Mungkin kegemilangan mereka tidak seperti di pertengahan 1990-an yang menyaksikan penjualan album luar biasa, undangan pentas di merata tempat atau sering kali diberikan peranan besar dalam kebanyakan acara hiburan.

Walaupun keadaan semasa sudah tidak sama seperti satu ketika dahulu, mereka sebenarnya tidak pernah ‘mati’ dan masih lagi mempunyai kelompok peminat yang tersendiri. Jualan album masih hebat dan undangan menyanyi tidak hanya di dalam negara sebaliknya sudah merentas sempadan.

Mengambil keberanian yang irama nasyid masih diterima ramai, Konsert 3 Kejora Bersatu bakal diadakan pada 7 dan 8 Oktober ini sempena tahun baharu Hijrah 1438.

Bakal menggabungkan tiga kumpulan - Brothers, Hijjaz dan Rabbani, sudah tentu persembahan itu nanti bakal melakar sejarah baharu apabila irama nasyid diperdengarkan di Istana Budaya (IB).

Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya ada membuka ruang persembahan untuk penyanyi solo seperti Opick dan Hafiz Hamidun tetapi kali ini mereka memberikan ruang kepada tiga kumpulan popular untuk menghiburkan peminat.

“Apabila penganjur hadir dengan idea ini, tiada sebab untuk kita menolak. Cuma saya memberikan cadangan agar persembahan itu nanti ada pembaharuan, tidak seperti persembahan-persembahan terdahulu sahaja.

“Kita juga tidak mahu mereka mengubah secara total, asalkan ada kelainan yang mampu menarik perhatian peminat, itu sudah memadai untuk melihat irama nasyid terus disuburkan di sini,” katanya.

Selain tiga kumpulan tersebut, Konsert 3 Kejora Bersatu juga bakal mengundang kumpulan Colour Of Voices untuk membuat persembahan istimewa nanti.

Kekuatan

Menelan belanja sebanyak RM1 juta, Pengarah Urusan, Kay Event Management & Services, Hakime Faial Zaulkapli tidak menafikan yang mereka membuat perincian setiap aspek bagi melicinkan konsert yang akan menjadi medan menaikkan semula irama nasyid itu.

Tambahnya, walaupun menyasarkan akan mengeluarkan modal lebih daripada itu, pihaknya optimis yang penyatuan tiga gergasi irama nasyid ini akan memberikan impak positif kepada khalayak.

“Pada awalnya saya ada berbincang untuk mengadakan konsert Rabbani sahaja. Tapi apabila difikirkan semula, lebih baik saya mengumpulkan beberapa kumpulan lain yang pernah menimbulkan fenomena untuk bersatu di atas pentas.

“Saya ada berhubung dengan kumpulan Raihan dan menjemput mereka menyertai konsert ini. Tapi kerana terikat dengan persembahan di luar negara, mereka terpaksa melupakan jemputan kami.

“Tiga kumpulan sahaja sudah cukup untuk menarik peminat dan saya yakin kedua-dua hari tersebut akan memberikan sejarah baharu kepada irama nasyid secara keseluruhannya,” kata Hakime.

Hakime menegaskan yang mereka sudah merancang untuk memberikan pembaharuan kepada susunan muzik dan corak persembahan setiap kumpulan yang terlibat.

Tanpa meninggalkan trademark masing-masing, elemen segar daripada susunan muzik misalnya akan memberikan nilai tambah kepada persembahan tersebut.

“Setiap kumpulan mempunyai kekuatan masing-masing dan lagu-lagu dendangan mereka ada yang sudah berusia 20 tahun tetapi kekal diminati. Sebab itu saya yakin yang kemunculan kali ini akan mencatatkan sejarah manis.

“Mereka sendiri sudah matang dan kita mahu ketiga-tiga kumpulan ini menterjemah kematangan mereka di atas pentas,” kata Hakime lagi.

Selain pembahagian persembahan mengikut kumpulan, ketiga-tiga kumpulan ini juga akan terlibat dalam segmen penghargaan kepada Allahyarham Ustaz Asri (Rabbani) dan Mohd Salleh Ramli (Hijjaz) yang telah pergi buat selama-lamanya.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan Konsert 3 Kejora Bersatu ini, tiket-tiket dijual dengan harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250.