Pastinya jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh mereka yang bergelar guru tiada galang gantinya. Setiap tahun meraikan sumbangan dan bakti yang dicurahkan untuk mendidik anak bangsa.

Kumpulan Utusan sendiri tidak terkecuali daripada meraikan Hari Guru. Seperti tahun-tahun terdahulu, kali ini Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2016 akan singgah ke Kota Kinabalu, Sabah.

Setelah singgah hampir ke semua negeri di Semenanjung, pastinya ‘kehadiran’ festival ini ke negeri yang terkenal dengan Gunung Kinabalu itu dinanti dan menyediakan pelbagai aktiviti menarik.

Bakal berlangsung bermula 13 Mei hingga 16 Mei ini di Universiti Malaysia Sabah (Unimas), antara acara menarik yang akan berlangsung termasuklah majlis perasmian Festival Hari Guru Kebangsaan 2016, Larian ‘Tatap Bah Sayang Cikgu’ Bersama Utusan, Pelancaran Inovasi Tutor dan My Angkasa & Industri Buku Teks Digital.

Selain acara konsert pastinya antara yang dinanti-nantikan warga Sabah, acara larian juga merupakan antara program yang paling mendapat sambutan hangat.

Bakal diadakan pada 14 Mei bermula pukul 5 pagi, pengunjung juga boleh menyertai acara senamrobik yang diadakan pukul 7.30 pagi di Padang Kawad, Unimas.

Kemeriahan

Bagi pengunjung dan penduduk di sekitar Kota Kinabalu, jangan lupa untuk hadir menyaksikan Konsert Mega Pancaindera yang akan diadakan di tempat yang sama pada 14 Mei ini di tempat yang sama.

Menariknya, beberapa nama besar artis popular tanah air sudah mengesahkan kehadiran untuk menghiburkan pengunjung seperti Amy Search, Ella, Adira, Felix Agus dan Syamel AF serta diacarakan oleh Ifa Raziah.

Bagi Ella, pastinya penyertaan kali ini disambut dengan rasa gembira memandangkan dia sendiri berpeluang untuk beramah mesra dan menghiburkan pengunjung yang hadir.

“Sejujurnya memang saya teruja dengan konsert kali ini. Selain mahu meraikan pengunjung yang hadir pastinya saya juga mahu meraikan Hari Guru.

"Jasa dan pengorbanan besar yang golongan ini lakukan tidak ternilai dengan wang ringgit.

“Jadi apabila berpeluang meraikan mereka, saya sangat berbesar hati. Ini juga akan menjadi tanda terima kasih saya kepada semua guru yang tidak pernat lelah mendidik anak bangsa untuk menjadi orang yang berjaya,” kata Ella teruja.

Hal yang sama juga turut disuarakan oleh Ifa Raziah yang akan mengendalikan acara konsert. Bagi penyanyi dangdut berkenaan, dia gembira dapat meraikan Hari Guru dengan penduduk di Sabah.

“Sudah pasti saya teruja dengan acara ini. Kita berkumpul bukan sekadar untuk berhibur sebaliknya perlu dijadikan medan untuk menunjukkan apresiasi kepada golongan pendidik secara keseluruhannya.

“Tanpa mereka mungkin kita tidak akan ke mana-mana. Acara begini pastinya memberikan keterujaan kepada saya secara peribadi,” kata Ifa Raziah pula.

Selain itu, terdapat banyak lagi aktiviti lain yang telah diatur untuk pengunjung yang hadir nanti antaranya peraduan teka silang kata, cabaran kiub rubik, tarian berhalangan dan beberapa acara yang lain.