Gunung Ledang yang terletak bersempadanan di antara Muar, Johor dan Melaka telah memberikan inspirasi kepada penerbit A Aida Production Sdn. Bhd. untuk menghasilkan karya berdasarkan nama tersebut.

Bagi A Aida sendiri, dia menjadikan tujuh syarat yang diletakkan oleh Puteri Gunung Ledang dalam kisah turun sebagai inspirasi untuk drama bersiri Puteri Gunung Ledang (Aku Telah Jatuh Cinta) yang sedang dalam proses pembikinan.

Drama bersiri 30 episod yang diarahkan oleh Shuhaimi Lua itu bakal ditayangkan menerusi saluran HyppTV dan HyppTV Everywhere (aplikasi mobil HyppTV) bermula 15 Jun hadapan.

Tambah A Aida lagi, sudah pasti drama bersiri sulung yang bakal ditayangkan di saluran berkenaan memberikan cabaran besar buat dirinya terutama dari segi soal jalan cerita dan pemilihan pelakon agar sesuai dengan kehendak saluran berkenaan.

“Memang ramai yang membayangkan Puteri Gunung Ledang ini seperti kisah legenda yang pernah kita dengar sejak dahulu. Tapi tidak memandangkan ini merupakan kisah remaja biasa yang tidak ada kena mengena dengan kisah asal Puteri Gunung Ledang yang sebenar.

“Idea itu datang apabila saya teringatkan syarat-syarat yang diletakkan oleh Puteri Gunung Ledang saat dia dipinang oleh Sultan Mahmud Syah untuk menjadi Permaisuri Melaka.

“Tapi saya olah dan langsung tidak mengambil sedikit pun sejarah berkenaan. Semuanya kisah baharu yang tidak ada kena mengena dengan kisah tersebut,” ungkap A Aida ketika ditemui di lokasi penggambaran drama ini minggu lalu.

Puteri Gunung Ledang (Aku Telah Jatuh Cinta) merupakan kisah Natasya lakonan Atikah Suhaime yang tinggal di kaki bukit Ledang. Dia yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap bijak agak lasak dan ada kala lebih bersifat seperti lelaki.

Namun, jika sesekali dia berdandan dan bersolek, pastinya kebanyakan pemuda kampung akan terpikat dengan kecantikan yang dimiliki oleh Natasya dan memanggilnya Puteri Gunung Ledang.

Seperti wanita lain, Natasya sering kali mengimpikan untuk menjadi model terkenal. Setiap kali dia mencuba nasib, dia gagal dan akhirnya bekerja sebagai kerani di sebuah agensi peragaan sahaja.

Nasibnya berubah apabila dia menjadi duta produk kecantikan secara tidak sengaja. Ramai yang mula jatuh hati dan terpikat pada kecantikan Natasya termasuklah majikannya Rayyan (Ammar Alfian Aziz).

Rayyan seorang lelaki yang kacak tetapi bersikap ‘kaki perempuan’. Dalam masa yang sama dia mempunyai ramai teman wanita tetapi tertarik kepada kecantikan Natasya.

Mereka berkenalan secara lebih dekat tetapi Natasya meletakkan tujuh syarat untuk membuktikan cintanya.

Gimik

BERCERITA lanjut mengenai drama berkenaan, A Aida tidak menafikan cinta remaja menjadi intipati utama produknya kali ini. Tidak seperti drama-drama terbitannya sebelum ini, dia menyuntik banyak elemen segar sesuai dengan saluran HyppTV.

Ketika ditanya tentang penerimaan peminat pula, A Aida tidak merasakan saluran berkenaan kekurangan penonton jika mahu dibandingkan dengan stesen televisyen komersial yang lain.

“Saya faham dengan persepsi orang bila melibatkan saluran baharu seperti ini. Mungkin orang boleh bercakap saya akan kekurangan penonton jika mahu di bandingan dengan saluran yang lain.

“Saya tidak ada masalah untuk menghantar karya saya ke mana sahaja. Soal penonton bukan menjadi masalah besar asalkan produk yang saya hasilkan berkualiti dan mampu menarik perhatian penonton.

“Mana tahu dengan kehadiran produk-produk berkualiti di saluran berkenaan mampu menarik lebih ramai pelanggan selepas ini,” ungkapnya lagi.

Selain Atikah Suhaime dan Ammar Alfian Aziz, drama ini turut dibintangi oleh Sabhi Saddi, Keena Mentor, Mazlan Mokhtar, Mimi Ernida, Idris Khan, Dottie, Afzan, Amyza Aznan, Aida Khalida dan beberapa nama lain.

Melihatkan barisan pelakon berkenaan, pastinya perhatian diberikan kepada pelakon bertubuh sasa atau lebih dikenali sebagai ‘abang sado’ yang mendominasi drama ini.

Bagi A Aida, sudah pasti itu merupakan percaturan yang dibuat olehnya untuk menarik perhatian penonton dengan menampilkan pelakon lelaki yang bertubuh sasa sebagai daya penarik utama.

“Memang ini daya penarik yang cuba kita lakukan melalui drama ini. Saya anggap ini sebagai gimik untuk menarik perhatian penonton dengan membariskan pelakon-pelakon sasa sebagai tunjang utama.

“Pun begitu mereka tidak sekadar menjual muka dan tubuh badan tetapi mestilah mampu melakonkan watak ini dengan baik. Itu juga kita ambil berat,” tambahnya yang menggunakan khidmat komposer Eddie Hamid untuk runut bunyi.

Puteri Gunung Ledang (Aku Telah Jatuh Cinta) bakal ditayangkan setiap hari Isnin dan Selasa, pukul 9 malam di saluran 116 HyppTV.