Berita mengenai kehamilan Lufya diketahui ramai selepas bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam itu memuat naik status tentang dirinya yang sedang hamil di laman sosial Instagram miliknya, Selasa lepas.

“Bakal menjadi mummy dan daddy tidak lama lagi,” tulisnya.

Lufya ketika dihubungi Mega HITS berkata, dia dan suami tidak pernah merancang untuk memiliki cahaya mata awal atau lambat sejak mereka menikah pada 26 November 2016.

“Sebenarnya saya dan suami tak pernah merancang kerana kami yakin dengan rezeki Allah, sama ada cepat atau lambat sahaja. Kalau sudah sampai waktunya kami bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa.

“Sekarang ini usia kandungan saya memasuki tempoh empat bulan. Awalnya dapat tahu tanda-tanda diri hamil apabila waktu yang patutnya saya datang bulan tapi tak ada, ditambah pula dengan rasa mual-mual.

“Alhamdulillah, dari situ saya dapat rasakan ada khabar gembira. Biasalah seperti wanita hamil yang lain, saya pun ada alahan pada waktu pagi, saya juga amat peka dengan bau. Ada sesetengah wangian saya tidak boleh hidu kerana akan rasa nak muntah,” ceritanya.

Tambahnya, disebabkan alahan dan kerap muntah badannya cepat rasa letih sewaktu awal kehamilan. Bagaimanapun kini keadaan badannya sudah stabil.

Lufya yang kelihatan berseri-seri memberitahu sekarang ini dia terpaksa memperlahankan aktiviti lakonan kerana demi menjaga kandungan.

“Saya memang kurangkan berlakon tetapi kalau ada undangan penampilan khas untuk atau rancangan televisyen, saya tak menolak kerana waktu yang diperuntukkan tidak lama.

“Kalau ikutkan memang saya rindu nak pergi ke set lokasi tapi terpaksa lupakan seketika demi kandungan. Sebagai mengubati rindu peminat terhadap saya, jangan lupa menonton program Romantika yang akan disiarkan pada Ramadan ini di Astro Ria. Saya dan suami akan berkongsi tentang kehidupan kami selepas berumah tangga dan lanjut tentang kehamilan,” jelasnya.

Sementara itu, sepanjang Ramadan ini, Lufya sibuk mempromosi jenama pakaian sendiri , Lulu & Ken, khas untuk pakaian raya sedondon untuk pasangan.

“Alhamdulillah, setakat ini sambutan cukup menggalakkan. Ditambah pula suami turut memberi sokongan dan bersedia menjadi model untuk memperagakan pakaian.

“Saya menggunakan jenama Lulu dan Ken kerana Lulu itu panggilan manja saya. Manakala Ken pula dipilih kerana wajah suami dikatakan mirip Ken iaitu patung lelaki Barbie,” katanya yang akan berpantang mengikut cara Melayu dan Jawa kelak.