Farawahida

Dia lebih selesa untuk tidak lagi memberi sebarang komen mengenai perkara itu meski terpaksa bersabar dan menelan rasa sedih, biarpun sedar bahawa ramai yang menyangkakan isu itu benar,

Dalam satu sesi fotografi baru-baru ini, pelantun lagu Jangan Tanya Aku Lagi ini mengambil kesempatan untuk meluahkan rasa dan dia tidak menolak merasa sangat sensitif dengan gosip yang timbul.

Namun, sebagai seorang manusia biasa, dia cuba mencari jalan positif kerana tidak mahu membiarkan dirinya dibelenggu kekusutan.

“Saya tahu ramai yang menyangkakan hal itu terjadi walaupun sudah dijelaskan bahawa rumah tangga kami tidak goyah. Kalau terlalu fikir soal marah, boleh. Tetapi, perlu ke saya nak marah dengan jutaan rakyat dalam negara ni, mengarut kan?

“Malas mahu ambil kisah walaupun tahu perkara ini sangat sensitif. Tapi sensitif saya ni biasanya tak berlarutan lama, sekejap sahaja. Untuk mengelak rasa kusut, lebih baik sibukkan diri dan fokus kepada perkara lain, contohnya kerja,”katanya.

Selain itu, kata Farawahida, dia juga lebih selesa mengelak daripada membaca sebarang komen negatif wira papan kekunci di media sosial kerana enggan bersikap macam budak-budak.

Tidak menolak bahawa adakalanya perlu untuk bersikap mengambil tahu, Farawahida bagaimanapun sedar dia perlu bijak membezakan antara keutamaan dengan perkara yang remeh-temeh.

Anak

Selain soal rumah tangga, Farawahida juga menerima pertanyaan lazim yang tidak bisa dielak sepanjang dia bergelar isteri orang ini, iaitu perihal anak.

Merupakan satu soalan klise buat setiap pasangan yang sudah berkahwin, Farawahida bagaimanapun mengaku tidak terlalu tertekan dengan pertanyaan itu biarpun kerap kali diajukan.

Enggan menjadi seorang individu yang tidak boleh menerima hakikat, penyanyi ini sedar tiada apa yang boleh dilakukan melainkan memastikan dirinya tidak putus asa untuk berdoa pada Yang Maha Pemberi.

“Tipulah kalau cakap kita kahwin, tapi tak mahu anak. Rasanya, kalau ada yang berkata begitu, saya fikir orang tu pasti ada masalah mental. Namun, hendak buat macam mana, rezeki belum ada.

“Pendek kata, sebagai manusia, kita kena sentiasa bersedia sahajalah dengan soalan-soalan begitu. Sebagaimana pasangan lain yang dah berkahwin, kami pun ada berikhtiar dan masih menunggu rezeki cahaya mata itu menyebelahi kami,” katanya.

Penyanyi ini juga yakin dengan ketetapan Allah SWT dan sangat positif dengan hikmah yang ada di sebalik isu belum dikurniakan rezeki zuriat.

“Kalau ada anak sekarang, mungkin keadaannya lain kerana suami saya pun sedang berulang-alik ke luar negara atas urusan kerja manakala saya pula dengan urusan mempromosikan single. Jadi ya, tak apalah, saya akur,”ujarnya menutup bicara.

Banyak contoh di depan mata, rasanya tak cuma golongan artis sahaja, bahkan kalau berita itu membabitkan orang biasa sekali pun, ia tetap memberi rasa bimbang dan sedih dalam hati.

Suami lebih TENANG

MEMBERITAHU suaminya tahu mengenai desas-desus yang bertebaran mengenai perihal rumah tangga mereka, wanita yang turut mendapat jolokan Kajol Malaysia ini bagaimanapun merasa bertuah kerana dikurniakan suami yang sangat tenang dan tidak mudah melenting.

Barangkali suaminya sudah sedia maklum bagaimana ‘permainan’ dunia hiburan itu sendiri sebelum berkahwin dengannya.

“Kontroversi, apatah lagi soal perceraian, tentulah dia sedia maklum. Tapi, bagusnya suami saya ni dia tidak mudah melatah. Bukan dalam hal ini sahaja, tetapi juga dalam kebanyakan perkara lain.

“Dia pun memang jenis yang tak banyak cakap dan saya pun dah beritahu kepadanya, cerita itu timbul barangkali kerana saya sendiri yang agak senyap kebelakangan ini. Ia menjadi titik punca sesetengah pihak untuk cuba mereka cerita mengenai saya,” katanya.

Tak cuma itu, kata Farawahida, tidak memuat naik gambar dia bersama suami di media sosial juga boleh menjadi antara faktor yang membawa kepada persoalan orang ramai mengenai keretakan rumah tangganya.

Berkongsi lanjut mengenainya, dia mengaku, sebagai artis dan selebriti, tentunya ramai yang mahu tahu setiap perkembangan terkini dirinya.

Tetapi ia bagaimanapun bukanlah tiket untuk berkongsi kesemua hal peribadi di ruang terbuka seperti itu.

“Bagi saya, perkara peribadi kalau boleh simpan dalam poket, simpanlah sedikit. Bukan tak boleh kongsi, tetapi berpada-padalah. Cuba bayangkan andai selalu sangat muat naik gambar bersama, entah-entah orang pun bosan.

“Namun janganlah mudah meletak andaian, kalau artis tu tak kongsikan gambar kemesraan atau keintiman dengan suami, itu tidak bermakna rumah tangganya tidak bahagia.

“Ini pendapat saya. Kalau orang lain nak buat, terpulanglah pada mereka sebab suami saya kurang selesa dengan cara ini,” katanya, bernas.

Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Taiping, Perak ini juga tidak menolak bahawa sebagai seorang wanita, ada sesekali rasa kurang yakin diri dan kerisauan itu muncul dalam diri.

Ia kerap terjadi apabila setiap kali dia mendapat berita mengenai mana-mana pasangan artis atau selebriti yang berdepan dengan konflik perceraian sekali gus menjadi bahan bualan dan tular di media sosial.

Jauh di sudut hati, Farawahida tentunya enggan perceraian itu berlaku dan andai ditanya pada mana-mana pasangan sekali pun, tiada sesiapa mahu rumah tangga berakhir dengan perceraian.

“Banyak contoh di depan mata, rasanya tak cuma golongan artis sahaja, bahkan kalau berita itu membabitkan orang biasa sekali pun, ia tetap memberi rasa bimbang dan sedih dalam hati.

“Tiada masalah untuk kita dengar dan ambil semua itu sebagai pengajaran dan saya berdoa agar perkara itu dijauhkan antara saya dan suami.

“Setakat ini saya yakin dengan tahap kecintaan suami terhadap saya. Tapi kalau perkara hendak terjadi juga, tak tahulah, berserah sahaja pada Allah SWT,”katanya.

Kontroversi, apatah lagi soal perceraian, tentulah dia sedia maklum. Tapi, bagusnya suami saya ni dia tidak mudah melatah, bukan dalam hal ini sahaja, tetapi juga dalam kebanyakan perkara lain.