Justeru pemilihan pelakon Lisa Surihani sebagai duta baharu Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dianggap langkah yang tepat.

Bukan sekadar ‘suara’ seorang ibu, lebih penting Lisa Surihani yang sedang menanti kelahiran anak kedua, turut membawa pengaruhnya sebagai pelakon terkenal dalam mempromosikan usaha membela hak kanak-kanak sejagat melalui pelbagai inisiatif dan kempen yang dianjurkan pertubuhan itu.

Pengumuman yang dibuat oleh wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh, membuatkan nama pelakon tersebut kini sebaris dengan selebriti antarabangsa lain se­perti David Beckam, Jackie Chan, Priyanka Chopra dan Agnes Chan.

Selain memang sukakan kanak-kanak, Lisa Surihani mengakui pernah mengimpikan untuk menjadi sebahagian daripada anggota sukarelawan UNICEF membela nasib kanak-kanak terbiar di negara ini.

“Sejak bergelar ibu, perasaan saya terhadap kanak-kanak semakin sensitif dan saya sentiasa mahu melindungi mereka apabila melihat kanak-kanak menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab.

“Mereka bukan sahaja memerlukan penjagaan dan kasih sayang, tetapi lebih daripada itu. Cara terbaik untuk mengukuhkan generasi akan datang adalah dengan menyediakan kanak-kanak yang terpinggir dan lemah, peluang untuk hidup lebih baik pada hari ini.

“Membuat pelaburan yang besar kepada kanak-kanak ini bukan terletak pada satu individu atau pertubuhan sahaja, sebaliknya ia patut menjadi tanggungjawab semua tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

“Saya berbangga dan berbesar hati dipilih sebagai duta baharu UNICEF. Saya akan gunakan peluang ini untuk memperjuang hak kanak-kanak ini, seterusnya meningkatkan kesedaran kepada orang ramai bahawa pentingnya perlindungan kepada generasi ini demi masa depan bersama,” katanya dalam majlis pengumuman duta baharu UNICEF di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sokongan tersebut merangkumi usaha ke arah penghapusan semua jenis keganasan dan jenayah terhadap kanak-kanak, integrasi kanak-kanak kurang upaya, penggunaan Internet yang lebih selamat dan pendidikan awal kanak-kanak.

Dalam pada itu, Clark-Hattingh berkata, pemilihan Lisa Surihani adalah wajar kerana selebriti ini dilihat sentiasa bersemangat untuk memperjuang hak kanak-kanak dengan sikap lantangnya dalam bersuara dan sentiasa mempunyai semangat yang positif.

“Kami berdua percaya setiap orang mempunyai potensi untuk mengubah kehidupan kanak-kanak. Saya yakin Lisa mampu membawa isu yang melibatkan kanak-kanak dan golongan muda di negara ini ke dalam pemikiran orang dewasa.

“Kita bertanggungjawab memberikan kanak-kanak di negara ini peluang yang adil bagi mencapai potensi penuh mereka,” katanya.

Mengenai peranan duta UNICEF, Clark-Hattingh, berkata, untuk tempoh dua tahun ini, mereka akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mewujudkan kesedaran mengenai isu berkaitan kanak-kanak.

Katanya, lebih setengah abad, duta UNICEF di seluruh dunia akan mempromosikan hak kanak-kanak seperti pendidikan, kebebasan, kasih sayang, tempat tinggal, dan kesihatan yang baik.

Alumni Sekolah

019-333 4355

Pembaca dipelawa menghantar berita dan foto tentang aktiviti alumni sekolah ke ruangan Alumni Sekolah. Hantar melalui e-mel [email protected] atau alamatkan kepada: Ruangan Alumni Sekolah, Utusan Melayu (M) Berhad, No 44, Jalan Utusan, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 
Kuala Lumpur.

http://www.tutor.com.my/alumnisekolah