Sebelum kumpulan boria mempersembahkan nyanyian serta tarian, biasanya akan dipersembahkan sketsa terlebih dahulu. Antara kumpulan boria yang cukup popular satu ketika dahulu adalah Boria Sungai Pinang. Salah seorang pelawak yang sering tampil berlawak untuk kumpulan tersebut adalah Pie.

Setiap kali Pie atau nama sebenarnya, Shaffii Jaafar muncul, pasti keadaan jadi gamat kerana dia sering tampil dengan lawak yang berkait dan setiap kata-katanya diakhiri dengan suku kata yang sama.

Mungkin generasi muda tidak mengenali siapa Pie atau mesra dengan panggilan Pak Pie. Di kala usia mencecah 84 tahun, Pak Pie yang sebelum ini sering muncul dalam drama dan filem, kini lebih senang menghabiskan usia emasnya bersama keluarga.

Di sebalik jenaka dan gaya bersahaja si Nana Tanjung,kelibatnya sama ada di kaca televisyen atau layar perak jarang sekali gagal menarik tawa penonton.

Biarpun kemunculannya dalam sesebuah naskhah itu hanya sedetik, tetap juga berjaya menghidupkan watak yang diberi.

Namun pasti ramai yang tidak mengetahui akan semangat dan jiwa besar yang dimiliki figura ini dalam memperjuangkan seni budaya yang ditinggalkan generasi lalu.

Bercerita mengenai Pak Pie, pasti ramai yang hanya mengenali anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini sebagai aktor komedi yang sinonim dengan drama atau filem berlatarbelakangkan budaya kehidupan masyarakat Utara Semenanjung khususnya Pulau Pinang.

Namun, di sebalik jenaka dan lakonan bersahaja yang menjadi identiti Pak Pie sebagai anak seni tempatan, tidak ramai yang tahu bahawa aktor yang mula terjun ke dalam industri hiburan tanah air sekitar tahun 1980-an ini sebenarnya berjiwa besar dan bersemangat kental dalam mengangkat warisan budaya tempatan.

Bertemu dengan Pak Pie baru-baru ini di gerai yang diusahakan anak sulungnya, Subariah, 51, di Teluk Bahang, Pulau Pinang, pelawak yang pernah membintangi filem Nana Tanjung ini berkongsi cerita akan usaha yang digerakkan bersama dua rakan baik demi memartabatkan seni budaya boria dan getar di hatinya terhadap senario pentas lawak serta dunia hiburan tempatan sekarang ini.

Ke dunia lakonan

Biarpun lebih 30 tahun menjadi anak seni, bagi Pak Pie kehadirannya dalam industri hiburan tanah air adalah sekadar ‘suka-suka’ selepas dipujuk seorang pengarah yang sedang mencari bakat baharu untuk drama berkisar kehidupan masyarakat Pulau Pinang sekitar tahun 1980-an.

Pak Pie pada mulanya menolak pujukan pengarah terbabit kerana tidak berminat untuk menceburi bidang lakonan. Namun akhirnya dia berlembut setelah melihat kesungguhan pengarah berkenaan untuk menghasilkan drama tentang masyarakat Pulau Pinang.

“Niat saya hanya untuk membantu dan sepanjang terlibat dalam pembikinan sesebuah drama atau filem sepanjang 30 tahun ini, saya tidak meninggalkan kerja tetap di syarikat perkapalan.

“Selain itu, saya juga berfikiran bahawa mungkin dengan drama yang bakal dihasilkan oleh pengarah berkenaan dapat mengetengahkan corak kehidupan dan budaya penduduk Pulau Pinang di negara ini. Bermula dari drama terbabit, saya mula mendapat tawaran lain yang kebanyakan untuk drama atau filem berkait kisah masyarakat Pulau Pinang.

“Tetapi tidak semua tawaran saya terima. Hanya tawaran yang dirasakan baik akan saya terima. Selepas dipersetujui saya akan memohon cuti daripada syarikat agar mudah untuk menjalani penggambaran,” jelasnya.

Namun tambah Pak Pie, selepas terlibat dalam filem Kongsi sekitar 2008, dia mula merancang untuk meninggalkan dunia seni dan akhirnya pada 2011 tekad di hati dibulatkan untuk bersara dari kerja tetapnya selama ini dan juga meninggalkan dunia hiburan.

“Saya tidak lagi bekerja sejak mengambil keputusan untuk bersara walaupun ada tawaran lakonan yang diterima. 

“Cukuplah dari muda saya telah bekerja dan sekarang mahu berehat dan menghabiskan waktu terluang bersama cucu serta cicit,” katanya.

Gelodak dihati

DI sebalik jenaka dan gaya bersahaja yang sentiasa menghiburkan peminatnya, namun jauh di sudut hati, Pak Pie memberitahu dia adakalanya sebak apabila melihat sikap masyarakat termasuk pihak berwajib yang sambil lewa dalam mengangkat adat budaya masyarakat tempatan.

Dalam pemerhatiannya, banyak warisan budaya yang semakin jauh dan tidak lagi menjadi amalan masyarakat khususnya generasi muda, sedangkan tinggalan budaya itu sangat mahal harganya bagi sesebuah masyarakat.

“Dahulu masa membangunkan boria tiada yang membantu dan RTM memainkan peranan bagi mempopularkan warisan seni yang dimiliki masyarakat di negara ini.

“Namun itu semua cerita 30, 40 tahun lalu dan sekarang lihat mana perginya boria-boria di Pulau Pinang? Berapa ramai anak tempatan yang berminat untuk bermain boria?

“Tiada usaha bersungguh mana-mana pihak untuk mempertahankan budaya warisan masyarakat ini biarpun banyak ruang yang di miliki untuk menonjolkan kepelbagaian budaya masyarakat kepada pelancong luar,” katanya.

Tegasnya, melihat keadaan di Pulau Pinang yang menjadi destinasi pilihan kebanyakan pelancong asing tetapi tidak langsung membuka mata pihak berwajib untuk menganjurkan pelbagai program yang boleh mengetengahkan seni warisan budaya masyarakat tempatan.

“Pulau Pinang menjadi destinasi singgahan kapal persiaran yang biasanya membawa pelancong asing. Setiap kali berlabuh pelancong akan melawat tempat-tempat menarik seperti Padang Kota.

“Jadi kenapa tiada usaha seperti menjadikan Padang Kota sebagai pentas budaya yang membolehkan para pemain boria berkumpul dan menunjukkan kehebatan mereka di hadapan pelancong asing setiap kali kapal persiaran berlabuh?

“Saya pernah berkorban dan melakukan apa yang termampu dulu untuk melihat boria berkembang tetapi di usia tua sebegini, saya tidak terdaya lagi untuk berjuang seperti dahulu. Tambahan pula ada rakan seperjuangan yang telah meninggal dunia,” katanya.

Bagaimanapun jelas Pak Pie, jauh di sudut hatinya amat berharap agar masih diberi kesempatan untuk melihat boria kembali menjadi permainan rakyat seperti yang pernah diperjuangkan dahulu.

Selain itu ujarnya, dia juga mahu melihat industri hiburan tanah air yang ditinggalkan kembali menjadi gergasi sehingga mampu menggondol pelbagai anugerah di Festival Filem Asia Pasifik ketika dalam era Tan Sri P. Ramlee.

“Kalau pada zaman P. Ramlee yang teknologinya tidak secanggih hari ini mampu meraih pelbagai anugerah kenapa filem-filem sekarang adakalanya langsung tidak tercalon.

“Demi kelangsungan dan mutu industri hiburan tanah air, penggiat-penggiat seni jangan terlalu mengejar keuntungan dan ‘syok’ sendiri tetapi menghasilkan filem-filem yang benar berkualiti bukan filem mengikut rasa hati sendiri,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sekarang ini ramai yang ingin menjadi artis namun kehadiran mereka seringkali bersandarkan kepada rupa paras tanpa menitik berat soal bakat dan kreativiti.

“Sekarang ini lambakan pendatang baharu dalam dunia hiburan semakin ramai dan cabaran untuk menjadi anak seni lebih berliku, jadi setiap anak seni perlu menonjolkan bakat dan kreativiti yang ada.

“Jangan sekadar syok sendiri dan bergantung dengan pakej rupa paras semata-mata kerana secara tidak langsung lambakkan anak seni yang ‘syok’ sendiri hanya akan menjatuhkan kualiti dan martabat industri hiburan tempatan sendiri,” katanya.

Biarpun lebih 30 tahun menjadi anak seni, bagi Pak Pie kehadirannya dalam industri hiburan tanah air adalah sekadar ‘suka-suka’ selepas dipujuk seorang pengarah yang sedang mencari bakat baharu untuk drama berkisar kehidupan masyarakat Pulau Pinang sekitar tahun 1980-an.

Pak Pie pada mulanya menolak pujukan pengarah terbabit kerana tidak berminat untuk menceburi bidang lakonan. Namun akhirnya dia berlembut setelah melihat kesungguhan pengarah berkenaan untuk menghasilkan drama tentang masyarakat Pulau Pinang.

“Niat saya hanya untuk membantu dan sepanjang terlibat dalam pembikinan sesebuah drama atau filem sepanjang 30 tahun ini, saya tidak meninggalkan kerja tetap di syarikat perkapalan.

