Loque tak bangga diri

KUALA LUMPUR 12 MEI 2015 - SIADANG akhbar artis Monoloque di Petaling
Monoloque

BAGAI ungkapan masuk bakul angkat sendiri, begitu kah sikap penyanyi ini bernama Loque ini?

Monoloque

Selesa bergerak bersama Monoloque sejak tahun 2004, bekas vokalis kumpulan Butterfinggers ini cukup terkenal dengan koleksi lagu-lagunya yang tidak mudah difahami oleh kelompok besar masyarakat yang menyokong industri muzik tempatan.

Cuma segelintir, muzik dan lagu yang dibawa oleh Monoloque kebiasaannya tidak mampu menjadi sahabat halwa telinga yang baik dek kerana kelainan yang sering ditampilkan oleh Monoloque dalam karya-karya mereka.

Gemar beresksperimen, Loque yang ditemui dalam satu sidang akhbar baru-baru ini berkongsi rasa mengenai kurangnya penerimaan pendengar terhadap karyanya yang berbanding nuansa muzik yang lebih komersial dan mudah terjual seperti pop dan R & B misalnya.

Menurut Loque, dia menaruh keyakinan bahawa muziknya berada di satu kedudukan yang tinggi di mana tidak semua orang boleh mencapainya dengan mudah tanpa fikiran yang kreatif dan terbuka.

“Kalau saya cakap, bunyinya memang macam saya puji diri sendiri. Tetapi, ya, agaknyalah orang tak boleh faham karya saya sebab semuanya terlalu ke depan.

“Macam mana saya ke belakang pun, muzik saya tetap kedengaran lebih ke depan daripada pemuzik lain sedia ada dalam negara,” katanya.

Berkongsi cerita, kata Loque, sebagai seorang yang komited dalam menghasilkan muzik, evolusi dalam muzik itu perlu ada bagi menjadikan karyanya boleh bergerak ke depan namun dalam masa yang sama punya identiti Nusantara .

“Bila saya buat sesuatu benda, saya akan pastikan karya itu ada evolusi dan satu hari nanti ia mampu menjadi fenomena.

“Saya sedar, evolusi itu tidak akan terjadi dalam masa sehari. Mungkin sebulan, setahun, berpuluh tahun dan kita pun tidak tahu.

“Macam kita tonton karya dan lagu P. Ramlee. Daripada mula sehingga akhir, lihat evolusi yang ditampilkan dalam karyanya sehingga orang tetap mengangkat karyanya seperti satu fenomena,” katanya.

Menganggap orang-orang sepertinya perlu ada dalam industri, Loque percaya pemuzik yang unik dan berbeza sepertinya mampu memberikan kelainan dalam industri muzik tempatan agar tidak statik dan kaku pada satu jurusan muzik yang klise semata.

“Kerugian atau kehilangan? Saya rasa orang seperti saya perlu ada dalam industri. Bukan saya seorang saja, sekarang pun dah ada kemunculan pemuzik yang seperti saya contohnya macam Venopian Sollitude.

“Orang-orang macam kami ni perlu ada untuk menjentik zon selesa industri muzik arus perdana. Kalau tak ramai yang faham dengan muzik saya, sekurang-kurangnya saya tak pernah cepat merajuk dan putus asa.

“Saya masih di sini dan serius berkarya sebab masih ada kelompok yang sudi terima baik karya Monoloque,” katanya.

Pencairan pertama

Muncul dengan single berjudul Ringgit, kontroversi sudah pun menghimpit diri Loque yang gemar berekspresi dalam haluan kiri sehingga ada yang kurang senang dengan caranya itu.

Antara kontroversi yang dicetuskan dalam naskhah Ringgit ini adalah menerusi rekaan seni visual pada poster dan kulit albumnya yang memaparkan wajahnya menggantikan wajah Agong yang tertera pada wang kertas.

Kedua, video klip Ringgit yang menyelitkan patung wanita yang tidak berbaju.

Ditebak dengan pertanyaan, Loque mengakui sengaja menampilkan gambaran sebegitu demi menyesuaikan mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu itu sendiri.

“Sebelum ia menjadi isu sekarang, saya dan pasukan yang bekerja di belakang tabir telah awal-awal lagi berbalah dan melontarkan pandangan masing-masing sebelum kami sepakat dengan hasil kerja terakhir.

“Bagi saya, ia seperti satu ujian kertas litmus. Semua orang mempunyai pandangan yang berbeza-beza dan itu adalah apa yang saya suka.

“Kalau ada yang boleh baca mesej secara simbolik, silakan. Saya memang mahu tengok persepsi masing-masing dalam menelaah mesej. Bagi saya, lagu Ringgit dan semua seninya, sudah cukup telus untuk difahami,” katanya.

Sedar bahawa ada ketika dia perlu mengikut kehendak pendengar dalam skala yang lebih besar, Loque mengaku itulah sebabnya dia menghasilkan Ringgit dalam lirik yang ringkas dan mudah difahami selain muziknya yang lebih ringan dalam nuansa petantonik dan bunyian ‘Malaysia’.

Sudah cukup cair untuk difahami oleh pendengar tempatan, kata Loque, dia mengambil inspirasi untuk menghasilkan Ringgit berdasarkan pengamatannya terhadap kehidupan setiap manusia.

“Inilah antara eskperimen yang saya buat demi menepati kehendak pendengar dalam identiti saya yang masih dikekalkan dalam naskhah ini.

“Saya ambil duit sebagai subjek utama intipati lagu yang saya kira, semua orang akan faham. Saya tak cakap bahawa saya berkompromi untuk memahami pendengar, tetapi sekurang-kurangnya inilah cara saya bereksperimen untuk saya dekatkan diri dengan pendengar saya yang selama ini sering tak faham dengan karya saya,” katanya.

Dalam pada itu, kata Loque, selepas Batu Belah Batu Konkrit, projek album keduanya bakal menyusul tidak lama lagi yang akan mengandungi 16 buah lagu termasuk Ringgit.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati