Hampir 3,000 peminat yang membanjiri Stadium Tertutup, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor malam minggu yang lalu begitu memberangsangkan dan menutup mulut banyak pihak yang mengatakan konsert ini kurang mendapat sambutan.

Bukan apa, tatkala mereka memilih untuk menjelajah keempat lokasi di seluruh negara, ramai yang beranggapan konsert berbayar begini seolah-olah memperjudikan nasib memandangkan kebanyakan peminat sudah terbiasa dengan konsert percuma.

Pun begitu M Nasir membuktikan dalam ketakutan kebanyakan penyanyi untuk membikin konsert berbayar, peminat tetap hadir jika persembahan tersebut berbaloi dengan wang yang telah mereka laburkan untuk menyaksikan konsert.

Malam itu Johor yang menjadi destinasi kedua Konsert M Nasir... Kembara selepas Kuantan, Pahang.

Rata-rata peminat yang hadir bukan sahaja datang dari Johor sebaliknya ada yang hadir dari Singapura semata-mata mahu menyaksikan kehebatan M Nasir menghiburkan mereka dengan rangkaian lagu-lagu popularnya.

Membuka tirai pada malam itu, pastinya kemunculan Pitahati sebagai band pembuka acara. Meskipun masih janggal bagi segelintir peminat, mereka membuktikan kebolehan bermain alat muzik dan pemilihan beberapa buah lagu hebat menjadi medan ‘acara pemanas badan’ bagi konsert ini.

Tidak lama kemudian, Spider terus menggamatkan suasana. Band yang berasal dari Johor ini membuktikan yang lagu-lagu mereka masih menjadi pujaan hampir kesemua peminat yang hadir.

Meneruskan acara pastinya kemunculan Fynn Jamal menjadi pertaruhan. Penuh dengan kejutan, bait kata-kata yang keluar dari mulut wanita berkenaan ketika menyanyi membuatkan peminat terpegun meskipun hanya menyanyikan tiga buah lagu sahaja sebelum kemunculan M Nasir.

Penuh dengan berseni, vokalis kumpulan Kembara ini tampil sendirian di atas pentas melakar kanvas menggunakan cat sebagai simbolik kepada kemunculannya di Johor.

Tanpa banyak bicara dia meneruskan acara dengan rangkaian lagu-lagu popular seperti Apokalips dan Mustika yang begitu diminati ramai.

Kegembiraan

HARUS diakui setiap kali mengadakan persembahan besar sebegini, M Nasir cukup mementingkan soal bunyi yang menjadi penanda aras sesebuah konsert.

Sudah pasti konsert di tempat tertutup sebegitu kurang menimbulkan masalah besar jika mahu dibandingkan dengan konsert di tempat terbuka.

Malam itu, tanpa memerlukan pemuzik yang ramai tetapi berkualiti dan mampu memberikan yang terbaik, konsert itu berjaya membawa penonton mengembara mengikut perancangan.

Seleksi lagu-lagu yang dipersembahkan tersusun membuatkan hadirin gembira.

Tiupan seruling oleh Mohar dan petikan gitar oleh Nan atau nama sebenarnya Aznan Alias begitu mengujakan, ditambah dengan permainan alat muzik yang lain membuatkan peminat yang hadir ‘dipukau’.

Seperti yang diketahui ramai, M Nasir kurang bercakap. Namun malam itu dia tetap berinteraksi dengan peminat dan bercerita tentang lagu yang disampaikan.

Malah adakalanya dia bertanyakan kepada peminat lagu yang mereka mahu dengar.

Antara lagu dinyanyikan sepanjang konsert berlangsung termasuk Rajawali, Sahabat Gua, Bonda, Ada, Sentuhan Listrikmu, Raikan Cinta dan Buka Hatimu.

Turut dinyanyikan lagu Gerhana, Hati Emas, Mentera Semerah Padi, Kepadamu Kekasih, Keroncong Untuk Ana dan Ada sebagai penutup tirai konsert.