Ditemui ketika sidang akhbar memperkenal albumnya di Hotel Royal Kuala Lumpur baru-baru ini, Nana bagaimanapun menganggap kritikan tersebut sesuatu yang positif bagi memperbaiki kerjaya nyanyiannya kelak.

“Saya optimis dengan kritikan yang dilemparkan. Walaupun judulnya berbunyi seperti tidak sopan, saya selaku penyampai lagu berkenaan sudah lakukan yang terbaik untuk menyampaikan atau mendendangkan Boleh Blah secara baik agar ia kedengaran lebih positif berbanding tanggapan umum.

“Apabila diberi kepercayaan untuk menyampaikan lagu ini, ia adalah tanggungjawab besar untuk menyampaikan mesej-mesej positif yang tersurat dan tersirat di dalam liriknya dengan tepat kepada pendengar.

“Berjaya atau tidak, hanya pendengar yang mampu menilainya. Akan tetapi, janganlah menilai secara semberono, sebaliknya secara adil dan saksama,” katanya mempertahan lagu berkenaan.

Pun begitu, Nana yang sedang menunggu peluang untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah berbangga kerana kritikan tersebut menunjukkan lagu-lagunya dikenali secara tidak langsung oleh peminat muzik tempatan.

“Apa yang berlaku ibarat dua dalam satu, kritikan secara tidak langsung dapat mempromosikan lagu-lagu saya sehingga mereka betul-betul menghayati lirik sampai tahu apa kesalahan yang terdapat dalam lagu tersebut,” ujarnya walaupun jauh di sudut hati, mengakui pernah sedih apabila berhadapan kritikan sedemikian.

Tambah Nana, lagu Hantu Atau Buaya juga pernah dikritik hebat, namun dia mengambil sudut positif dengan menganggap, kutukan yang dilemparkan lebih membuatkan lagunya dikenali ramai.

Dalam pada itu, mengulas tentang kewujudan album pertamanya sejak Mac lalu, Nana sedar ramai peminatnya tidak tahu akan hal itu.

“Sebelum ini saya agak sibuk dengan pengajian dan peperiksaan sehingga tidak sempat mempromosikan album. Alhamdulillah, selepas tamat diploma, saya ada masa untuk meneruskan usaha yang giat mempromosikannya,” jelasnya.

Album Nanasheme memuatkan enam buah lagu dengan bonus cakera digital video (DVD) yang memuatkan empat buah muzik video dan diedarkan oleh Life Records.- Gambar AIZZUL MAJID