Lakaran seni De Fam

Tiga jelitawan berjuang meredah arus persada seni

 Photoshoot DEFEM di Utusan di sini, 4

Tidak salah untuk kita mengatakan bahawa industri seni tanah air sebenarnya ketandusan bakat-bakat baharu yang mempunyai aura dan jiwa seni tersendiri yang berbeza daripada stigma klise penyanyi sedia ada.

Malah, kemunculan artis-artis segera yang tenggelam timbul atau ada yang terus hanyut di bawa ombak deras juga sebenarnya amat mengecewakan bagi mereka yang benar-benar mendahagakan suara-suara emas penyanyi tempatan.

Tidak hanya penyanyi solo, kita sebenarnya amat merindukan zaman penyanyi berkumpulan yang dahulunya pernah mencetuskan fenomena tersendiri dengan lagu-lagu malar segar dendangan mereka.

Siapa yang akan lupa dengan kehebatan penyanyi berkumpulan wanita seperti Feminin dan Elite yang suatu ketika dahulu lagu mereka yang sehingga sekarang masih lagi meniti di bibir-bibir peminat muzik tempatan.

Membawa hasrat menggunung tingginya, De Fam yang dibarisi oleh tiga gadis muda tidak hanya bersandarkan rupa semata-mata malah kehebatan suara serta kemantapan tarian di atas pentas juga bukan calang-calang bakatnya.

Masakan tidak, baru 10 bulan bertapak di dalam lautan seni yang punya ombak cabaran tersendiri, De Fam berjaya membuktikan kehadiran mereka bukan untuk seketika cuma namun punya misi tersendiri untuk kekal di dalam industri.

Berjaya menumpaskan nama-nama besar dalam MET10 Awards baru-baru ini, kumpulan yang ditubuhkan tahun lepas ini tidak hanya membawa pulang Artis Baharu Terbaik malah berjaya merangkul trofi Lagu Terbaik, #SuperGirls dalam anugerah anjuran radio Hitz Fm itu.

Malah De Fam yang dianggotai oleh Azira, Manggis dan Sophia ini tidak mahu menoleh ke belakang lagi sebaliknya mahu terus memahat nama mereka di dalam industri seni tempatan.

Biarpun begitu, De Fam pastinya tidak boleh lari daripada kenyataan banyaknya penyanyi berkumpulan khususnya wanita yang tidak bertahan lama dan berkubur ketika nama sedang memuncak naik di persada muzik.

Ketika diusik dengan soalan itu, Azira tenang menjawab, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula tiga orang anak muda yang punya misi dan visi tersendiri dalam merencana kerjaya seni masing-masing.

Tidak mahu menafikan persepsi itu, Azira beranggapan, pastinya suatu hari nanti, setiap daripada mereka akan membawa diri meneruskan haluan masing-masing namun, tiada istilah berkubur dalam persahabatan mereka.

“Mesti akan ada perselisihan faham, namun selalunya kami lebih gemar untuk membincangkannya secara matang berbanding membawa elemen emosi dan perasaan marah ketika berbincang.

“Komunikasi sangat penting, malah setiap pendapat juga punya isi yang perlu dikupas bersama. Kami cuba memberi masa untuk diri-sendiri menyelesaikan masalah,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Turut senada, Sophia juga merasakan, persahabatan mereka yang lebih 10 tahun terjalin merupakan aset utama dalam membawa jenama De Fam ini terus meredah ombak lautan seni tempatan.

Malah, gadis berusia 26 tahun ini juga tidak menyangka, impian mereka untuk beraksi membawakan lagu sendiri suatu ketika dahulu akhirnya menjadi kenyataan dan usaha mereka tidak sia-sia.

“Kami sebenarnya kumpulan tarian, jadi bila ditawarkan untuk menyanyi, tiada apa yang lebih menggembirakan selain berpeluang untuk tampil beraksi di hadapan peminat, mendendangkan lagu sendiri.

“Sebelum ini, kami hanyalah penari latar dan sekarang dengan berkat usaha serta keyakinan yang diberikan oleh semua pihak, De Fam berjaya membuktikan, tiada impian yang mustahil untuk digapai,” jelasnya.-Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
 

 

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati