Namun tetap ada kelainan yang ditampilkan menerusi naskhah baharu yang dihasilkan sekali gus yang menyaksikan Uda & Dara dijadikan lagu runut bunyi untuk filem pertama arahan Mohd Khairul Azri Md Noor berjudul Pekak.

Bermain dengan nuansa muzik untuk komposer seperti Loque, tentu sekali ramai yang sudah dapat membayangkan saratnya karya lagu ini kerana Loque selama ini pun sememangnya terkenal sebagai komposer yang sukar diramal.

Mengandaikan Loque adalah seorang pemain seni yang bijak bereksperimental dalam muzik, dapat dilihat usaha untuk mengekalkan nilai estetika sebuah karya lama dalam peralihan versi baharu yang lebih kontemporari.

Berkongsi cerita mengenai Uda & Dara, kata Loque, naskah ini dihasilkan sejajar dengan terbitnya album Halimunan Abad Ke-21, bukan sekadar untuk filem Pekak.

Namun menurut penyanyi berusia 37 tahun ini, penceritaan mengenai Uda dan Dara itu tetap ada cuma diinterpretasikan dalam gaya generasi baru abad ke-21.

“Tetap mengenai sebuah cinta terlarang, sama seperti epiknya cerita agung di Barat, Romeo dan Juliet tetapi yang saya hasilkan ini lebih istimewa kerana bercerita mengenai Uda dan Dara pada zaman sekarang.

“Ada nilai kontemporari dalam lagu ini tetapi saya tak buang nilai nusantara di dalamnya kerana itu adalah identiti saya,” kata Loque.

Loque juga memberitahu, dia sedar ada yang mungkin salah faham bahawa menerusi karya itu dia dilihat cuba 'merosakkan’ estetika tradisional nama Uda & Dara tetapi dia punya alasan sendiri.

“Pada saya, karya agung seperti Usman Awang inilah yang patut direlevankan kalau tidak mungkin tak ada orang tahu mengenai Uda & Dara. Mungkin orang teater tahu mengenainya tetapi bagaimana pula bagi mereka yang bukan orang teater terutama generasi pelapis?

“Jangan sampai mereka cuma tahu Romeo & Juliet atau Bonny & Clyde saja tetapi Uda & Dara mereka tak tahu sedangkan datangnya daripada pengkarya ulung seperti Usman Awang.

“Sebab itu saya katakan dulu, seni dan budaya itu jangan dikongkong. Yang lama dipelihara. Ini, yang lama pun tak dipelihara dan yang baharu pula dikekang. Macam mana kita nak pastikan muzik kita mampu diingati sepanjang zaman?

“Sekurang-kurangnya kita ada usaha untuk merelevankan karya lama dalam nuansa baharu,” katanya.

Berkongsi mengenai kolaborasinya dengan Aisyah Aziz untuk Uda & Dara, kata Loque, dia sengaja memilih Aisyah untuk projek lagu ini selepas merasakan anak kelahiran Singapura itu punya keunikan dalam alunan suaranya.

Berbeza dengan artis lain, kata Loque, Aisyah baginya memiliki kriteria yang kena dengan watak 'Dara’ dalam lagu itu, bersesuaian dengan karektor wanita generasi muda kini.

“Walaupun berbeza paksi, dia pop dan saya pula eksperimental tetapi dia berjaya memberikan kelainan untuk lagu ini. Saya suka kerana dia memiliki suara antara moden dan klasik yang susah untuk dihuraikan.

“Dia juga bukan seorang yang gedik atau suka berpura-pura, karektor yang sama seperti saya. Bagi saya Aisyah adalah pilihan terbaik untuk membawakan lagu ini dan pada masa yang sama saya dapat mencuba sesuatu yang baharu dalam penghasilan karya saya,” katanya.

Merasakan Aisyah punya peluang dan masa depan yang cerah dalam industri muzik, kata Loque, untuk orang lama sepertinya, kolaborasi seperti ini dianggap pengalaman baharu meski dia tahu genre muzik Aisyah adalah berbeza dengan dirinya.

