Walaupun Alif Satar sebelum ini lebih dikenali sebagai penyanyi, tetapi rezekinya sebagai pelakon lebih terserlah kini.

Malah apa yang lebih memberangsangkan apabila kemampuan Alif sendiri untuk membawakan watak-watak yang menjadi idaman ramai wanita di luar sana terus memberikan dia tempat yang selesa dalam industri. Boleh dikatakan lakonan Alif mula menjadi fenomena ketika dia membawakan watak Ahnaf Wafiy dalam drama Dia Semanis Honey.

Bercakap mengenai fakta yang dia kini menjadi kegilaan peminat wanita di luar sana, tiada kata-kata yang mampu menjelaskan perasaannya ketika ini.

Namun, kata Alif, bukan mudah sebenarnya untuk dia terima kerana dalam masa yang sama sedikit tidak selesa untuk dia membawa gelaran “kegilaan wanita” itu.

“Apa yang lebih memeranjatkan apabila peminat zaman kini sudah tidak peduli dengan status berkahwin saya dalam kata lain mereka lebih berani.

“Memang saya akui menerima sokongan yang kuat daripada peminat, bagaimanapun tidak terlalu melampau sehingga ada unsur seksual atau apa. Kalau ikutkan memang saya banyak menerima hadiah daripada peminat,” katanya dalam pertemuan dengan Mega HITS baru-baru ini.

Dengan kontroversi demi kontroversi yang membabitkan artis lelaki yang sudah berkahwin dengan peminat, Alif juga tidak ketinggalan ditanya sama ada dia takut untuk terpalit dengan kontroversi yang sama.

Menjelaskan kedudukannya, Alif yakin niat untuk mencari rezeki buat keluarga adalah prinsip utama yang membawa dirinya di dalam dan di luar set.

“Bidang seni adalah lapangan saya mencari rezeki, jadi sebagai orang yang bergantung harap kepada lapangan ini adalah sesuatu yang bodoh jika saya merosakkannya.

“Jujurnya hampir 11 tahun bergelar anak seni, saya sudah melalui bermacam fasa dalam hidup. Dari mempunyai kekasih ramai (ketawa) sehingga saya sudah berkahwin kini. Pengalaman mematangkan saya,” ujarnya menyambung perbualan.

Berkahwin pada 15 September 2014, dengan wanita pilihan hatinya, Shadila Halid, 33, pasangan bahagia itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Alisha Anugerah, 2, dan Ariana Mecca lapan bulan.

Meletakkan keluarga sebagai fokus utama kehidupannya, jelas Alif kejayaan ini adalah berkat sokongan daripada keluarga kecilnya ini.

“Shad tidak punyai masalah dengan kerjaya saya. Bagi saya, seorang suami, perlu tahu adalah penting untuk tidak mencalarkan keyakinannya. Dalam erti kata lain, jangan buat masalah,” kata Alif lagi.

Murah Rezeki

KEJAYAAN yang melimpah ruah amat disyukuri Alif dan sebagai tanda syukur pada kurniaan Yang Maha Esa itu, Alif bakal membawa ibu dan ayahnya menunaikan umrah pada Khamis ini.

Sayang sekali, untuk kunjungan kali ini, Shadila tidak dapat turut sama memandangkan isterinya itu perlu menjaga dua anak mereka yang masih kecil.

“Kali ini saya akan hanya pergi dengan ibu dan ayah. Anak saya Ariana baru lapan bulan jadi tidak sesuai untuk bawa keluarga saya sekali.

“Sebelum ini ketika isteri saya mengandung lapan bulan saya turut membawa dia ke sana,” katanya.

Sekembali dari Mekah, dia akan meneruskan kerjaya seninya termasuk mengendalikan program pengembaraan selain terlibat dalam sebuah telefilem, ujar Alif.

Sekalipun penat, namun keseronokan bekerja mengatasi segala lelah sehinggakan dalam kesibukan jadual seninya Alif masih menerima undangan mengadakan persembahan serta mengacara majlis.

“Memang penat, tetapi saya seronok dengan penerimaan peminat dengan kerja keras saya. Ini adalah semangat untuk saya melakukan yang terbaik lagi pada masa depan,” kata Alif mengakhiri perbualan.

Lakonan Neelofa tidak 'kayu'

KETIKA ini bakat Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd. Satar, 27, sekali lagi menerima pujian dalam drama bersiri Red Velvet.

Kali ini gandingannya ialah pelakon wanita popular, Noor Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa.

Bagaimanapun, kemampuan Alif membawakan watak Izzat dikatakan telah ‘membunuh’ watak Helena lakonan Neelofa sehingga peminat menggelarkan pelakon wanita cantik itu ‘kayu’.

Menepis dakwaan itu, kata Alif, sebagai orang yang bekerja dengan Neelofa dia yakin bukan itu yang harus dilemparkan oleh peminat kerana pasangannya dalam Red Velvet itu sudah berjaya membawakan watak tersebut.

“Dengan jadual Neelofa yang saya anggap tidak masuk akal memandangkan ketika penggambaran dia terpaksa berulang alik ke luar negara, dia sebenarnya berjaya membawakan watak itu dengan baik.

“Malah kalau ikutkan watak itu sekali gus melupakan kita dengan Neelofa sebenar memandangkan dia berjaya menjiwai watak itu,” tambah Alif yang sangat mengagumi pencapaian rakan seperjuangannya itu.

Secara jujurnya juga, Alif berpendapat, gelaran ‘kayu’ bukanlah label yang manis untuk menggambarkan kemampuan Neelofa.

Lebih penting daripada itu, Alif turut menegaskan, bukan suatu yang adil untuk orang di luar sana menghakimi lakonan pelakon jerkenaan tanpa mengetahui usaha yang dibawa oleh Neelofa.

“Pada pendapat saya Neelofa tidak ‘kayu’, sebab dia mampu membawakan watak itu dengan baik. Malah saya sendiri dapat rasakan dia menjiwai watak tersebut. Tidak adil sebenarnya untuk mereka di luar sana keluar dengan kenyataan yang mengatakan dia ‘kayu’ dalam lakonan,” kata Alif mempertahan Neelofa.

Mengenali siapa Neelofa dalam industri, Alif sedia maklum akan ada sahaja perkara yang tidak kena pada mata orang ramai mengenai pelakon dan ahli perniagaan yang berjaya itu.

Dari kaca mata Alif, Neelofa memenuhi kriteria lain sebagai wanita berjaya dan tiada apa yang mengejutkan untuk orang di luar industri mencari kesalahannya.

“Mungkin dalam lakonan orang akan labelkan dia ‘kayu’ untuk menampakkan kesalahannya walhal dia tidak kayu pada pendapat saya. Senang cerita kita tidak akan mampu untuk memuaskan hati semua orang,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi.

Jika Alif sebelum ini berjaya dengan drama Dia Semanis Honey, Neelofa pula turut mencetuskan fenomena tersendiri dalam drama Suri Hati Mr. Pilot.

Bagaimanapun, gandingan kedua-dua pelakon ini dalam drama Red Velvet seperti tidak mencetus magis yang sama.

Namun, Alif yang pernah popular dengan lagu Jangan Nakal dan Lelaki Seperti Aku itu yakin, Red Velvet sudah mencapai kejayaan tersendiri.

“Tentulah pada awalnya saya berdebar dengan penerimaan orang, takut juga tidak menepati keinginan penonton.

“Tetapi saya selalu berkomunikasi dengan peminat untuk memberi drama ini peluang dan menyaksikan bagaimana drama ini membina kedua-dua watak Izzat dan Helena. Dan akhirnya peminat akui, kemampuan drama ini,” ujar Alif yang juga finalis program realiti One In A Million musim pertama.