Ada lagu yang benar-benar mengusik jiwa, ada lagu pula yang akan membawa kepada kesedihan. Tetapi, kebanyakan lagu biasanya lebih ‘gembira’ dan membawa kepada mood ceria untuk meraikan lebaran yang dinanti-nantikan.

Datuk Dr. M Nasir tentu sahaja bukan orang yang asing dalam bidang penciptaan lagu raya. Lagu Suatu Hari Di Hari Raya dendangan asalnya, pasti akan kembali diputarkan di pelbagai medium.

Begitu juga dengan penulis lirik Ad Samad yang tak kurang pengalaman. Kebanyakan lagu raya dahulu kala benar-benar memberikan inspirasi kepadanya untuk terus menghasilkan lagu baharu seiring dengan peredaran masa.

Namun begitu, ada juga pendengar yang lebih sukakan lagu lama berbanding lagu baharu. Kedua-dua komposer hebat berlainan zaman ini berkongsi cerita mengenainya.

Perlu ada cerita - As Samad

MENJADI antara penulis lirik generasi baharu paling berpengaruh tidak pernah membuatkan lelaki ini meninggi diri. Banyak lagu-lagu hasil tulisan Ad Samad dilihat berkualiti dan diangkat ke tempat tertinggi.

Bercerita mengenai lagu raya pula, dia yang mesra disapa dengan panggilan Ad tidak menafikan yang lagu raya juga memberikan pengaruh besar buat dirinya dalam bidang penciptaan.

“Sebenarnya saya lebih sukakan lagu Selamat Hari Raya dendangan Ahmad Jais. Lagu tersebut merupakan lagu wajib setiap kali tibanya Aidilfitri. Begitu juga dengan lagu raya berjudul yang sama oleh Saloma (Puan Sri), ia benar-benar memberikan kegembiraan kepada semua,” kata Ad bercerita.

Melihatkan kebanyakan lagu baharu yang lebih santai dan menggunakan kosa kata yang ‘dahsyat’, dia tidak melihat perkara tersebut sebagai satu perkara yang menjelikkan. Baginya kata-kata yang digunakan tidak memberikan masalah asalkan kena dengan irama dan lagu.

“Penggunaan kata-kata perlu seiring dengan melodi dan seni penciptaan lagu. Lagi satu, kena ada jalan cerita untuk membawa hala tuju lagu tersebut ke mana yang sepatutnya. Jika elemen-elemen ini diambil kira, rasanya lagu yang dihasilkan juga akan diterima ramai.

“Cuma dalam penghasilan banyak lagu, bukan semua akan menjadi. Tapi lambat laun ia tetap akan digemari secara perlahan-lahan,” ujarnya lagi.

Ada mencipta beberapa lagu raya sebelum ini, kali terakhir Ad mencipta lagu bersama dengan Allahyarham Adnan Abu Hassan. Lagu Raya Ini Ada Dia yang nyanyikan oleh Ella tidak kurang hebat dan menjadi antara lagu baharu yang diminati ramai.

Pun begitu, dia tidak menafikan yang lagu raya adalah lagu yang termasuk dalam kategori lagu festival. Untuk menghasilkan lagu festival bukan satu kerja yang mudah dan biasanya melodinya lebih kurang sama antara satu lagu dengan lagu yang lain.

“Kebanyakan komposer hari ini cuba menghasilkan lagu yang sedap tapi orang tetap mahu kembali kepada mood lama. Mereka lebih sukakan nostalgia. Saya yakin lagu baharu yang diciptakan ketika ini akan diterima pula pada masa hadapan,” katanya.

Lebih lengkap - M.Nasir

BERPENGALAMAN lebih puluhan tahun dalam penciptaan lagu membawa lelaki ini meneroka jutaan pengalaman. Tentu sahaja dia sendiri sudah menghasilkan ribuan lagu termasuk puluhan koleksi lagu raya yang kekal diminati hingga ke hari ini.

