Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Laluan emas seni Nidji

NIDJI sentiasa memastikan karya yang dihasilkan berkualiti kerana
NIDJI sentiasa memastikan karya yang dihasilkan berkualiti kerana setiap peminat mempunyai selera yang berbeza.

UNTUK bergelar penyanyi pada masa kini, bukan lagi satu perkara yang sukar untuk dilakukan. Sesiapa sahaja boleh menjadi bintang dalam masa yang singkat dengan hanya bermodalkan rupa (segelintir tidak berbakat) dan menggunakan platform media sosial sahaja.

Faktor itu sahaja sudah cukup untuk melayakkan sesiapa sahaja menjadi artis, sekali gus mempunyai kelab peminat sendiri.

Bukan mahu menidakkan acuan industri yang saban hari mempersembah nama-nama baharu namun yang perlahan-lahan cambah di benak fikiran adalah selama mana artis ‘mi segera’ mampu bertahan.

Melihat kepada beberapa nama yang dahulu pernah berada di puncak tetapi akhirnya tenggelam dibawa arus membuktikan sukar sebenarnya untuk bertahan dalam industri yang penuh cabaran.

Lantas, kejatuhan nama-nama orang popular dalam sekelip mata memberi peringatan kepada kumpulan dari seberang, Nidji untuk sentiasa melakukan penambahbaikan dalam kerja-kerja seni yang diceburi mereka sejak 15 tahun dahulu.

Sebagai antara kumpulan senior dan berpengalaman dalam gelanggang industri muzik Indonesia, Nidji menyedari laluan yang ditempuh selama itu bukan mudah kerana banyak liku dan cabaran yang perlu ditempuh.

Mungkin bagi segelintir pemuzik tanah seberang, ada yang menganggap perbezaan muzik sekarang sebagai sampah dan perosak kepada industri. Namun tidak bagi kumpulan ini.

“Dunia muzik sekarang sudah berbeza. Kita lihat sahaja dunia Internet yang merajai kehidupan manusia. Tetapi kita perlu lihat itu dari perspektif yang positif.

“Kenapa Nidji masih bertahan? Itu satu soalan yang bagi kami sukar untuk dijawab. Namun kami sentiasa mencuba sesuatu yang berbeza dan memberikan yang terbaik untuk peminat.

“Malah kami sentiasa belajar tidak kira daripada pemuzik senior mahupun yang baru bertatih. Kita tidak perlu lihat itu sebagai satu persaingan. Saling hormat dengan perjalanan seni masing-masing,” kata vokalis utama Nidji, Giring.

Tatkala ditanya apakah rahsia persahabatan lebih 15 tahun yang terjalin, mereka dengan mudah menjawab hanya gelak tawa dan perbezaan pendapat menjadi resipi mereka.

Tidak pernah bermasam muka biarpun sering kali bercakaran, kumpulan yang popular dengan lagu Biarlah ini mengakui sudah mengenali perangai luar dalam setiap daripada mereka.

“Baik pada saat senang atau susah, kami makan bersama-sama, membuat aktiviti bersama-sama dan ketawa juga bersama-sama. Memang ada saat-saat yang kami berbeza pendapat tetapi itu adalah peluang untuk kami berbincang.

“Itu yang berlaku setiap hari. Bergaduh kemudian berbaik semula. Kami sudah kenal perangai masing-masing. Persahabatan kalau tiada gaduh, bercakaran nanti jadi bosan bukan?” katanya.

Mengakui 2010 sehingga 2012 adalah tahun paling getir untuk Nidji, dedah Giring, mereka sebenarnya hampir sahaja memutuskan persahabatan dek sering kali bercakaran dan berbeza pendapat.

Namun ternyata mereka masih bertahan dan sering kali mengingatkan diri masing-masing untuk berbalik kepada titisan keringat yang menitis sepanjang mengharungi pahit maung dunia seni.

“Kami ada misi yang lebih penting daripada memenangkan ego masing-masing. Harapan peminat adalah jambatan yang menghubungkan kami sesama sendiri. Karya seni itu lebih penting.

“Kami mahu memberi inspirasi kepada manusia. Tuhan sudah menjadikan kami sebagai pemuzik, jadi kami perlu teruskan. Kami perlu beri yang terbaik untuk peminat yang bertahan,” katanya.

Tenang hadapi tekanan

Biarpun sudah lebih sedekad dalam dunia seni, Giring dan teman-temannya Rama (gitar), Andro (bes), Ariel (gitar), Randy (keyboard) dan Adri (dram) 
itu juga tertekan setiap kali mahu tampil dengan album baharu.

Lima tahun tanpa sebarang album, mereka perlu mempersembah komposisi muzik yang lebih segar dan berbeza dari sebelumnya untuk mencuri hati peminat yang menanti.

Membuka peluang kepada komposer luar, Nidji kini lebih terbuka dan mengambil muzik luar sebagai adunan untuk album baharu. Mereka mahu mencuba sesuatu yang berbeza dan lebih segar.

