Lagu latar 
popularkan Ernie

ERNIE tidak mudah putus asa dan akan terus berjuang dalam bidang
ERNIE tidak mudah putus asa dan akan terus berjuang dalam bidang seni sehingga impiannya menjadi kenyataan.

ENAM tahun lalu, gadis bertubuh genit ini pernah merangkul gelaran juara pertandingan Bintang RTM.

Seawal usia 17 tahun lagi dia sudah memberanikan diri melobi bakatnya dalam industri tempatan.

Namun, sayangnya sebutir permata yang lahir itu kurang mendapat liputan media meskipun dirinya pernah mengeluarkan sebuah album berjudul Sinaran pada 2010.

Sementelahan kisah kejayaannya kurang mendapat liputan luas media massa, Ernie tidak pernah memandang ke belakang malah dia masih lagi berdiri di atas paksinya dengan melahirkan sebuah single berjudul Sedetik Cinta ciptaan Awi Rafael.

Sekali lagi nasib kurang menyebelahinya apabila lagu itu kurang mengangkat namanya. Tidak tahu di mana silapnya, tetapi gadis berasal dari Kuala Lumpur ini menganggap ia sebagai tiada rezeki.

Mungkin dia menganggap pada ketika itu kesibukan sebagai seorang pelajar diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dalam bidang Muzik dan kemudiannya melanjutkan pengajian ijazah dalam bidang vokal di institusi yang sama.

Itu antara serba sedikit kisah di sebalik siapakah gerangannya Ernie yang kini berusia 23 tahun. Lupakan hal lalu dan jangan dikenangkan lagi, kini dengan nafas dan jiwa baharu, Ernie kembali dengan sebuah lagi single terkini berjudul Takkan Pudar hasil ciptaan Akir Hyper Act.

“Saya akui sebelum ini kurang mendapat publisiti dan tidak terlalu menyerlah dalam industri muzik walaupun pernah melahirkan sebuah album yang mengandungi lapan lagu kesemuanya.

“Mungkin terlalu fokus dengan pengajian buatkan kurangnya promosi tentang karier nyanyian saya. Tapi kini selepas lima tahun berhempas pulas dalam kelas, saya kembali untuk menyumbangkan karya dalam industri.

“Berkongsi cerita tentang single terbaharu Takkan Pudar ini, saya sangat berterima kasih kepada pihak pengurusan Fantasia Music City (FMC) kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk nyanyikan lagu ini.

“Lagu ini boleh dikatakan semuanya merupakan hasil sentuhan ahli kumpulan Hyper Acts sendiri. Dari proses membuat lirik hingga kepada pembikinan semuanya oleh mereka sendiri,” katanya yang hadir ke Studio Utusan bagi sesi fotografi dan temu ramah.

Lebih menarik lagi, lagu ini turut dijadikan lagu latar untuk slot Akasia Hati Perempuan di TV3. Ujar pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri ini lagi, dia menganggap peluang menyanyikan lagu latar sesebuah drama berpeluang melonjakkan namanya selain melebarkan bakatnya dilihat oleh semua peminat muzik.

“Peluang dapat nyanyi lagu latar ini saya jadikan sebagai batu loncatan untuk lebih dikenali dan di samping itu juga saya mahu lagu yang dipertanggungjawab ini sebagai satu bentuk halwa telinga kepada semua pendengar.

“Tak dinafikan, lagu-lagu latar ini mampu membantu perjalanan seni seseorang penyanyi. Lagu ini juga bakal ada klip video di mana saya baharu sahaja habis penggambaran baru-baru ini.

“Alhamdulillah, lagu ini sudah banyak diputarkan di radio dan komen yang diterima cukup positif dan saya berterima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya seni saya,” ujarnya.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati