Filem yang mengangkat adik-beradik ini ke layar lebar mungkin tidak diketahui ramai sebelum ini. Tetapi yang telah dipersembahkan oleh Atu, Syaiful dan Syarif mampu menggeletek hati penonton yang hadir menyaksikan mereka di pawagam.

Bagi pengarah filemnya, Roy, dia menganggap penglibatan mereka melebihi jangkauan asalnya sebagai seorang sutradara. Mereka bukan sahaja bakal membuatkan penonton yang hadir ketawa dengan keletah dan lawak jenaka tetapi turut menyelitkan unsur-unsur positif kepada khalayak.

“Sebenarnya sejak awal lagi saya yakin yang mereka mampu memberikan sesuatu apabila melihat komitmen dan kerja keras yang diberikan. Apatah lagi ketiga-tiga mereka mempunyai keserasian yang tinggi membuatkan kerja-kerja pengarahan saya menjadi mudah.

“Masing-masing tahu yang perlu dilakukan dan tak memberikan banyak masalah ketika penggambaran. Itu yang membuatkan saya tambah bersemangat dan yakin filem Lu Mafia Gua Gangster akan menawan hati peminat,” kata Roy.

Bukan berkisahkan kepada sisi gelap atau dunia gangster yang ditakuti ramai sebaliknya merupakan filem aksi komedi yang pasti menggeletek hati penonton. Roy mengakui yang kumpulan Zero sendiri mampu melakonkan babak jenaka yang tidak dapat dijangkakan.

Berbanding dengan pelawak yang sudah mempunyai nama dan gaya tersendiri, lawak Zero masih belum dapat dibaca oleh peminat dan itu menjadi kelebihan kepada Roy untuk membentuk aliran cerita seperti yang dikehendaki.

Selain kumpulan Zero, filem ini turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Zack Taipan, A Galak, Shira Saad, Zulkifli Ismail, Along Ezyndy, Azlee Senario dan penampilan istimewa Syanie serta Saiful Apek.

Menjalani penggambaran sekitar Johor Bahru, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, Lu Mafia Gua Gangster juga dibawa ke India untuk proses pasca produksi bagi memberikan lebih kualiti.

Pengalaman

Berkongsi cerita, Roy tidak menafikan yang dia banyak menimba pengalaman sebelum ini dan diterjemah menerusi filem ini. Selain pernah mengarahkan 16 buah filem berbahasa Melayu, Mandarin dan Tamil, dia juga menimba pengalaman di India selama enam tahun.

Cucu kepada pengarah L Krisnan yang popular dengan filem-filem P Ramlee ini juga mengakui yang dia menyambung pengajian dalam bidang perfileman selama tiga tahun dan pernah menjadi kru untuk memantapkan lagi bakat pengarahan.

“Saya tahu tak mudah untuk membawa sebuah naskhah berbahasa Melayu dengan mudah. Tapi pengalaman yang ada sebelum ini menjadi pemangkin dan menambahkan keyakinan saya untuk mencorakkan naskhah ini.

“Untungnya semua pelakon yang dipilih juga memberikan kerjasama baik dan tak mendatangkan banyak masalah. Sebab itu saya yakin filem ini bakal mencapai sasaran seperti yang diharapkan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai pembabitan Jalaluddin Hassan, Roy mengakui yang mereka sudah mempunyai hubungan yang baik sejak belasan tahun yang lalu.

Antara dia dan pelakon hebat tersebut sudah ada keserasian dan tidak menjadi masalah besar untuknya memberikan arahan sepanjang penggambaran berlangsung.

Berlainan dengan watak-watak orang penting, ahli perniagaan atau tokoh korporat yang selalu dibawa oleh pelakon tersebut, menerusi filem ini Jalaluddin tampil berbeza apabila membawakan watak ketua gangster dengan aksi bersahaja.

“Ini kelainan yang cuba kita tampilkan apabila menggandingkan dia dan Zack Taipan. Masing-masing sudah ada keserasian dan menjadi tulang belakang kepada cerita ini secara keseluruhannya.

“Cuma kita menambah Zero untuk menguatkan lagi cerita dan pastinya dapat disampaikan dalam naskhah komedi yang lebih mudah difahami dan dekat di hati penonton,” tambahnya.

Lu Mafia Gua Gangster mengisahkan tentang Atu dan Syaiful yang bekerja di tapak pelupusan sampah di Johor. Sementara itu Sharif pula adalah penjaga mereka dan masing-masing mempunyai impian tersendiri.

Sementara Jalaluddin dan Zack Taipan adalah gangster besar di kawasan tersebut yang kehilangan sejumlah berlian akibat satu insiden.

Kotak yang menyimpan berlian tersebut akhirnya dibuang dan dihantar ke tempat mereka bekerja.

Konflik bermula apabila Atu terjumpa berlian tersebut dan pihak satu lagi sedang mengesan siapakah yang menjumpainya.

Pelbagai adegan menarik, lucu dan bersahaja dapat disaksikan menerusi filem ini.