Memerlukan dirinya untuk sentiasa bersedia dengan isu-isu semasa, MHI merupakan ruang buat Hanif untuk membuktikan kemahiran dirinya dan tidak cuma terus berada di zon selesa.

Merupakan pengacara sukan sebelum ini, Hanif mengaku teruja apabila diberi tanggungjawab sebagai pengacara MHI lantaran meletakkan ia satu pencapaian terbaik dalam hidupnya setakat ini.

“Tentu sekali cabarannya adalah bagaimana saya perlu meletakkan diri setanding dengan pengacara MHI sebelum ini. Mereka yang terdahulu bagi saya adalah hebat dan ini adalah peluang yang bagus untuk saya berkembang dalam bidang ini.

“Untuk memantapkan diri, terus-terang, saya suka melihat cara Ally Iskandar mengendalikan program tambahan pula dia sudah berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini yang mana orang tak tahu, mengendalikan sebuah program secara langsung, ia bukan mudah,” katanya.

Hal yang sama dikongsi oleh rakan setugasnya, Enni Rohaiza Hamzah yang menganggap tugasnya sebagai pengacara MHI tidak sama seperti bergelar pengacara program TV lain.

Berkonsep semasa dan membincangkan isu berat, Enni yang tidak punya pengalaman sebagai pengacara sebelum ini mengaku sukar pada awalnya untuk menyesuaikan diri namun tetap mahu mencabar diri sendiri.

“Sebelum ini saya pernah terbabit menjadi pembaca berita separuh masa, namun ia tetap tak sama dengan program MHI yang disiarkan secara langsung dan tidak mengikut skrip.

“Ia satu lonjakan yang besar dalam hidup tambahan pula saya sangat-sangat baru,” katanya yang bersiaran tiga kali seminggu sejak mengendalikan program MHI awal bulan ini.

Bersetuju dengan Hanif dan Enni, bekas pramugari Air Asia, Anim Ezati Md Khalid juga sedar tanggungjawab sebagai pengacara MHI bukan senang.

Optimis bahawa dia mampu memberikan perkongsian yang berguna dengan penonton, Anim bercita-cita untuk menggunakan platform MHI untuk menyampaikan ilmu dan informasi buat seluruh masyarakat.

“Sama seperi Hanif dan Enni, saya juga melihat peluang untuk mengacarakan MHI adalah satu pencapaian terbaik dalam hidup, ia satu tugas yang besar.

“Namun saya juga berterima kasih kepada senior kerana rata-rata mereka tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan kami dan itu sudah cukup membuatkan saya rasa terharu dan merasa diterima di kalangan keluarga MHI,”katanya yang berusia 25 tahun.