“Pastinya tertekan, tipu kalau kami bersenang-senang hati sahaja menghasilkan album. Peminat mengharapkan sesuatu yang berbeza. Kami juga sering kali bersama, jadi memerlukan persekitaran muzik yang baharu.

“Kami membuka peluang untuk komposer dan produser luar untuk bekerjasama dalam album ini. Bila kita tersekat dalam kotak fikiran yang sama, kita memerlukan resipi baharu daripada pemuzik lain.

“Kami tidak mahu mengulangi semula muzik-muzik yang pernah menjadi taruhan. Kami mahu mempersembah sesuatu yang baharu dan lain daripada yang lain. Itu tujuan muzik Nidji,” ujarnya.

Berbicara tentang pengalaman bekerja dengan komposer luar, kumpulan yang sudah menghasilkan lima album sebelum ini berterima kasih kepada semua yang terlibat kerana memberi aura positif yang lebih segar.

“Apabila kita kerja dengan pemuzik, komposer dan produser luar seperti Tulus, mereka memberikan lebih tenaga dan aura positif. Sebab itu, biarpun tertekan perjalanan kami rasa mudah,” ujar Giring menyambung perbualan.

Selera peminat berbeza

Tidak mahu terbeban dengan selera peminat, bagi Giring, mereka menghasilkan lagu hanya untuk didengari oleh semua pihak. Mereka tidak mahu memikirkan soal siapa suka dan siapa tidak.

“Selera peminat adalah berbeza dan bergantung kepada diri mereka sendiri. Kami buat muzik untuk dinikmati semua orang.

“Yang lebih penting adalah bagaimana kami memberi yang terbaik untuk sesebuah karya. Kami sentiasa mencari dan menjelajah ke benua muzik yang belum pernah kami jejaki,” katanya lagi.

Mengakui mereka kini juga lebih eksklusif, Giring berpendapat, usia mereka dalam industri seni melayakkan mereka untuk lebih selektif dan meletakkan harga yang setanding.

“Memang sekarang kalau orang mengundang kami, harganya lebih tinggi. Bukan demand atau berlagak, cuma persembahan kami juga berbeza dan bertenaga untuk peminat.

“Bagi kami semua orang boleh buat muzik, tapi bagaimana untuk konsisten. Pemuzik muda adalah harapan, mereka boleh jadi lebih bagus dan berjaya sekiranya mengatur langkah dengan baik.

“Buat muzik tidak boleh berkejar-kejaran. Tak perlu fikir tentang persaingan. Kena ada mood dan perasaan setiap kali mempersembah karya sendiri. Letak jiwa dalam persembahan,” katanya mengakhiri bicara.

Lima tahun menyepi tanpa sebarang album, akhirnya Nidji tampil dengan album Love, Fake & Friendship yang membariskan 12 buah lagu ciptaan baharu yang lebih segar.

Kali ini, Giring dengan penuh yakin berkata, Nidji sudah sedia kembali merebut takhta.

Ditanya mengapa mengambil masa lama untuk tampil dengan album baharu, kata Giring, setiap lagu dalam album ini perlu ‘matang’ sebelum layak untuk didengari peminat.

Enggan terlalu gopoh dalam menyiapkan sesebuah karya, Nidji menyedari, harapan peminat untuk mendengar yang terbaik seharusnya dipegang erat dan kerana itu setiap lagu perlu digarap dengan elemen kematangan seiring perjalanan karier mereka.

“Kami berenam sangat sibuk dengan kerjaya seni solo masing-masing. Tetapi bagi kami sendiri setiap karya itu harus matang sebelum dilancarkan. Bagi kami, teori itu benar-benar berhasil.

“Ibarat kertas kosong, kalau kita lipat dengan teliti dan mengambil masa dengan hati yang sabar, hasilnya pasti cantik dan kemas. Begitu juga karya muzik yang perlu ada ‘masa’.

“Seperti lagu Jalani Hidup Dengan Cinta, kami mengambil masa dua tahun sebelum memuatkannya dalam album. Tetapi kalau dengar, liriknya sangat dalam dan kualiti muziknya juga terbaik,” Giring menjelaskan proses penghasilan lagu dalam album berkenaan.

Mengakui masa adalah cabaran utama mereka untuk menghasilkan album, dedah Giring, bukan sahaja peminat yang sibuk bertanya tetapi pihak pengurusan juga sering kali mendambakan album baharu.

“Masa adalah kekangan utama. Kami sibuk dengan runut bunyi filem dan drama malah iklan juga. Pihak pengurusan juga sudah tiga tahun berturut-turut bertanyakan bila Nidji mahu keluar dengan album baharu.

“Apa alasan? Sibuk jawab kami. Satu-satu lagu itu perlu benar-benar berkembang dengan baik. Kerana itu kami mengambil masa lama untuk memilih 12 lagu untuk dimuatkan dalam album ini.

“Bila sudah dirakam, cabaran untuk mendapatkan muzik yang berkualiti dan memuaskan hati setiap daripada kami itu yang sukar. Tetapi akhirnya, lahirlah album ini,” katanya lagi.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan