Keistimewaannya yang bukan sekadar penyanyi bahkan mampu menulis lirik dan menggubah lagu merupakan bonus paling besar buatnya untuk kekal relevan dalam industri hiburan ini.

Bersandarkan fakta tersebut, jadi tidak hairanlah Aizat sudah memiliki kestabilan yang diinginkan buat seorang lelaki pada usia 28 tahun.

Melewati usia ini, sudah memiliki kediaman sendiri dan beberapa rangkaian aset mewah dimiliki, ramai yang meletakkan Aizat sudah layak digelar jutawan muda berdasarkan pencapaian yang dimiliki selama ini.

Semua itu boleh jadi kerana Aizat yang dikenali selama ini sesungguhnya seorang lelaki yang sangat komited terhadap kerjayanya sendiri.

 

“Saya belum lagi layak bergelar jutawan muda walaupun tempoh pembabitan kerjaya saya lebih sedekad lamanya. Ada banyak komitmen kerja yang dilakukan sebelum ini. Begitu juga dengan tanggungjawab lain yang tidak perlulah saya perincikan di sini.

“Jadi jika orang luar melihat saya sudah mencapai tahap itu, barangkali ia boleh jadi satu doa. Untuk saya sendiri, ia belum lagi terjadi buat masa sekarang ini.

“Bagaimanapun saya tidak menafikan perancangan ke arah itu sedang berjalan tetapi gelaran jutawan itu bukan mudah, dan ia bukan dalam masa terdekat. Mungkin dua atau tiga tahun lagi, kita doakan-doakan saja,” kata Aizat merendah diri.

Bukan jenis pengumpul barangan mewah, Aizat mengakui minatnya lebih kepada instrumen muzik, perisian membabitkan teknologi moden untuk kelengkapan studio dalam ruang skop kerjaya.

Selain itu, paling menarik perhatiannya adalah koleksi gitar yang dijual di pasaran. Demi memiliki gitar yang dihajatkan, Aizat sanggup mengikat perut semata-mata memastikan apa yang dihajatkan itu tercapai.

“Hidup saya ini ringkas saja. Tak ada pun keinginan yang macam-macam. Kalau nak berbelanja mewah sekali pun, awal-awal lagi saya akan set dalam kepala untuk beringat-ingat.

“Nak nak pada keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ini, faham-faham sajalah. Semua barang dijual mahal. Jadi bersederhana adalah pilihan yang paling tepat,” ujarnya.

Sumber inspirasi belia

TANPA disedari dalam meniti pencapaian, rupa-rupanya dalam diam-diam ada segelintir golongan muda yang menjadikan Aizat sebagai sumber inspirasi mereka untuk sukses dalam kerjaya dan amalan gaya hidup.

Pun begitu dalam hal ini, Aizat merasakan dirinya masih belum sempurna dan tiada apa-apa yang boleh dibanggakan buat masa sekarang. Maka tidak wajar untuk dijadikan idola.

“Banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dalam diri saya ini. Daripada soal sikap, penampilan diri dan peribadi. Saya akui masih ada banyak lagi kekurangan.

“Kalau nak ubah pun, perlu berlaku secara perlahan-lahan. Sebab itu kalau masih ada pihak yang mahu menjadikan saya sebagai sumber inspirasi, saya tidak akan menghalang.

“Cuma ambil bahagian yang baik-baik saja. Kalau rasa saya tidak berapa bagus, tak payahlah nak buat apa-apa. Sekurang-kurangnya saya sudah ada ‘saham’ yang baik untuk kemudian hari,” katanya lagi.

Dalam soal penjagaan badan, Aizat mengakui dia juga berdepan dengan dilema untuk kekal sihat dan kurus sepanjang bulan Ramadan ini.

Memandangkan jadual kerjanya berubah apabila banyak berjaya pada waktu malam, Aizat juga perlu memastikan waktu tidurnya cukup setiap hari.

“Saya memang jenis bekerja di waktu malam kerana pada masa itulah banyak ilham yang muncul. Sambil memetik gitar, saya akan mencuba untuk menghasilkan lagu-lagu baharu.

“Kalau diikutkan tak ada banyak perubahan masa kerja pun pada bulan puasa ini. Semuanya berjalan macam biasa. Cuma saya kena ubah sikit jadual tidur sebab ada banyak urusan kerja menanti di siang hari pada bulan ini,” katanya lagi.

Rezeki semakin murah

TIDAK dinafikan sejak kebelakangan ini, rezeki banyak berpihak kepada Aizat apabila terlibat dengan beberapa projek yang mengukuhkan namanya dalam bidang gubahan lagu.

Lagu berjudul Wanita Terakhir nyanyian Fattah Amin boleh dikatakan menjadi pendorong utama kepada bidang tersebut apabila lagu dendangan pelakon itu semakin mendapat tempat.

Aizat juga diberi kepercayaan untuk menggubah lagu Hero Seorang Cinderella yang merupakan lagu tema untuk judul drama yang sedang hangat diperkatakan masa kini.

Selain itu, Aizat terlibat dalam projek kempen raya TV3 dengan mengetengahkan lagu Terima Kasih bersama Faizal Tahir dan kempen raya Neelofa, True Love yang dinyanyikan penyanyi Indonesia, Danny.

“Saya bersyukur apabila karya-karya yang dihasilkan selama ini semakin diterima ramai. Bahkan permintaan yang mendadak daripada beberapa pihak tertentu yang mahukan hasil sentuhan saya telah menyuntik semangat baharu buat saya.

“Saya hanya menghasilkan lagu yang sedap di pendengaran saya sebelum diberikan kepada orang lain. Itu saja amalan kerja saya. Kalau tak menepati pencapaian, saya tidak peram lagu itu hinggalah benar-benar menepati pencapaian.

“Dalam bab permintaan lagu ini juga, saya tidak melakukan secara tergesa-gesa. Jauh sekali buat sambil lewa. Ini semua resipi untuk menghasilkan lagu sedap,” kata Aizat lagi.

 

Cara Aizat kekal kurus

1. Set jangka masa nak kurus dan sasaran berat badan. Dulu berat badan Aizat pernah mencecah 112 kilogram (kg). Kini dalam lingkungan 70 kg. Peringkat awal sasaran Aizat adalah 75 kg dalam tempoh tiga bulan.

2. Berhenti makan nasi, air bergas dan makanan segera sepanjang tempoh diet itu. Makan setiap empat jam sekali. Hanya makanan kurang lemak, tiada minyak dan tidak ada gula saja dibenarkan.

3. Makanan berasaskan bahan-bahan organik mempermudahkan proses diet. Bukannya, makanan yang sudah diproses seperti burger.

4. Buat senaman selama 30 minit setiap hari. Boleh cuba jogging, berenang atau bermain futsal. Tak boleh ‘tipu’ sepanjang tiga bulan ini.

5. Yang paling penting, jangan mudah mengalah. Semangat juang juga perlu tinggi dan konsisten untuk kurus.