Bermatlamat menyemarakkan kembali kegemilangan tiga genre muzik utama iaitu balada, rock dan etnik, penerbitan 3 Juara disifatkan amat relevan, malah tampil menerusi satu format segar yang membezakannya dengan realiti nyanyian sedia ada.

Walaupun program berkenaan sudah berakhir, namun Penerbit Eksekutifnya, Sufian Isa berkata, kolaborasi TV3 bersama tiga komposer terkenal bagi ketiga-tiga irama berkenaan iaitu Ajai (balada), Edrie Hashim (rock) dan Pak Ngah (etnik) tidak terhenti setakat itu sahaja.

“Mereka (Ajai, Edrie dan Pak Ngah) tidak main-main, bahkan serius dalam mengambil bahagian untuk menaikkan kembali muzik balada, rock dan etnik yang cukup diminati suatu ketika dahulu.

“Ajai, Edrie dan Pak Ngah akan tetap meneruskan fungsi mereka di dunia realiti dalam membimbing beberapa peserta demi mengorak langkah seni masing-masing meskipun pertandingan ini sudah berakhir.

“Itulah hasrat sebenar TV3 dan juga komposer-komposer terbabit agar tidak lari daripada landasan asal penerbitan 3 Juara. Ya, mungkin malam ini terjemahan terhadap objektif yang dirancang belum boleh dilihat dengan jelas, namun saya percaya, mereka bertiga arif memainkan peranan tersendiri,” ujarnya.


Pernah menjuarai Mentor 5 ketika di bawah bimbingan Erra Fazira, Salma mengakui, dia tersilap langkah ketika berakhirnya program realiti berkenaan pada 2011.

Dalam meneruskan kelangsungan kerjaya seninya, Salma yang ketika itu merupakan ibu tunggal akur dengan cabaran yang perlu dihadapinya sama ada fokus terhadap bayinya atau mengembangkan karier nyanyiannya.

“Masa itu saya memilih keluarga, fokus untuk mencurahkan sepenuh rasa kasih terhadap anak tunggal iaitu Puteri Nurul Huda yang berusia dua tahun ketika itu. Dia hanya ada saya sahaja tanpa pernah menikmati belaian seorang ayah,” ujarnya.

Kini, anaknya itu sudah pun memasuki alam persekolahan manakala cahaya mata pertamanya bersama Azri Abdullah, 30 iaitu Andi Raisya sudah berusia dua tahun.

“Dalam masa yang sama, sebelum dinikahi Azri, sebenarnya saya ada mengambil seorang anak angkat lelaki bernama Khairul Anwar, 5, kerana tidak menjangka akan bertemu jodoh lagi.

“Alhamdulillah, saya dianugerahkan seorang suami yang amat memahami, boleh mengharungi susah senang bersama memandangkan kami berdua berada dalam bidang sama dan menempuhi liku hampir serupa selepas Azri menamatkan saingannya sebagai finalis Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9).

“Jika saya sibuk, dialah yang menjaga ketiga-tiga anak kami tanpa ada perbezaan kasih sayang. Semuanya ibarat anak kandungnya, ditatang dengan penuh rasa sayang,” ujar Salma.

Sehubungan itu, dia berharap, kemenangan tersebut dapat membuka lembaran baharu bukan saja buat dirinya tetapi juga untuk seisi keluarga terutama dalam membantu Azri mengukuhkan namanya sebagai penyanyi.

Sementara itu, wang kemenangan berjumlah RM150,000 pula akan dimanfaatkan sebaik mungkin demi masa depannya.

“Saya dan suami merancang untuk menunaikan umrah dan mengadakan kenduri kesyukuran. Itu sahaja perancangan kami buat masa ini,” tambahnya menamatkan perbualan.