Tetapi ada kumpulan nasyid dianggotai 16 orang. Itulah keunikan yang dimiliki oleh kumpulan yang membawa jenama Generasi Harapan (GH). Malah, tambah menarik, kesemua mereka berkongsi pertalian darah yang sama dan bersatu sebagai adik-beradik dengan satu bapa dan empat ibu.

Berkongsi kecenderungan dalam dunia muzik dan nyanyian bercorak Islamik, GH yang diwakili oleh Mohd Rifaah, Mohd Fida’uddin, Fathiyyah dan Bariirah dalam satu sesi fotografi memberitahu, GH yang ditubuhkan sejak tahun 2009 sebenarnya telah terlebih dahulu menempa nama di luar negara.

Kata Rifaah, keadaan itu berlaku bukan sebab yang disengajakan. Tetapi, kebetulan, adik-beradiknya banyak menetap di luar negara kerana komitmen perniagaan dan menyambung pengajian.

Antara negara yang berjaya ‘ditakluk’ oleh GH ialah Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, Australia, United Kingdom (UK), Perancis dan negara di Timur Tengah.

“Tidak terlintas langsung menjadikan ia sebagai antara strategi, tetapi kebetulan, ramai antara adik-beradik kami yang berada di luar negara maka sekali gus kami ambil peluang itu untuk berkongsi muzik dan lagu kami dengan pendengar di sana.

“Tak sangka pula mendapat sambutan sehingga kami banyak mendapat jemputan membuat persembahan di luar negara,” katanya.

Menurut Rifaah, selepas merasakan kini adalah masanya untuk berkongsi karya mereka dengan pendengar tempatan, GH mengakui kehadiran mereka bukanlah untuk menyaingi kumpulan nasyid sedia ada.

“Kami lihat industri muzik nasyid sebenarnya masih baik dan tidak lesu seperti mana yang dianggap oleh sesetengah orang. Kerana itu, pelapis-pelapis baharu perlu ada demi memastikan muzik nasyid itu sentiasa hidup.

“Kami juga hadir bukan sekadar mahu berkongsi karya, tetap dalam masa yang sama mahu menyampaikan dakwah menerusi nasyid dalam cara dan gaya yang lebih baharu dan tidak bosan untuk dihayati,” katanya.

Selain itu, kata Rifaah, GH juga tidak cuma berbakat dalam bidang nyanyian. Kesemua mereka mempunyai bakat yang berlainan dalam pelbagai bidang termasuklah penulisan lirik, gubahan lagu, lakonan teater dan drama.

Tidak cuma itu, mereka juga ada yang berbakat dalam penulisan skrip, tarian, bermain alat muzik serta terlibat dalam sukan memanah dan berkuda.

“Ini adalah antara kelebihan yang kami ada. Kami mahu buktikan kepada semua bahawa bakat kami tidak terpencil pada satu perkara sahaja. Malah, kami juga turut menubuhkan akademi sendiri.

“Di akademi itu, kami sediakan peluang untuk mereka yang berminat untuk mendapat pendedahan dan latihan mengenai bidang-bidang yang diminati.

“Antara program yang kami sediakan termasuklah seni budaya, multimedia, fotografi, penulisan skrip dan juga videografi.

“Malah, kami juga ada menghasilkan drama dan video klip sendiri menggunakan tenaga kepakaran yang dimiliki oleh masing-masing di bawah akademi ini,” katanya yang turut memberitahu GH juga memiliki studio sendiri di lapan buah lokasi iaitu di Kedah, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Hadir dengan album kelima berjudul Takkan Terputus Lagi Hati Dengan-Mu, kata Rifaah, berbeza dengan empat album terdahulu, ini adalah kali pertama mereka lancarkan album di bumi Malaysia sendiri.

Turut berkongsi lanjut, katanya lagi, album yang mengandungi 17 buah lagu itu mengetengahkan lagu berjudul Nama Mu Allah, Palestin Kita Tercinta dan Tuhankan Ada sebagai sandaran utama.

Dalam pada itu, merancang untuk membuat siri jelajah dalam negara, GH sudah merangka program itu yang kini sudah mula digerakkan demi mempromosi album kelima mereka termasuk produk GH yang lain dalam masa yang sama.