Dalam kesibukan dunia lakonan, Emma mencuri masa menghasilkan lukisan demi kepuasan dirinya. Walaupun sudah banyak lukisan yang dihasilkannya sendiri, namun bukan mudah sebenarnya untuk mereka di luar sana menikmati keindahan lukisan yang dihasilkan Emma.

Sedar akan perkara itu, dia dan adik-beradiknya yang lain muncul dengan idea berbeza. Karyanya kini dapat dinikmati peminatnya menerusi jenama tudung sendiri, My Sketchbook Shawl By Emma Maembong pada awal Jun lalu yang memaparkan lukisannya.

Sudah mengeluarkan tiga koleksi tudung iaitu Libelle, Metafora, Fatamorgana yang mendapat sambutan hangat sebelum ini, kini empat lagi koleksi terbaharu diperkenalkan iaitu Budaya, Hibisco, Bumi Kita dan Seashell.

Ujar Emma, dia memilih tema yang dekat dengan rakyat Malaysia sebagai contoh Hibisco yang merupakan lakaran bunga kebangsaan Malaysia iaitu bunga raya bagi mengingatkan jati diri kita.

“Setiap koleksi direka khas untuk menampilkan nilai kesenian yang tinggi bagi memberikan impak kepada si pemakai, bukan hanya memiliki tudung kegemaran tetapi koleksi seni agar mereka berbangga dengan nilai seni tempatan juga.

“Warna-warna pastel yang unik dipilih untuk menampakkan kelainan selain menonjolkan lakaran dan saya lebih cenderung dengan motif alam semula jadi yang diterapkan dalam setiap lakaran.

“Pemilihan fabrik pula sentiasa menekankan keselesaan pemakai dan mengekalkan posisi dan corak lakaran tertentu,” ujarnya ketika majlis pelancaran koleksi tudung terbarunya, baru-baru ini.

Memilih kualiti kain terbaik dalam menghasilkan tudung-tudung yang dikeluarkan My Sketchbook Shawl, Emma Maembong juga mahu mereka di luar sana menghargai jenama produknya bukan sahaja sebagai tudung tetapi juga hasil seni.

Bagi menjaga nilai eksklusif, setiap corak tudung dikeluarkan dalam kuantiti yang terhad. Harga setiap koleksi tudung ini bermula daripada RM55 sehingga RM99.