“Selain itu, saya juga berfikiran bahawa mungkin dengan drama yang bakal dihasilkan oleh pengarah berkenaan dapat mengetengahkan corak kehidupan dan budaya penduduk Pulau Pinang di negara ini. Bermula dari drama terbabit, saya mula mendapat tawaran lain yang kebanyakan untuk drama atau filem berkait kisah masyarakat Pulau Pinang.

“Tetapi tidak semua tawaran saya terima. Hanya tawaran yang dirasakan baik akan saya terima. Selepas dipersetujui saya akan memohon cuti daripada syarikat agar mudah untuk menjalani penggambaran,” jelasnya.

Namun tambah Pak Pie, selepas terlibat dalam filem Kongsi sekitar 2008, dia mula merancang untuk meninggalkan dunia seni dan akhirnya pada 2011 tekad di hati dibulatkan untuk bersara dari kerja tetapnya selama ini dan juga meninggalkan dunia hiburan.

“Saya tidak lagi bekerja sejak mengambil keputusan untuk bersara walaupun ada tawaran lakonan yang diterima.

“Cukuplah dari muda saya telah bekerja dan sekarang mahu berehat dan menghabiskan waktu terluang bersama cucu serta cicit,” katanya.

Jiwa besar Nana Tanjung

Bertemu dan bersembang santai bersama Pak Pie tidak ubah seperti menonton filem-filem lakonannya. Ini kerana, gaya pertuturan dan sikap seorang pelawak sentiasa ditonjolkan Pak Pie.

Malah, dalam memberikan pandangan dan berkongsi cerita kisah hidupnya, figura yang kini menetap bersama anaknya di Flat Kampung Teluk Bahang, Pulau Pinang ini tidak lupa menyelitkan unsur-unsur lawak, usikan dan kiasan dalam bicaranya.

Biarpun tidak mempunyai tubuh sasa persis hero-hero Malaya, Pak Pie boleh dikatakan mempunyai kelasnya tersendiri sebagai seorang pelawak dengan semangat juang yang tinggi dan berjiwa besar demi memartabatkan warisan seni budaya masyarakat tempatan khususnya budaya masyarakat Pulau Pinang.

Memulakan ceritanya, aktor yang sebelum ini bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan ini memberitahu, dia amat meminati boria dan berpakat bersama dua sahabat baiknya untuk menubuhkan kumpulan boria pada sekitar 1970-an sebaik berpindah dari Alor Setar ketika berusia 29 tahun.

Jelasnya, ketika itu Radio Televisyen Malaysia (RTM) ada menganjurkan pertandingan berkaitan seni budaya mengikut negeri dan di Pulau Pinang ialah pertandingan boria.

“Ketika itu saya telah berhijrah dari Alor Star ke Pulau Pinang dan bertemu dengan sahabat yang sama-sama meminati boria sehingga mencapai kesepakatan untuk menubuhkan kumpulan boria sendiri.

“Namun boria ini dahulunya adalah sekadar persembahan jalanan masyarakat yang dimainkan oleh golongan penduduk kebanyakan tanpa ada disiplin yang dipatuhi. Bukan seperti boria sekarang ini yang lebih tersusun.

“Jadi atas semangat untuk menghidupkan semula boria ini, saya bersama rakan-rakan mula berbincang dalam menentukan disiplin untuk kumpulan boria yang bakal ditubuhkan serta mengarang jalan cerita untuk persembahan nanti,” cerita Pak Pie.

Menyambung bicara, Pak Pie yang sentiasa membuatkan pertemuan petang itu disulami dengan gelak tawa ekoran lawak-lawak bersahaja yang diselitkan memberitahu, setelah mengadakan perbincangan demi perbincangan, akhirnya tertubuhlah Kumpulan Boria Sungai Pinang yang boleh dikatakan menjadi kumpulan boria yang digeruni di Pulau Pinang.

Tegasnya, kesediaan rakan-rakannya menubuhkan pasukan boria itu adalah demi menghidupkan dan mengangkat warisan seni budaya yang ketika itu semakin jauh dalam kehidupan masyarakat.

“Kami tidak mahu boria ini sampai masanya mati seperti keroncong yang sudah amat-amat jarang didendangkan dan usaha untuk kembali mempopularkan boria kami dilakukan sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak.

“Saya dan dua tiga rakan karib yang sama-sama mahu memastikan boria ini kembali hidup sanggup menggadaikan barang kemas isteri masing-masing demi perbelanjaan kumpulan boria kami semasa di awal-awal penubuhannya lalu.

“Kami semua hanya orang biasa yang tidak mempunyai kemampuan, tetapi itu tidak menjadi penghalang untuk terus berjuang demi boria. Alhamdulillah boria kembali menjadi penyeri kehidupan masyarakat setempat serta Kumpulan Boria Sungai Pinang berjaya menjuarai pertandingan anjuran RTM selama lima tahun berturut-turut,” jelasnya.