Perkenalan singkat ketika menyertai sebuah acara di Singapura pada 26 Oktober lalu telah menemukan Lana dengan David McKienziey, 35 tahun. Menyifatkan perkenalan tidak sengaja tersebut sebagai satu pertemuan biasa, Lana tidak menyangka akhirnya mereka bakal disatukan pada 15 Mei ini.

“Saya masih ingat ketika itu masing-masing berkenalan seperti biasa. Namun selepas itu David memberanikan diri menghubungi saya. Saya nampak ada sesuatu yang lain ketika itu dan mengetahui dia mahu berkenalan dengan lebih rapat.

“Cuma sebagai wanita yang berusia 35 tahun, saya sebenarnya penat untuk bercinta lagi. Apabila saya tanyakan kepada dia, adakah dia bersedia memeluk Islam jika mahu berkawan rapat dengan saya, dia mengatakan ya. Dari situ saya saya tahu David serius,” jelas Lana.

Tidak pernah menyasarkan untuk bersuamikan mat salih sebelum ini, Lana juga menafikan dia menolak lelaki Melayu untuk dijadikan teman hidup gara-gara pernah beberapa kali tewas dalam percintaan.

Namun perkenalan dengan David yang juga merupakan pemain bola tampar Sukan Olimpik yang mewakili Amerika Syarikat (AS) itu membuka hatinya untuk menerima lelaki itu sebagai suami dan juga ketua keluarga.

“Saya tak mengejar wedding of the year. Asalkan semua majlis mengikut perancangan pun sudah baik. Setidak-tidaknya saya bernikah cepat dan ‘menutup’ mulut ibu yang sering bertanyakan tentang hal perkahwinan saya,” katanya tertawa.

Menyifatkan lelaki tersebut sebagai seorang yang jujur dan telus, Lana sebenarnya tidak menyangka yang David bersedia untuk memeluk Islam secepat itu.

Namun David sendiri mengakui kepadanya yang Islam bukanlah asing kepadanya memandangkan dia pernah menetap di Kuwait selama tujuh tahun dan bergaul dengan masyarakat Islam yang mendominasi negara berkenaan.

Sebaik sahaja hasrat untuk bernikah dengan David diputuskan, Lana menyatakan perkara tersebut kepada rakan baiknya, pasangan Lisdawati dan Fauzi Nawawi untuk membawa David memeluk Islam pada 5 Disember lalu.

Menggunakan nama Islam, Mohd Daud McKienziey, lelaki berkenaan kini merupakan jurulatih bola tampar di Akademi Bola Tampar AS di Singapura sejak beberapa tahun lalu.

Perancangan

Sebagai wanita, pastinya saat menerima lamaran merupakan kenangan yang tak mungkin dilupakan.

Dia masih ingat bagaimana David melamarnya ketika mereka sama-sama berada di AS awal Januari lalu untuk menemui keluarga David di Long Beach, Carlifornia.

Bagaimanapun lelaki tersebut membawanya ke New York terlebih dahulu dan melamarnya di sana.

Walaupun dibuat secara lisan tanpa diiringi cincin sebagai tanda tetap membuatkan Lana menerimanya tanpa seribu satu pertanyaan.

“Saya sebenarnya risau dengan penerimaan keluarga David. Alhamdulillah nampaknya mereka merestui hubungan kami.

“Paling mengejutkan apabila ibunya mengetahui saya keturunan Melayu dan menyuruh David memeluk Islam terlebih dahulu. Dia memahami perkara tersebut dan membuatkan perhubungan ini bertambah mudah,” jelas Lana.

Mengenai majlisnya nanti, Lana memilih Hotel Istana Kuala Lumpur sebagai tempat untuk majlis berinai, pernikahan dan persandingan.

Dia mahu memudahkan banyak pihak terutama keluarga dan rakan-rakan bakal suaminya yang rata-rata bukan beragama Islam untuk menyaksikan hari bersejarah mereka.

“Saya rasa tak jadi masalah besar untuk saya bernikah pada 15 Mei nanti. Kalau mengikut rancangan, kebanyakan ahli keluarga dan rakan-rakan David akan turut serta melihat sendiri pernikahan kami.

“Jika dibuat di masjid mungkin tak sesuai untuk mereka. Jadi kita ambil pendekatan untuk mengadakannya di hotel sahaja,” jelas Lana berterus terang.

Bagi Lana, dia terpaksa mempercepatkan pernikahan memandangkan selepas bernikah David akan menyertai acara sukan di negara kelahirannya.

Ketika ditanya adakah dia bakal bersara daripada dunia lakonan, Lana menjelaskan, dia tetap akan aktif seperti biasa. Cuma ada masa-masa tertentu yang dia akan bersama bakal suaminya jika lelaki tersebut terlibat dengan acara sukan di serata dunia.

“Awal-awal lagi David sudah meletakkan syarat untuk bersamanya jika ada kerja di luar negara. Dia tak akan pergi sendirian tanpa saya dan hasrat itu telah kami persetujui bersama. Mungkin ada masa terluang barulah saya berlakon,” katanya lagi.

Perancangan