Sarah

Namun biar masih picisan, di dalam hati Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf sarat dengan sejuta harapan untuk berkembang mekar biarpun sedar, dia masih terlalu hijau.

Masih banyak ranjau yang perlu dilalui demi menggenggam harapan dan cita-citanya dalam bidang lakonan tetapi itu bukan alasan untuk segelintir pihak menerjah gadis berusia 25 tahun ini dengan kata-kata sinis tanpa rasional.

Ini apabila ada yang menganggap dia tidak boleh ‘dijual’ dengan alasan memiliki nama yang pelik dan sukar disebut malah Sarah mengakui, itu adalah satu tamparan buat dirinya sebagai orang baharu dalam industri yang hadir bukan sekadar untuk 'suka-suka'.

Kata Sarah, bukan sekali keadaan itu berlaku dan sebagai manusia yang tahu diri dan merasakan kerdil dalam industri, hatinya dibalut kesedihan dan kekecewaan.

“Klise bukan? Apabila orang menganggap nama menjadi satu masalah untuk saya cuba mencari ruang dalam industri ini. Betul saya tak bohong, saya pernah berdepan dengan keadaan sebegitu dan mereka memberi alasan saya ini tidak boleh ‘dijual’ untuk pasaran tempatan.

“Sehinggakan portfolio saya pernah ditolak, tidak dibelek pun hanya kerana nama saya.

“Saya tak pasti alasan sebenar mereka tetapi kebanyakannya memang ada masalah dengan nama saya itu,” katanya.

Meski air matanya pernah gugur kerana memikirkan nasibnya itu, Sarah bagaimanapun enggan berlama-lama membiarkan kesedihan larut dalam emosinya.

Tidak menyimpan rasa kecil hati, kata Sarah yang sebelum ini memulakan kerjayanya sebagai peragawati, dia sedar barangkali ada segelintir pihak yang kurang senang dengan kelebihannya yang memiliki wajah pan-Asia.

Memiliki darah kacukan Melayu-Amerika, Sarah yang kelihatan persis pelakon Hollywood Kristen Dunst ini tidak menolak bahawa dia berasa hairan, mengapa sesetengah masyarakat masih berfikiran klise dan skeptikal apabila menyentuh paras rupa wanita pan-Asia.

“Bukan mahu mengungkit tetapi saya lihat ramai sahaja pelakon berwajah pan-Asia sama ada lelaki atau wanita berada dalam industri kita. Bahkan, ada juga yang mempunyai nama yang pelik-pelik dan susah disebut.

“Kenapa apabila giliran saya mencari ruang sebagai pelakon, saya tidak diberi peluang seperti itu? Sehingga alasan yang diberikan juga tidak rasional.

“Bagi saya alasan yang diberikan sangat mengarut. Walau apa pun nama seseorang itu, bukan alasan untuk pihak produksi atau pengurusan artis untuk tidak cuba mengetengahkan bakat mereka.

“Bukan dengan memberi alasan tidak boleh dijual,” katanya lagi.

Terus melangkah

Menggenggam azam untuk membuktikan bahawa dia bukan pelakon yang bersandar kepada fizikal dan rupa paras semata-mata, kata Sarah, sebagai orang baharu, dia sedar dia perlu berusaha keras untuk memastikannya menjadi realiti.

Tidak mahu terlalu memilih, Sarah juga sedia maklum bahawa orang baharu sepertinya wajar mengambil segala peluang yang datang tanpa prejudis.

“Saya jenis yang kalau dapat sesuatu peluang, saya tidak akan mensia-siakannya. Saya akan lakukan yang terbaik kerana saya tahu dengan cara itu sahaja saya dapat membuktikan kepada semua terutama kepada mereka yang pernah mengenepikan saya sebelum ini.

“Saya rasa semuanya mengenai yang kita set di dalam minda. Saya tak mahu fikir sangat tentang apa yang orang pernah katakan kepada saya. Yang perlu saya lakukan adalah untuk membuktikan (bakat).

“Sebab saya percaya, kalau memang rezeki kita ada, Tuhan akan berikan juga. Masa itu, saya tak boleh memilih, saya kena ambil dan lakukan,” katanya.

Justeru kata Sarah, apabila dia disunting oleh pengarah Rashid Sibir untuk berlakon dalam telemovie berjudul Hujan Pagi dan berlakon di samping Amar Bahrain, dia tidak menolak pelawaan itu yang dianggapnya sebagai peluang keemasan.

“Itu merupakan naskhah lakonan pertama saya, tentu sekali saya rasa sangat dekat dan membawa tuah untuk saya. Tambahan pula, Rashid bukan calang-calang orang,” katanya yang turut diberi peluang untuk berlakon di bawah pengarahan Rashid untuk telemovie berjudul Jalan Singkat Ke Syurga.

Menolak andaian jika dia selepas ini dianggap anak emas Rashid sekiranya terus menerima tawaran daripada pengarah terbabit, kata Sarah bukan satu keperluan untuk dia memikirkan hal remeh berbaur negatif seperti itu.

“Semua orang ada pendapat sendiri. Kenapa nak terjah ke dalam fikiran yang negatif? Mungkin bukan sebab anak kesayangan atau anak emas.

“Mungkin kalau Rashid ambil saya lagi pun kerana keserasian bekerja dan komitmen yang diberikan. Atau mungkin kerana kesesuaian watak yang diberikan,” katanya.

Peluang ke pentas teater

Menyifatkan tuah seakan-akan melingkari dirinya untuk tahun ini, kata Sarah lagi, dia yang berpeluang berkongsi pentas dengan pelakon Fathia, Aiman Hakim dan Arja Lee untuk Teater Y Sebuah Muzikal di bawah pengarahan Khairunawan Rodzy melihat itu adalah sebahagian daripada permulaan yang baik untuk perkembangan kerjaya lakonannya.

Mengakui tidak mempunyai asas lakonan namun kata Sarah yang pernah tinggal dengan bapanya selama tiga tahun di Arkansas, Amerika Syarikat (AS), dia tidak seharusnya meletakkan itu sebagai alasan untuk berasa terbatas dalam melakukan perubahan dan mengembangkan kariernya.

Membawakan watak Maya, seorang perempuan ‘gedik’ yang menagih cinta daripada Haikal lakonan Aiman Hakim, kongsi Sarah, teater adalah satu nuansa baharu dalam dunia lakon yang diyakini mampu mengasah bakat lakonannya dengan lebih baik.

“Sebelum ini cuma terarah kepada bidang peragaan. Tetapi itu bukan alasan untuk saya tak mahu mengambil peluang merebut ilmu yang datang. Pentas teater susah tetapi saya lihat itu sebagai satu peluang untuk saya `menyertai’ sebuah kelas lakonan secara tak langsung kerana ramai menganggap banyak ilmu lakonan yang boleh dipelajari menerusinya.

“Tak dinafikan saya rasa bimbang untuk terlibat dalam teater sebegini sebab berbeza dengan cara lakonan di depan kamera. Saya berdebar juga untuk menerima respons penonton nanti yang tentunya pelbagai.

“Tapi ini adalah satu peluang untuk saya asah bakat lakonan saya kerana ilmu lakonan teater ini adalah ibu kepada asas lakonan untuk seseorang yang mahu menambah pengetahuan dalam bidang ini,” kata anak seorang tukang jahit di Taman Melawati, Kuala Lumpur ini.