Bayangkan saban hari, dalam keseronokan berkongsi rasa dengan khalayak dan warganet, setiap hari juga dirinya menerima setimbun surat daripada individu atau persatuan yang memohon bantuan.

Boleh saja kalau dia mahu tutup mata dan tidak menghiraukan setiap permintaan, namun itu bukan cara pengasas kosmetik popular Vida Beauty Sdn. Bhd. ini. Sebaliknya dia sentiasa cuba memikirkan cara terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan terutama dalam meraih rezeki seperti dirinya.

Malah lebih penting, dia mahu membantu bukan sahaja menambah rezeki orang ramai, tetapi pada masa yang sama menyimpan impian agar setiap kebajikan yang dilakukan dapat dikumpul sebagai saham akhiratnya kelak.

Sudah banyak yang dilakukan dalam dunia perniagaan dan kini dia memperkenal pula Lavida Coin, cara mudah melaksanakan urus niaga bitcoin yang merupakan sejenis mata wang kripto atau digital yang melibatkan pertukaran dalam alam maya.

“Saya tidak mungkin boleh membantu setiap orang dengan menghulurkan wang semata-mata, sebaliknya saya mahu khalayak juga berpeluang menikmati rezeki seperti saya.

“Justeru saya berkongsi kaedah terkini melalui Lavida Coin yang bukan sahaja mudah malah tidak membebankan serta mampu menjana pendapatan yang lumayan,” katanya.

Menurut DSV, selepas mencuba sendiri pelaburan mata wang kripto sejak dua tahun lalu dan mendapati aktiviti tersebut menguntungkan, maka dia membangunkan Lavida Coin dengan memiliki sebuah pasukan yang profesional dan lengkap.

Baru sahaja mengadakan pralancar baru-baru ini, ternyata pelaburan Lavida Coin mendapat sambutan ramai dan DSV menjangkakan harganya akan naik menjelang penghujung tahun ini.

“Beli sekarang kerana harganya murah dan jual semula menjelang Krismas nanti memandangkan harga mata wang ini dijangkakan melambung ketika itu,” ujar DSV berkongsi tip.

Masjid di Lavida Land

SELAIN mahu membantu orang ramai memperoleh pendapatan lumayan, DSV turut menyimpan impian membina masjid dengan hasil perdagangan mata wang baharunya ini.

Biarpun sudah menyumbang banyak kepada pembinaan masjid, namun wanita kental ini berhasrat untuk membina sebuah masjid dengan seni bina terindah yang bakal dinamakan DSV Galaxy Mosque yang terletak di tanah seluas 10.12 hektar (25 ekar) di Meru, Ipoh, Perak.

“Kalau boleh saya mahu masjid itu nanti tersenarai dalam Wonders of the World. Itu juga saham akhirat saya malah dengan adanya masjid itu nanti secara tidak langsung boleh menaikkan nilai Lavida Coin saya.

“Bukan setakat masjid, di kawasan tersebut juga akan dibina hotel, pangsapuri, tempat rekreasi dan sebagainya dan semua itu akan dibina di atas tanah milik Lavida Land kerana saya mahu wujudkan bandar Lavida,” katanya berkongsi impiannya itu.

Orang kita masih was-was dengan wang kripto

MENGENAI pandangan skeptikal sesetengah pihak terhadap pelaburan mata wang kripto atau bitcoin, usahawan selebriti ini mempunyai pandangan sendiri selain menegaskan tidak mungkin mencemarkan nama baik sendiri dengan perkara-perkara yang tidak bertanggungjawab.

“Ini bukan pengubahan wang haram,” tegasnya sambil memberitahu, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan urus niaga dan segala-gala aktiviti adalah telus bawah pengurusan DSV Lavida Coin dan DSV Kelab Kripto.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan pelaburan yang dilakukan kerana setiap satunya dilaksanakan dengan penuh jiwa dan iktikad untuk berjaya.

“Mereka yang berminat boleh membeli Lavida Coin dengan harga serendah RM99 bagi 30 unit Lavida Coin sehingga RM9,900 (3,000 Lavida Coin) dan urus niaga dijalankan dalam Ringgit Malaysia, Dolar Singapura, Dolar Brunei dan Dolar Amerika Syarikat (AS).

“Sebelum saya buat Lavida Coin, saya kaji dan fahami perjalanannya. Aktiviti ini sudah lama wujud cuma di negara kita saja orang masih was-was untuk turut serta,” katanya yang turut memiliki lombong emas di Sudan sejak dua tahun lalu.

Mengenai penggunaan laman sosial untuk mempromosikan aktiviti perniagaan dan seninya, kata penyanyi yang popular dengan lagu I Am Me ini, dia menganggap cara itu lebih berkesan.

“Saya sudah malas sertai atau taja program televisyen. Buat apa kalau konsep yang sama kerana orang akan bosan dan tidak lagi mahu menontonnya.

“Setakat ini, saya tidak perlukan sesiapa untuk mempromosi Lavida Coin kerana saya yakin orang yang tahu tentang perkembangan bitcoin akan menyertai pelaburan ini,” katanya optimis.