Tertanya-tanya siapakah dia? Indah yang belum kebah demam tersipu-sipu malu mengaku bahawa lelaki yang diperkenalkan dengan panggilan Shariff itu adalah teman istimewanya.

Sebagai teman lama kepada Indah, sudah tentu berita itu disambut dengan rasa gembira apalagi selepas dia pernah melalui episod sedih terpaksa menerima hakikat bahawa pertunangannya dengan jejak bernama Mr. R tidak sampai ke jenjang pelamin sebagaimana yang dirancang sebelum ini.

Empat tahun mengikat tali pertunangan bukanlah satu tempoh yang singkat, namun bagi Indah, tiada jalan lain yang diharapkan selain akur dengan kehendak dan ketentuan Yang maha Esa.

Pun begitu, menemui cinta baharu dalam tempoh kurang daripada dua bulan selepas putus tunang juga bukanlah apa yang diminta apalagi dia sebelum ini pernah meluahkan rasa di hati, sukar untuk memulakan sebuah perkenalan yang baharu dek kerana fobia dengan cinta.

Benar kata orang, siapalah kita sebagai manusia untuk menidakkan kuasa Tuhan, Indah kemudiannya bertemu dengan Shariff Taufik, 36, dalam sebuah perkenalan yang pada asalnya hanyalah sebagai seorang kawan.

“Masa tu, saya memang sedang patah hati sampai rasa tak mahu lagi bercinta. Kemudian, Tuhan pertemukan saya dengan Shariff yang merupakan jurulatih peribadi di sebuah gimnasium.

“Rupa-rupanya dia adalah pemilik gimnasium berkenaan dan kami pun terus berkawan seperti biasa. Apa yang kelakar, dia tidak tahu saya adalah seorang penyanyi, maklumlah dia bukan jenis yang ambil tahu perihal dunia hiburan.

“Masa mula-mula kenal, saya cakap yang saya bekerja di Astro di bahagian produksi. Tak sangka pula dia percaya, sampailah ‘tembelang’ saya pecah apabila kawan-kawan dia beritahu siapa saya sebenarnya,” katanya yang mengaku segan mengatakan dirinya artis pada Shariff.

Cincin hilang

Menepis desas-desus yang mengatakan ba­ha­wa dia mengenali Shariff ketika dia masih bersama bekas tunang, Indah menganggap andaian pihak tertentu itu sangat tidak masuk akal.

Jelas pelantun lagu Percayalah dan Semua Untuk Cinta ini, dia tidak menyokong cerita palsu itu dan tentunya bengang apabila didakwa bermain kayu tiga sedangkan statusnya masih tunangan orang.

“Kalau boleh saya tak mahu panjangkan cerita ini kerana tahu, bekas tunang yang buka mulut, canang isu itu sedangkan ia tidak benar. Mungkin dia pun tak boleh terima yang saya sudah menemui cinta baharu secepat itu.

“Dan ya, maaf cakap, saya memang nak lupakan dia dengan cepat sebab itu saya berkawan dengan Shariff dan cuba buka hati. Bayangkan empat tahun bertunang, ia bukan tempoh yang sekejap, dah tentulah hati saya sangat terluka.

“Sejak berkawan dengan Shariff, saya pun tak letak sebarang matlamat, cuma apabila melihat kepada kesungguhan dia bertemu dengan keluarga, saya mula buka hati menerima kehadiran dia.

“Tiada apa yang salah kerana ketika dia datang, saya sudah tidak terikat dengan bekas tunang lagi dan memang single,”katanya.

Dari hati ke hati, Indah mengaku, sebelum bertemu dengan kekasih baharu, dia seakan sudah dapat meramalkan bahawa pertunangannya dengan Mr. R, bagai tidak akan bertahan lama.

“Hati terdetik yang pertunangan saya ni tak bertahan lama bila cincin pemberian Mr.R hilang. Terus terang, saya adakalanya malu bila ramai yang bertanya bila hendak kahwin sebab dah lama sangat bertunang.

“Semua itu harus saya jawab sendiri atas dasar saya seorang selebriti, Malah, untuk bercerita secara terperinci mengenai apa yang berlaku juga adalah satu halangan buat saya kerana tak mahu memalukan mana-mana pihak.

“Sebab itulah saya lebih banyak berdiam, tapi ada pula pihak yang canang pada orang sehingga menampakkan saya yang bersalah. Biarlah, Tuhan sahaja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku,”katanya enggan lagi berdepan dengan mana-mana lelaki bersikap psiko.

Mengenai si dia

Dilihat bersifat agak protektif terhadap Indah, Shariff yang sesekali turut berbual memberitahu dia sebenarnya kurang senang andai Indah berbicara mengenai hal peribadi dengan pihak media. Hal itu diakui oleh Indah yang menganggap kekasihnya itu tidak mahu ada pihak yang memutar-belitkan kenyataannya sekali gus meninggalkan impak salah faham antara mana-mana pihak.

“Dia bimbang andai Indah ditindas memandangkan sudah banyak kali saya terkena. Cakap lain, tulisnya lain. Bagi saya, dia adalah seorang yang tegas dalam bab ini dan tak dinafikan saya senang dengan caranya itu.

“Maklumlah, hati saya ni lembut, cepat cair. Tapi dalam mana-mana hubungan sekali pun, bohong­lah kalau tiada naik turun atau perteng­karan. Itu normal, tetapi bagaimana cara kita menangani masalah itulah yang menentukan tahap kematangan seseorang itu. Saya bersyukur kerana Shariff matang, usianya yang enam tahun lebih tua daripada saya.

“Benarlah kata orang, hidup ini tidak akan setiap harinya kita akan lalui dengan kegembiraan, ada masa tentu ada pasang surutnya,”katanya yang terharu Shariff juga memberi sokongan terhadap kerjaya seninya.

 

Bimbang gelaran andartu

Memasuki tangga usia 30 tahun, Indah, sebagaimana wanita di luar sana turut mula merasa panik apabila masih belum mendirikan rumah tangga apalagi menerusi episod putus tunangnya.

Kalau tidak, sudah tentulah dia tidak perlu melalui sebuah hubungan yang baharu lantaran sudah selamat diijabkabulkan dengan bekas tunang.

Jauh di sudut hati, kata Indah, dia sudah serik untuk melalui sekali lagi detik pertunangan kerana baginya semua itu bagai mengimbau trauma lama.

“Pada usia begini, saya dah tak fikir soal mahu bertunang. Kalau ada jodoh dengan Shariff, saya nak kahwin sahaja terus. Jujurnya, ada juga saya terfikir andai tak jumpa jodoh selepas putus tunang tu, saya bimbang juga andai tak kahwin-kahwin.

“Risau juga digelar andartu (anak dara tua). Iyalah, fitrah manusia, mestilah nak berkahwin. Pernah juga terfikir, kalau lepas ni tak jumpa juga jodoh, saya memang tak nak mencari. Relaks dulu, biarlah cinta tu datang sendiri.

“Tetapi tiba-tiba muncul pula Shariff dalam hidup saya. Alhamdulillah, kami tengok semuanya bagai dipermudahkan. Keluarga saya juga menyenangi kehadirannya begitu juga dengan keluarga Shariff yang menerima saya seadanya. Apa yang saya boleh katakan, hubungan ini serius dan kami tidak bermain-main,”ujarnya seakan memberi petanda baik.