Keengganannya untuk berkawan dengan lelaki kaya bukanlah dipengaruhi orang sekeliling tetapi hatinya tidak ke arah itu. Baginya, dia lebih selesa untuk hidup menggunakan hasil wang yang dicari sendiri tanpa bergantung harap daripada orang lain.

Tanpa menyembunyikan perasaan, Janna akui seboleh-bolehnya dia tidak mahu menjalinkan hubungan istimewa dengan golongan tersebut.

“Saya tidak pernah menyasarkan untuk berkahwin dengan lelaki kaya. Ya, mungkin orang kata apabila mendirikan rumah tangga dengan golongan ini, kehidupan akan senang dan serba mewah.

“Sebenarnya kekayaan bukan penentu kebahagiaan. Saya tak nak golongan wanita mudah dibeli dengan wang ringgit.

“Saya tak malu untuk mengaku, takut nak dekati lelaki kaya. Kalau diberi pilihan, saya memang nak elakkan untuk mendekati atau didekati oleh mereka.

“Tak dinafikan zaman ini masih ada lagi yang anggap wanita senang ‘dibeli’. Walaupun bukan semua tetapi hakikatnya wujud. Saya memang tidak bergaul dengan golongan kaya. Saya selesa begini,” katanya.

Pada usia 23 tahun, Janna atau Nurul Jannah Muner masih lagi mementingkan keluarganya dan belum terfikir untuk menamatkan zaman bujangnya dalam waktu terdekat.

Tidak pernah mengehadkan ciri-ciri lelaki idaman yang boleh mendekatinya, kata Janna, dia boleh sahaja berkawan dengan sesiapa terutama golongan sederhana.

“Keluarga tetap keutamaan saya. Meskipun orang kata usia begini sesuai untuk menjalinkan hubungan dan mempunyai teman lelaki tetapi pada saya, belum waktunya lagi.

“Malah saya langsung tak kisah jika bakal suami tak kaya. Asalkan dia rajin bekerja sudah menggembirakan. Sekurang-kurangnya boleh membantu perniagaan saya.

“Kalau pemalas dan (hanya) menunggu perempuan yang sara hidup dia, lebih baik saya tendang dia saja,” selorohnya.

Dalam pada itu, Janna turut mengulas mengenai keterbukaannya untuk berkawan dengan golongan berlainan jantina yang sering menerima pandangan buruk daripada masyarakat luar.

Menurut Janna yang juga pengasas produk penjagaan kulit berjenama Sephia, sebagai ahli perniagaan, dia tidak boleh membataskan pergaulannya yang perlu berhadapan dengan klien.

“Saya sangat terbuka dan tak sekat untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Mana boleh pilih kawan kerana saya jual produk dan orang ada perniagaan kena berkawan dengan sesiapa tanpa menghakimi.

“Lagi ramai kawan sebenarnya lebih bagus. Dapat meluaskan jaringan hubungan dan kembangkan lagi perniagaan saya pada masa akan datang.

“Cuba bayangkan, kalau saya memilih kawan dan tentu produk saya tak laku dan tak ramai yang beli. Takkan saya nak rugi mestilah kena ada keuntungan bila sudah keluar modal besar,” ulasnya.

Cara masing-masing

TELAH mengeluarkan Sephia sejak dua tahun lalu, produk kecantikan yang menggunakan minyak argan serta bahan semula jadi itu kini sudah mempunyai empat rangkaian penjagaan kulit berasaskan alami.

Ditanya mengapa baru sekarang memilih untuk dilancarkan, kata Janna, dia mahu mengelakkan berlakunya pembaziran menyebabkan dia berhati-hati memilih waktu sesuai.

“Saya tidak mahu pembaziran berlaku pada waktu pelancaran dan promosi. Biar produk itu bergerak sendiri terlebih dahulu dan apabila sudah berjaya barulah saya lancarkan. Jadi ini waktu yang sesuai.

“Saya ini orangnya kedekut yang tak suka membazirkan duit hanya untuk mengadakan majlis pelancaran. Pada saya, kalau nak buat sebarang pelancaran produk biar saya guna duit hasil produk yang sudah terjual, bukan guna duit modal,” katanya.

Bercerita tentang produknya, Janna berkata, dia mengambil masa selama enam bulan sebelum yakin tentang keberkesanannya untuk dikongsikan dengan para pengguna.

Malah katanya, Sephia tidak berdepan dengan isu penggunaan bahan terlarang memandangkan produk tersebut menggunakan bahan semula jadi.

“Sephia adalah produk berasaskan minyak argan yang semua orang tahu adalah minyak terbaik dan sering menjadi pilihan kebanyakan produk ternama.

“Malah testimoni pengguna Sephia semuanya memberi pujian positif. Saya memang tak sangka dengan sambutan yang diterima.

“Sebelum dijual, saya buat kajian hampir enam bulan iaitu sekitar hujung 2015. Saya cuba sendiri minyak argan ke atas kulit saya. Apabila lihat hasilnya, saya tanpa ragu-ragu kongsikan kepada pengguna,” ungkapnya.

Sebagai seorang peniaga, Janna percaya promosi dari mulut ke mulut lebih berkesan berbanding menggunakan kuasa tular di media sosial.

Masing-masing ada strategi tersendiri untuk melariskan jualan, begitu jua dengan anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu yang memilih untuk tidak berbelanja besar untuk promosi.

“Sejujurnya saya katakan, produk Sephia tidak memerlukan promosi berlebihan sebab kalau orang cakap produk yang digunakan itu bagus jadi akan sampai ke mulut orang lain.

“Saya masih percaya dengan promosi dari mulut ke mulut malah saya lebih senang jika produk pergi dahulu berbanding nama saya sebagai Janna Nick.

“Saya tidak mahu orang beli produk Sephia kerana nama saya sebaliknya saya mahu mereka beli kerana kualiti serta keberkesanan produk itu.

“Tentang strategi nak lariskan produk, itu hak masing-masing. Mungkin ada kalangan mereka yang lebih bersemangat apabila video promosi produk mereka tular dan menyuntik jiwa peniaga untuk menghasilkan lebih banyak jualan,” tuturnya.