“Saya rasa Aisyah adalah antara penyanyi yang unik, tidak sama dengan penyanyi lain. Dia punya keistimewaan menyanyi ala-ala orang lama. Macam kita dengar rekod-rekod lama nyanyian penyanyi hebat seperti Uji Rashid, Sanisah Huri atau Sharifah Aini misalnya.

“Saya suka dengan nuansa nostalgia sebegitu dan Aisyah bagi saya boleh pergi jauh dalam bidang ini. Uda & Dara adalah antara satu percubaan yang mungkin dapat memberi kelainan dalam karektor muziknya,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi Aisyah, dia yang mengaku sebelum ini tidak pernah terfikir untuk berkolaborasi dengan Loque untuk sebarang projek melihat Uda & Dara adalah tanda pengenalan yang baik antara mereka.

Merasakan Loque mempunyai karektor tersendiri sebagai seorang pemuzik dan komposer, Aisyah berbesar hati 'dilamar’ oleh Loque untuk menjadi pasangan duet dalam lagu ini memandangkan mampu memberi warna dalam profil kerjayanya sebagai penyanyi.

Menganggap dirinya bertuah kerana berpeluang mengenali dan bekerjasama dengan Loque, kata Aisyah dia akui, pada awalnya sukar meramal bagaimana 'si uda’ ini sehinggalah proses rakaman lagu selesai dengan baik.

“Memang saya tak pernah kenal siapa sebenarnya Loque namun saya punya persepsi bahawa dia seorang yang ada dunia sendiri dan agak tersendiri. Kalau sebelum ini pun, air tangan dia mesti orang kata berbeza dari komposer lain.

“Apabila sudah kenal, ternyata semua tanggapan itu betul tapi pada sisi yang positif. Saya rasa bertuah kerana sepanjang saya menceburi industri ini, saya berpeluang belajar dengan tiga orang pemuzik hebat iaitu Faizal Tahir, Aizat Amdan dan Loque.

“Ketiga-tiga mereka memang berlainan dan Loque punya kreativiti muzik yang memang tak sama dengan orang lain,” katanya.

Menurut Aisyah, dia melihat Loque sarat dengan nuansa puitis dan punya sentimen nusantara yang sangat kuat dalam dirinya.

“Tak perlu cakap lagu, kalau kita berbual dengannya dalam suasana yang santai, tetap akan ada metafora dan nada-nada puitis. Jadi memang itulah karektor dia namun yang penting, dia menjadi diri sendiri tanpa perlu ikut cara orang lain,” katanya.

Bercerita lanjut, menurut Aisyah, proses rakaman lagu Uda & Dara juga sebenarnya memberi tekanan buat dirinya memandangkan di situ barulah dia tahu bahawa Loque adalah seorang yang amat mementingkan kesempurnaan dalam karyanya.

“Rakaman lagu ini saya sifatkan adalah yang paling memenatkan. Bayangkan saya berdiri selama tiga jam di dalam studio untuk merakamkan lagu ini.

“Loque memang nak yang terbaik tetapi dalam masa yang sama, saya puji dia kerana dia tidak suka mengubah suara asal penyanyi. Macam yang berlaku pada saya ketika proses rakaman berlangsung, dia tidak mengubah suara saya sebaliknya lebih senang untuk saya kekalkan nada suara asal.

“Ini memberi interpretasi bahawa dia sememangnya benar-benar menghargai bakat semulajadi saya. Cuma cabarannya ialah dia juga menguji bagaimana saya perlu menyanyi dengan sempurna agar tidak merosakkan keseluruhan lagu,” katanya.

Bagaimanapun kata Aisyah, itu bukanlah satu rungutan kerana baginya antara pengalaman dan pembelajaran berharga buat artis baharu seperti dirinya malah pada masa yang sama, satu penghormatan dapat menuntut ilmu daripada seorang komposer berpengalaman seperti Loque.