Program itulah yang menjadi penanda aras kejayaan Banks dan inspirasi buat wanita yang bercita-cita untuk mengikut jejak langkahnya. Sambutan memberangsangkan saban tahun menjadikan program tersebut dikekalkan hingga hari ini walaupun sudah diterbitkan 14 tahun lamanya.

Banks berdiri teguh dalam penjenamaan diri dan terus konsisten dalam soal kerjanya. Anak jati Inglewood, California, Amerika Syarikat (AS) ini juga meletakkan komitmen kerja di tangga paling atas dalam carta hidupnya.

Secara dasarnya, dia dilihat seolah-olah mengabaikan kepentingan peribadi untuk mencari cinta sejati. Tambahan pula pada usia 43 tahun, kebiasaannya wanita seperti dirinya sudah mempunyai keluarga dan penghidupan sendiri.

Bagaimanapun yang jelas, Banks ada pengertian dalam bab bercinta ini. Biarpun dilihat kurang bernasib baik apabila kisah cintanya dengan lelaki yang dikaitkan dengannya tidak berjaya, namun apa yang penting buatnya adalah keikhlasan seseorang itu.

“Saya tidak akan mengungkit kisah cinta lama saya. Tetapi dalam hubungan cinta ini, saya tidak akan berbohong dengan perasaan sendiri. Ianya sangat teruk kerana membabitkan perasaan yang paling dalam.

“Meskipun begitu, saya tak mahu tewas. Sebaliknya saya menjadikan kekecewaan itu sebagai kekuatan untuk berdepan dengan apa jua permasalahan mendatang,” kata Banks mengulas tentang kisah cintanya.

Dalam soal citarasa memilih calon teman lelaki terbaik, dia bukan seorang yang cerewet. Malah, tidak pernah mendambakan cinta lelaki golongan jutawan, bangsawan, ahli perniagaan atau golongan atasan sebagai kriteria untuk menjalinkan hubungan cinta.

Sebaliknya jika diteliti rata-rata lelaki ‘pilihan’ Banks terdiri daripada golongan sederhana yang turut berkaitan dengan dunia peragaan ataupun seni, selain juga pernah menjalinkan hubungan cinta dengan golongan atlet dan profesional.