Populariti lagu Zalikha secara tidak langsung memberi motivasi kepada Floor 88 untuk tampil dengan single baharu sebagai susulan.

Tambah Zai, setakat ini mereka banyak lagu simpanan kerana setiap daripada anggota Floor 88 berkebolehan mencipta lagu dan mereka sering berkolaborasi dalam menghasilkan karya.

“Kami pun tak sangka lagu Zalikha mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat muzik tempatan. Untuk pasaran, kami perlu merakam lagu berdasarkan permintaan semasa, barulah orang nak dengar.

“Setakat ini kami sudah senarai pendek lagu-lagu yang akan dipilih untuk jadi single seterusnya. Mungkin lepas raya barulah kami tampil dengan lagu baharu, lagipun Zalikha masih panas lagi,” jelasnya.

Tatkala ditanya kenapa memilih nama Floor 88 yang lebih kebaratan, jelas Zai, Floor 88 itu merujuk kepada ketinggian bangunan Menara Berkembar Petronas yang mempunyai ketinggian 88 tingkat.

“Memanglah nama itu macam kumpulan Barat, sebenarnya ada maksud tersendiri. Bagi kami sebagai rakyat Malaysia amat berbangga kerana Menara Berkembar Petronas melambangkan kemegahan negara. Kalau boleh kami pun nak jadi seperti itu yang menjadi kebanggaan rakyat tempatan.

“Maksudnya semangat kami perlu tebal dan kuat untuk meraih ke tingkat 88 seperti teguhnya bangunan tersebut. Itu yang kami pilih nama kumpulan Floor 88,” katanya.

SUDAH banyak nama wanita menjadi pujaan penyanyi lelaki dan paling baharu nama Zalikha menjadi pilihan. Kali ini Zalikha menjadi pujaan kumpulan Floor 88. Pertama kali dengar lagu yang dinyanyikan oleh Ayie Elham selaku vokalis utama kumpulan tersebut, hati sudah terpaut.

Lagu ciptaan dan lirik oleh Zai Hamzah yang juga pemain gitar utama Floor 88 itu sebenarnya sudah dicipta sejak empat tahun lalu. Asalnya lagu itu berjudul Qu Putih, disebabkan fenomena produk kecantikan yang diusahakan oleh Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida.

“Idea asal memang Qu Putih sebab produk itu yang sedang popular tapi untuk siaran radio kami perlu tukar judul sebab judul asal seolah-olah mempromosi produk pula.

“Sebenarnya ada rahsia di sebalik nama Zalikha ini. Zalikha bukan kekasih siapa-siapa dalam kumpulan Floor 88. Dia adalah seorang wanita yang pernah kami kenali sewaktu mengadakan persembahan sebelum ini.

“Sekarang ini kami mendapat banyak komen daripada lelaki memberitahu yang lagu tersebut penyelamat apabila kekasih atau orang tersayang merajuk. Mereka akan nyanyi lagu ini dan menukar nama Zalikha kepada nama yang tersayang,” beritahu Zai.

Lagu yang susunan muziknya dibuat oleh Harry Khalifah itu enak didengar kerana membawa pendengar kepada irama rock 80-an, tambahan pula irama sebegitu kembali mendapat tempat pada hati peminat muzik tempatan masa kini.

Selain Zai dan Ayie, kumpulan Floor 88 turut dianggotai Amirul Affeq (gitar), Eric Fuzi (keyboard), Falikh Ghazali (bes, penyanyi latar) dan Muhamad Akram (dram).

Menariknya, kumpulan Floor 88 dianggotai bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kecuali Ayie yang masih lagi belajar di sana dalam jurusan teater.

“Kalau ikut sejarahnya, Floor 88 ditubuhkan sejak 2007 dan kami sering menyertai pelbagai gig.

“Setiap kali persembahan, kami akan nyanyikan lagu ciptaan sendiri. Lama-lama apabila fikir, sampai bila nak berada pada takuk yang sama.

“Jadi kami ambil keputusan untuk keluar daripada jaluran indie dan menyertai muzik arus perdana, memanglah berdebar sebab masa dulu kami lebih kepada metal.

“Alhamdulillah, peminat dulu terus memberi sokongan sebab mereka pun tahu, kami perlu mengikuti arus perdana untuk mencipta nama,” tambah Zai lagi.