Kualiti 
dua negara

Randy Pangalila idam untuk membintangi filem kerjasama Malaysia dan Indonesia

Randy pangalila 3

SINGGAH selama sebulan di Kuala Lumpur bagi menjalani penggambaran drama bersiri yang masih dirahsiakan judulnya, Randy Pangalila, 26, bagaimanapun berasa bertuah dapat bekerjasama dengan produksi berkenaan.

Diterbitkan oleh Red Communications, aktor terkenal Indonesia itu berkata, siri yang bakal disiarkan sebanyak lapan episod itu merupakan sebuah karya untuk siaran laman sesawang atau istilah terkini, portal televisyen (TV).

Menyatakan persediaannya untuk kembali aktif berlakon dalam drama terbitan tempatan selepas dikenali menerusi beberapa siri seperti Benci Vs. Cinta, Ku Kejar Bintang, Dalam Hati Ada Taman dan Mimpi Sampai Ke Bintang, Randy akui dirinya berasa rindu untuk beraksi bersama teman-teman di Malaysia.

Bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini, jejaka bertubuh sasa itu menambah, tiga tahun agak diam tanpa sebarang produk lakonannya di Malaysia, kini dia siap siaga mahu memasarkan semula dirinya.

“Tawaran membintangi siri ini hadir ketika saya sedang berehat sementara daripada dunia lakonan kerana fokus terhadap karier baharu sebagai penyanyi. Dalam tempoh lebih setahun kebelakangan ini, saya mempersiapkan diri untuk kugiran RVN selaku vokalis dan produser.

“Di Indonesia juga, saya memperlahankan aktiviti lakonan untuk memberi laluan terhadap bidang muzik yang menjadi nadi hidup sejak kecil lagi. Ini adalah minat hakiki saya selain menjadi pelakon.

“Setelah siap semuanya termasuk mengeluarkan single sulung RVN, saya kembali bersedia untuk berlakon dan tanpa diduga, wakil Red Communications menghubungi dan menawarkan peluang ini,” katanya menceritakan detik awal menerima pelawaan syarikat produksi terkenal milik Lina Tan itu.

Selain mahu terus bertapak sebagai pelakon di Malaysia, Randy turut punyai alasan istimewa terhadap penerimaannya terbabit dalam penggambaran drama untuk portal Feefo.TV itu.

Katanya, skrip yang diberikan kepadanya mencetus keterujaan berganda apabila ia adalah penggabungan barisan bintang dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

“Bukan saya seorang sahaja pelakon dari Indonesia, tetapi turut membariskan pendatang baharu seperti Brandon Salim serta dua aktres wanita, Mentari De Marelle dan Gita Sucia.

“Ini kali pertama saya berlakon dalam produksi tempatan yang membabitkan kolaborasi besar-besaran seperti ini. Jadi, saya berbangga dapat terlibat sama dalam siri seram aksi ini.

“Lebih menarik perhatian, ini juga pengalaman sulung saya terbabit dalam penerbitan sebuah drama untuk siaran portal TV. Di Indonesia tidak ada drama disiarkan selain di kaca TV. Disebabkan itu, ia membuatkan saya teruja untuk menyertainya,” katanya yang memulakan penggambaran pada 18 Mac lalu.

Menyentuh tentang kelebihan berlakon di Malaysia, Randy menganggap setiap pelakon perlu mengambil peluang untuk membintangi produksi di luar negara sendiri.

Tanpa mengira status kemajuan industri seni sesebuah negara itu, menurut Randy, dia percaya pasti akan ada kelebihan yang diperoleh apabila terlibat dalam sebuah karya asing.

“Saya berlakon sejak umur 15 tahun dan sudah ratusan sinetron dibintangi di negara saya. Sudah tiba masanya menimba pengalaman di tempat orang supaya graf karier lakonan tidak mendatar.

“Apabila sudah beberapa kali berlakon di sini, saya amat mengimpikan agar ada warga seni dari dua negara serumpun ini mampu bekerjasama menerbitkan sebuah karya yang tinggi kualitinya untuk saya sertai.

“Menerusi pemerhatian saya, kru produksi kedua-dua negara ada keistimewaan tersendiri untuk bergabung membentuk satu gabungan kuat bagi menzahirkan sebuah karya hebat,” kata Randy berharap -
Gambar FARIZWAN HASBULLAH

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati