Melihat ke industri kreatif, tahun ini, layar perak suram daripada sambutan bulan kemerdekaan. Malah, tiada filem patriotik untuk tahun ini.

Bagaikan badi, filem patriotik bukanlah satu genre yang menjadi kegemaran penonton kita dan sering dianggap berat untuk ditonton. Rencah yang digunakan dalam filem patriotik tempatan seakan tidak boleh masuk dengan selera penonton. Kenapa ya? Apakah orang kita memang hanya mahu berhibur dengan kisah-kisah kosong, untuk tidak memberatkan kepala atau belayar ke kisah cinta melankolik semata-mata? Kita tidak boleh salahkan penerbit apabila langsung tidak ada filem berkonsep patriotik pada tahun ini dalam tayangan di pawagam. Jika buat filem untuk rugi, siapa yang sanggup serah diri ‘ke tali gantung’ sebegitu sahaja?

Bagaimanapun, peliknya, apabila dihidangkan filem patriotik dan sejarah dari luar negara, kita menjadi penyokong tegar tanpa soal.

Filem-filem Hollywood seperti Black Hawk Down, Independance Day, Saving Private Ryan, Forrest Gump, Apollo 13 dan Rocky IV, adalah antara filem yang menampilkan jiwa kenegaraan yang tinggi dan mengangkat nilai patriotik.

Unsur patriotik itu disadur dengan baik menerusi jalan cerita fiksyen yang menyentuh hati serta penggunaan teknologi dalam filem yang terkini. Tarikan sebegini membuatkan filem berunsur patriotik ini mampu diterima semua dan masih mendapat tempat di hati penonton sehingga kini.

Filem tempatan nampaknya masih lagi belum mencapai ke tahap ini. Daya kreativiti si pengarah masih ditagih untuk menghasilkan filem yang berjiwa negara.

Demi negara tercinta ini, janganlah digunakan medan layar perak itu sebagai ruang untuk mengaut keuntungan sahaja. Sebaliknya, gunalah skop seni itu sebagai medium paling dekat untuk menyuntik semangat kenegaraan kepada penonton. Buat masa ini, hanya satu filem setahun sudah lebih daripada mencukupi. Apapun, kita tunggu sambutan kemerdekaan tahun hadapan dengan harapan ada perubahan.

Mencari watak patriotik

Memegang watak dalam sebuah filem yang berunsur patriotik sebenarnya menjadi satu kebanggaan bagi pelakon tempatan. Bermakna secara tidak langsung, kita terlibat dalam mendidik dan memberi ilmu ‘besar’ kepada masyarakat.

Hal itu diakui oleh pelakon, Raja Afiq yang sememangnya berbangga di sebalik watak yang dibawakan sebagai seorang pegawai tentera.

Baginya, membawa watak itu adalah satu peranan dan tanggungjawab besar apatah lagi banyak mata yang memerhati bila terlibat dengan filem patriotik dan sejarah.

“Saya sendiri dikritik ketika membawa watak pegawai tentera kerana tidak mengikut protokol pemakaian dan sebagainya. Sedangkan semasa sesi penggambaran, memang ada pegawai tentera yang terlibat untuk melihat tatacara pemakaian dan dialog kami,” jelasnya.

Biarpun dikritik, jelas Raja Afiq, itu bukanlah penghalang buatnya untuk terus berbangga membawa watak tentera. Malah, pelakon muda juga menyatakan kesediaan untuk terlibat dengan mana-mana filem ketenteraan mahupun sejarah selepas ini.

Sebagai seorang manusia biasa, semestinya dia mahu turut merasai perasaan seorang tentera itu di medan perang.

“Melalui cara itu, saya dapat berkongsi dengan penonton apa sebenarnya yang ada dalam jiwa wira-wira kita. Tentera ada tanggungjawab untuk pertahankan negara dan saya sebagai pelakon, berjuang dalam bidang seni untuk pamerkan kesusahan dan kepayahan mereka,” jelasnya.

Raja Afiq yakin bukan dia sahaja yang mengimpikan watak bersifat patriotik, sebaliknya ramai pelakon lain yang sentiasa mengintai peluang tersebut.

Melibatkan diri dalam karya sebegini adalah satu kebanggaan yang maha hebat dalam diri artis-artis muda kita.

Sinopsis – Cerita perjuangan pasukan polis dan masyarakat tempatan di Bukit Kepong, Johor melawan komunis pada 1950. Kemuncak pertempuran berlaku pada 23 Februari di Balai Polis Bukit Kepong yang mempunyai 18 orang anggota.

  • Filem arahan dan terbitan Tan Sri Jins Shamsuddin ini ditayangkan bermula 1981.
  •  Ditayangkan saban tahun, menjelang sambutan hari kemerdekaan 
negara.
  •  Kos filem ini berjumlah RM 1.3 juta, filem termahal pernah diterbitkan pada dekad 80-an.
  •  Hasilnya, filem ini mendapat sambutan yang baik dan mencatatkan pulangan kasar berjumlah RM 1.6 juta.
  •  Antara yang berlakon ialah Jins Shamsuddin, A. Rahim, Hussein Abu Hassan, Datuk Yusof Haslam dan Dali Abdullah.
  •  Jins menemubual sendiri komunis yang menyerah diri dan filem ini dibuat berdasarkan kepada fakta sejarah.

Darah Satria

Sinopsis – Prebet Badul merupakan anggota tentera darat yang jatuh cinta dengan seorang wanita di kampungnya ketika sedang bercuti. Panggilan untuk mempertahankan negara membuatkan dia terpaksa bertugas semula di hutan belantara.

  •  Ditayangkan pada 1983.
  •  Filem ini merupakan sentuhan Datuk Aziz Satar sebagai pengarah.
  •  Menelan kos berjumlah RM100 ribu, adegan peperangan antara yang paling diingati dalam filem ini.
  •  Antara pelakonnya ialah A. R Badul, Aman Shah, Lydiawati, Anjang Aki dan A. Galak.
l Lagu dan lirik Darah Satria menjadi antara lagu ketenteraan yang paling diingati hingga kini.

Sinopsis - Mengisahkan perjuangan Leftenan Adnan dalam menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia ke-2.

  •  Antara filem patriotik yang masih diingati hingga kini hasil arahan Aziz M. Osman.
  •  Memulakan tayangan pada 31 Ogos 2000.
  •  Menelan kos sebanyak RM2.5 juta tetapi hanya mencatat kutipan sebanyak RM1.07 juta sahaja.
  •  Azri Iskandar yang memegang watak Leftenan Adnan telah disingkirkan kerana masalah disiplin dan diganti dengan Hairie Othman.
  •  Pelakon lain yang turut berlakon ialah Umie Aida, Faizal Hussein, Rusdi Ramly dan Wahid Senario.

Senarai filem berjiwa patriotik dan kenegaraan yang pernah dihasilkan.

1957: Hati Malaya

Sinopsis – Mewakili generasi muda negara yang datang dari latar belakang dan pemikiran berbeza yang berusaha untuk menerbitkan sebuah buku bergambar 1957-Hati Malaya.

Filem ini memulakan tayangan pada 25 Oktober 2007.

Kos keseluruhan sebanyak RM3 juta tetapi hanya mendapat pulangan sebanyak RM300 ribu.

Dibintangi oleh pelakon popular antaranya Rusdi Ramli, Maya Karin, Adlin Aman Ramlie, Sharifah Amani, Douglas Lim dan Ida Nerina.

Filem ini adalah arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.