Namun, kebanyakan lagu baharu yang dihasilkan kurang menangkap ke halwa telinga. Ada juga yang beranggapan lagu raya penyanyi dahulu seperti Tan Sri P Ramlee, Saloma, Datuk Ahmad Jais dan lagu M Nasir sendiri (sekadar menyebut beberapa nama) lebih disukai berbanding dengan lagu raya baharu.

Tidak menafikan perkara tersebut berlaku, M Nasir menganggap lagu lama lebih mempunyai seni kata bernostalgia, melodi yang mendayu serta kekal evergreen berbanding lagu baharu yang lebih moden.

“Kebanyakan komposer dahulu mengadun lagu mereka mengikut cara lama. Pendek kata teknik yang mereka gunakan itu yang membuatkan melodi lagu tersebut kekal di dalam ingatan orang yang mendengar.

“Tapi kini, dengan adanya teknologi dan teknik moden bidang penciptaan lagu semakin berkembang pesat. Melodi hari ini lebih senang dihasilkan, sedap didengar dan senang menangkap. Masalahnya, cepat menangkap, lebih cepat juga ia dilupakan. Ini yang berlaku pada kebanyakan lagu baharu termasuklah lagu raya sekalipun,” katanya berkongsi pendapat.

Tambahnya lagi, pengaruh lagu lama lebih tertumpu kepada pengaruh lagu Hindustan, Arab dan Sepanyol yang biasanya lebih bersifat mendayu-dayu. Ditambah dengan seni kata yang sedih, pastinya akan pantas menangkap ke jiwa ditambah dengan pelbagai nostalgia yang dilalui.

Menariknya, ada beberapa elemen yang membuatkan lagu lama lebih digemari memandangkan ia akan ‘mencangkuk’ sekali sekala sahaja namun kesannya kekal dalam ingatan.

Lagu yang moden pula lebih terarah kepada unsur muzik Amerika moden yang kerap kali ulang siar. Bunyi yang dihasilkan juga akan diulang banyak kali sehingga membuatkan telinga sesiapa sahaja yang mendengar menangkap.

Natijahnya, lagu baharu akan cepat muak sebelum diganti dengan produk baharu dari semasa ke semasa.

Sepanjang bergelar komposer, M Nasir sudah menghasilkan lebih 15 buah lagu bertemakan hari raya yang dinyanyikan pelbagai artis. Antara yang popular termasuklah lagu dendangan Datuk Hattan, Datuk Awie, Ziana Zain, Ramlah Ram, Dr. Sam, Exist dan ramai lagi.

Tambahnya lagu-lagu raya juga sebenarnya mempunyai trend dan corak tersendiri mengikut apa yang dilihat sejak dahulu.

“Satu masa dahulu orang gemarkan lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf dendangan Sudirman Haji Arshad (Datuk). Berselang raya bertahun-tahun pun, orang masih sukakan lagu yang begitu. Kemudian perubahan itu dirasai pula kepada lagu-lagu lain termasuklah lagu Salam Dunia yang saya nyanyikan sendiri.

“Bagi saya selera orang juga berubah-ubah. Ada masa mereka lebih sukakan lagu yang bertemakan kesedihan dan ada masa lebih kepada lagu-lagu yang gembira, bersesuaian dengan hari raya itu sendiri,” tambahnya lagi.

Dalam satu hal, soal psikologi juga memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Setiap kali tibanya hari raya, psikologi pendengar sudah di set untuk mendengar lagu-lagu lama sahaja. Mereka mahu mengimbau kembali kenangan berbanding mahu mencuba mendengar lagu baharu.

Sudahnya, muncul segala persepsi yang mengatakan lagu lama lebih sedap berbanding lagi baharu.

Kebanyakan komposer dahulu mengadun lagu mereka mengikut cara lama. Pendek kata teknik yang mereka gunakan itu yang membuatkan melodi lagu tersebut kekal di dalam ingatan kebanyakan pendengar

Penggunaan kata-kata perlu seiring dengan melodi dan seni penciptaan lagu. Lagi satu, kena ada jalan cerita untuk membawa hala tuju lagu tersebut ke mana yang sepatutnya. Jika elemen-elemen ini diambil kira, rasanya lagu yang dihasilkan juga akan diterima ramai