena’ agar dapat menarik minta penonton untuk membayar sejumlah wang bagi menonton setiap persembahan.

“Memang dapat dilihat sejak akhir-akhir ini orang sanggup membayar untuk menonton persembahan yang mereka suka. Sama juga dengan konsert Doa Langit dan Bumi ini yang mendapat maklum balas positif daripada peminat.

“Saya menganggap ini perkembangan yang positif dan baik untuk kelangsungan industri seni tempatan,” ujar penyanyi ini lagi.

Ketika diminta mengulas mengenai perkembangan muzik tanah air pula, dia tidak menafikan kebanyakan penyanyi hari ini mampu menyanyi dan mencipta lagu. Tidak seperti satu masa dahulu apabila tugas mencipta diberikan kepada komposer dan penulis lirik.

“Saya melihat ini sebagai perkembangan yang baik. Jika mereka menyanyi dan mencipta lagu, mereka (penyanyi) tahu yang dimahukan. Tetapi yang membezakannya adakah lagu tersebut mampu kekal evergreen pada masa hadapan?

“Mungkin kebanyakan lagu sekarang lebih telus dan tidak berkias seperti lagu lama. Patah perkataan yang digunakan juga bahasa seharian dan itu memang perkembangan hari ini.

“Untuk melihat sesuatu bangsa boleh dinilai melalui karya seninya,” kata M Nasir penuh makna.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan konsert Doa, Langit dan Bumi, tiket-tiket dijual dengan harga RM153 atau layari www.ilassotickets.com untuk maklumat lanjut.

acara begini mampu merapatkan ikatan kasih sayang antara golongan penyanyi dan peminat

Setidak-tidaknya saya tahu kita masih ada perasaan simpati yang tidak dimiliki oleh semua insan.

Saya meng­anggap ini perkembangan yang positif dan baik untuk kelangsungan industri seni tempatan

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati