Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Lelaki kelakar bukan mata keranjang

Mohd. Nasrul Faiz Abu Aza
Mohd. Nasrul Faiz Abu Aza

Jika anda antara 650,000 orang pengikut Instagram @faizdickievp, nama Kak Leha Bunting, Sarabanon, Cikyam, Nurse Puaka dan Naabella Hijabis sudah pasti biasa didengar, malah menyebut nama karakter-karakter itu sudah cukup ‘menggeletek’ perasaan.

Mohd. Nasrul Faiz Abu Azal, 29, atau lebih dikenali dengan nama Faiz Dickie, merupakan individu di sebalik watak-watak popular berkenaan yang membawa mesej humor dalam bentuk komik dan video di laman sosial tersebut.

Paling popular sudah pasti watak Kak Leha Bunting yang memiliki mulut kecoh dengan mengupas topik-topik mahu pun situasi-situasi yang sering berlaku dalam masyarakat dengan menggunakan pendekatan sarkastik.

Menurut anak kelahiran Selayang Baru, Selangor itu, dia mula dikenali sekitar empat tahun lalu dan kemuncak popularitinya ketika dia menyambung pengajian sarjana dalam bidang media digital di Universiti Sussex, United Kingdom, apabila dia dinobatkan sebagai bintang popular kategori Online oleh sebuah akhbar.

Tidak pernah menyangka dikenali dengan video-video lucu, Faiz Dickie beranggapan video-video dan lawak yang dilakukan sekadar menghiburkan hati orang dan tidak berniat untuk mencari publisiti.

“Saya adalah anak bongsu daripada lima beradik. Abang dan kakak saya sudah berusia, malah jarak usia saya dengan kakak saya nombor empat sembilan tahun, jadi saya dibesarkan dalam keadaan keluarga yang tipikal Melayu dan menjalani kehidupan biasa.

“Pun begitu, selepas tamat pengajian saya bekerja dalam bidang kewartawanan dan saya akui agak tertekan. Daripada situ saya menghasilkan video-video lucu untuk menghiburkan hati dan tidak sangka saya telah mencipta karakter lain dalam diri saya,” ujarnya.

Mengakui sejak popular di laman sosial dengan video-video dan komik humor yang dimuat naik, ramai wanita cuba mendekati dan ingin berkawan kerana ‘jatuh hati’ pada lawak yang ditonjolkan.

“Setiap hari, ada sahaja mesej yang diterima di Instagram daripada wanita yang ingin ajak saya keluar, ajak lepak, ajak minum, malah ada juga yang ajak saya kahwin kerana terlalu suka pada karakter itu.

“Memang saya akui, lelaki yang pandai berlawak lebih mudah diminati dan didekati wanita, mungkin kerana mereka mudah membuatkan orang terhibur sehingga menyebabkan orang di sekeliling rasa seronok dan bahagia,” ujarnya.

Menafikan lelaki kelakar adalah mata keranjang, sebaliknya ujar Faiz, tanggapan tersebut timbul kerana sikap mereka yang mudah bertegur sapa dengan orang di sekeliling, apatah lagi jika menjadi orang yang dikenali masyarakat.

Jelasnya, pelawak lelaki atau wanita juga sering dilabelkan mempunyai wajah tidak kacak dan cantik, namun perwatakan mereka menjadi karakter utama yang menarik orang ramai senang mendampingi mereka.

“Saya akui apabila saya memegang karakter Kak Leha Bunting dan Sarabanon, saya nampak kelakar, namun realitinya apabila saya menjadi Faiz, saya seorang yang agak serius dan tidak banyak bercakap.

“Namun disebabkan saya dikenali ramai, ada ketika mereka menganggap saya seperti Kak Leha Bunting jika bertemu di luar.

“Walaupun saya tidak selesa, saya bersyukur kerana watak yang saya bawa memberi kesan kepada pengguna laman sosial,” jelasnya.

Oleh sebab itu ujar Faiz, setiap isi kandungan bahan humor yang dimuat naik akan ditapis sebelum disiarkan agar tidak menyinggung atau menjadi isu sensitif kepada golongan tertentu.

Gemar memerhatikan perwatakan orang serta pengalaman sendiri berdepan dengan pelbagai keadaan, Faiz mengangkat keadaan itu sebagai idea untuk dia membuat video berbentuk sindiran, sinis, nasihat malah mempromosikan produk.

Akuinya, biarpun ada yang menyifatkan seolah-olah memperbodoh diri, Faiz tidak kisah apa yang difikirkan orang kerana setiap video dan komik yang dipaparkan mempunyai mesej berilmu di sebaliknya.

“Apa yang paling saya banggakan, saya sudah lama pasang angan-angan untuk bawa ahli keluarga bercuti. Alhamdulillah saya berjaya merealisasikan impian itu apabila dapat membawa mereka ke Krabi, Thailand baru-baru ini dengan hasil pendapatan video-video lawak saya,” jelasnya.

 

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan