Lontaran vokal dan emosinya tepat mengena pada hati. Lantas, peluang sekali lagi menyaksikan Krisdayanti beraksi adalah sesuatu yang tidak dipersia-sia.

Saya pasti penonton yang hadir menyaksikan Konsert Romansa Krisdayanti malam minggu lalu pulang dengan kenangan indah yang tidak dapat ditafsirkan dengan hanya kata-kata.

Senyuman yang terlukis pada raut cukup menggambarkan betapa berjayanya konsert tersebut. Bersaksikan neon lampu dan gema muzik di Istana Budaya, konsert yang julung kali diadakan itu berakhir dengan cukup sempurna.

Tidak usah kita membedah kehebatan seorang penyanyi bernama Krisdayanti. Usianya dalam dunia seni suara bukan sesuatu yang perlu diceritakan. Apatah lagi, perjalanan seninya juga penuh onak dan ranjau.

Yang mahu kita bicarakan adalah tentang konsert yang berlangsung tiga malam berturut-turut bermula Jumaat lalu. Itu adalah cerita indah yang perlu dikongsi dengan khalayak.

Membuka tirai segmen pertama, Krisdayanti mengabdikan malam itu dengan rangkaian lagu malar segarnya seperti Pilihlah Aku, Pengabdian Cinta dan Ku Tak Sanggup.

Tampil gah dengan busana yang direka Mayaratih Couture, Krisdayanti terus mencipta magis dengan persembahan lagu Menghitung Hari yang pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu.

Meneruskan konsert, Krisdayanti mendendangkan lagu Send My Love yang dipopularkan oleh Adele. Tabik kepada penyanyi berusia 42 tahun ini kerana kehebatan vokalnya cukup padu dan dinamik.

Krisdayanti terus mengunci penonton dengan lagu Cinta dan Hanya Dia. Ternyata, penyanyi ini punya kuasa muzik yang tidak ada bandingan.

Sesekali dia mengusik peminat dengan celoteh yang menghiburkan. Dia mengimbau kenangan pertama kali mencipta nama di Malaysia. Dia sendiri tidak menyangka, namanya kini terpahat di bumi ini.

Tidak terbuai dek emosi, Krisdayanti menjemput Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah untuk berduet. Menariknya, mereka menyanyikan lagu Hati Ini Telah Dilukai (dendangan asal Ajai) bukan 'makanan' Jamal.

Namun paduan suara yang cukup indah itu membawa penonton menelusuri kenangan ketika Krisdayanti mula-mula bertapak di sini. Hari ini, dia seorang diva yang baik hati budi dan sentiasa merendah diri.

Krisdayanti meneruskan konsert dengan rangkaian lagu Allahyarham Saloma dan Allayarham Sudirman Arshad sebagai tanda ingatan dan penghargaan buat dua legenda itu.

Hebatnya tatkala mendendangkan dua buah lagu Saloma, Apa Guna Berjanji dan Kuala Lumpur, Krisdayanti seolah-olah membawa dirinya melalui mesin masa ke era 50-an.

Malah emosinya hanyut dibawa deras kekuatan lagu yang dipersembah. Sehingga ketika dia menyanyikan lagu Hujan dan Salam Terakhir, suaranya kedengan serak menahan sayu.

Tidak cukup hanya dengan itu, Krisdayanti mencabar dirinya untuk tampil dengan rangkaian lagu-lagu rock seperti Bring Me To Life, It's My Life dan Cobalah Untuk Setia.

Menariknya sewaktu mendendangkan lagu Fantasia Bulan Madu dan Suci Dalam Debu, penyanyi ini turun dari pentas untuk menyanyi bersama-sama peminat.

Malah dia juga sempat berduet secara spontan dengan Datuk Rossa yang hadir memberi sokongan kepada sahabat karibnya itu.

Mengakhiri konsert, penyanyi ini mendendangkan lagu-lagu popnya dan juga dangdut yang menyaksikan penonton turut berdiri dan menari bersama-sama.

Krisdayanti yang diiringi para pemuzik tempatan diketuai komposer terkenal, Aubrey Suwito terus berjaya membuktikan kehebatannya buat para penggemar di negara ini.

Nyata pemilihan lagu, kekuatan vokal dan permainan pentasnya punya kelas tersendiri.