Ramai yang berpendapat kemunculannya dalam muzik video nyanyian Datuk Seri Vida atau DSV yang dilancarkan dalam laman perkongsian video YouTube Seventeen Eleven Music sejak 22 Jun lalu adalah bagi memeriahkan perjalanan cerita lagu tersebut.

Namun selepas penggambaran dan pelancaran muzik video itu, wajah Putra Amaris, 33, tetap ada dalam beberapa video yang dimuat naik oleh DSV dalam laman sosial Instagram miliknya.

Justeru ramai tertanya-tanya apa kaitan Putra Amaris dengan jutawan kosmetik itu?

Aktor tersebut yang telah melangsungkan pernikahan dengan Nur Syazwani Alias pada 5 Januari lalu berkata, kehadirannya di sisi DSV adalah untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai salah seorang pekerja kepada pengasas produk Vida Beauty Sdn. Bhd.

“Hubungan saya dengan DSV biasa saja, seperti keluarga. Saya pun mula rapat dengan keluarga DSV apabila terlibat dalam pembikinan muzik video Lavida Go Bola tempoh hari.

“Senang cakap, saya bekerja dengan DSV sebab itulah wajah saya kerap muncul dalam video yang dimuat naik DSV.

“Setakat ini saya tidak ada masalah bekerja dengan DSV dan jadual kerja saya dalam bidang lakonan pun tak terganggu kerana semua itu boleh diatur.

“Saya tak peduli apa orang nak kata kerana yang penting saya tahu menjalankan tanggungjawab yang diberi,” katanya enggan mempedulikan kata-kata netizen yang mempersoalkan kehadirannya di sisi DSV sejak akhir-akhir ini.

Bagi Putra Amaris, mengapa dia perlu menolak untuk bekerja dengan orang yang baik jika hubungan itu dapat memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

Dia juga menyeru kepada orang ramai yang minat berniaga supaya merebut peluang yang ditawarkan oleh DSV yang sering mengadakan jualan gudang produknya.

“Sebenarnya saya suka berniaga dan apabila dapat bekerja dengan DSV, keyakinan itu semakin menebal. Saya suka melihat cara dia berniaga dan membantu orang lain. Kalau boleh saya juga mahu menjadi seperti dia,” katanya yang ditawarkan pekerjaan di bahagian pemasaran.

Tumpu di tanah air

BIARPUN nama Putra Amaris ketika ini boleh dikatakan sedikit sepi berbanding kemunculannya sekitar 2006 namun anak kelahiran Felda Ulu Tebrau, Johor ini masih lagi aktif dalam bidang seni lakon.

Katanya, dia baru saja selesai berlakon dalam filem Ratu Kala Jengking, arahan Bade Azmi dan diterbitkan oleh A.Aida Production.

“Selain filem itu, saya juga berlakon dalam drama yang sedang ditayangkan di TV3, Andainya Takdir 2, melakonkan watak sepupu kepada Fatihah, lakonan Nina Iskandar.

“Selepas ini saya juga akan kembali ke lokasi penggambaran A.Aida Production bagi menjayakan telefilem Haji Google yang bergenre romantik komedi.

“Telefilem itu juga arahan abang Bade dan saya akan berpasangan dengan Liyana Jasmay. Setakat ini yang saya tahu penggambaran bakal dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, sehingga sekarang saya masih lagi mendapat tawaran berlakon. Kalau ada yang nak tawar berlakon drama untuk slot Akasia lagi saya suka. Bagi saya slot itu sering menjadi perhatian penonton drama tempatan,” katanya terus terang.

Jelas Putra Amaris, jadual kerja yang senggang membolehkannya menghulurkan tenaga untuk bekerja dengan DSV.

Selain menumpu perhatian kepada drama-drama tempatan, Putra Amaris sebelum ini pernah juga mengatur langkah untuk mencipta nama di Indonesia dan terlibat dengan sebuah filem.

“Buat masa sekarang saya berulang-alik ke Indonesia tapi kalau boleh saya nak tumpukan di sini. Saya patut pergi ke sana dalam waktu terdekat sebab filem Mat Jenin Cucu Raden Kabayan perlu sentuhan terakhir. Dalam filem itu hanya saya seorang pelakon Malaysia, yang lain dari sana.

“Sebenarnya tawaran berlakon di Indonesia masih ada tapi saya perlu teliti. Kalau setakat telefilem atau filem, mungkin saya terima kerana jangka waktu penggambaran tak lama berbanding sinetron,” jelasnya.