Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

#Kimcy kembali beraksi

KUALA LUMPUR 20 Mei 2017 - Sesi fotografi Akim, Stacy bersama 2
Akim, Stacy bersama anaknya, Eshaal dan Bella pada Majlis akikah di D'alpinia

Bagi yang tidak tahu, #Kimcy adalah gabungan nama untuk pasangan penyanyi Akim dan Stacy yang diberikan oleh peminat mereka.

Ternyata selepas berkahwin, pasangan ini banyak menerima undangan untuk menyanyi bersama-sama sehinggalah Stacy berehat selepas melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Eshaal.

Selepas beberapa bulan berehat, Stacy mengakui sudah tiba masanya untuk dia kembali beraksi dalam industri hiburan tempatan.

Terkini, Stacy bersama-sama Akim & The Majistret akan menjayakan konsert Riuh Raya IJM Land yang akan berlangsung di IJM Land, Seremban 2, Negeri Sembilan pada 15 Julai ini.

“Sebenarnya saya masih lagi mendapatkan semula stamina untuk menyanyi dan beraksi di pentas.

“Banyak perkara yang perlu saya lakukan selepas bersalin bagi mendapatkan kembali tubuh ideal saya dan semua itu memerlukan masa dan usaha yang gigih,” katanya yang naik berat badan dari 52 kilogram 
(kg) ke 70 kg semasa mengandung.

Menurut Stacy, dia mengambil kesempatan sepanjang Ramadan lalu bukan sahaja untuk beribadah tetapi juga cuba menurunkan berat badannya.

Kini, dia semakin menghampiri berat badan asal tetapi Stacy menegaskan, yang dilakukan ini bukan sekadar untuk bentuk badan sahaja.

“Banyak perkara yang saya lakukan termasuklah bersenam, berenang dan sebagainya. 
Tetapi itu bukan untuk badan sahaja.

“Sebagai penyanyi, stamina adalah sesuatu yang amat penting dan sebab itu saya kena kerap bersenam dan kembalikan tenaga setelah sekian lama berehat,” jelasnya.

Sudah memulakan aktiviti seni, jelas Stacy, dia cuba memberikan yang terbaik setiap kali diundang untuk menyanyi.

“Saya sudah sedia untuk (kembali) menyanyi tetapi masih berusaha untuk mencapai tahap yang terbaik dalam setiap persembahan saya.

“Mujur untuk konsert di IJM nanti, saya akan beraksi bersama dengan Akim & The Majistret.

“Sekurang-kurangnya tidaklah rasa gementar untuk menyanyi di hadapan peminat semula,” katanya tertawa.

Menjadi ibu kepada dua orang anak, belum terlintas di hati penyanyi wanita ini untuk memperlahan langkahnya dalam dunia nyanyian. Sebaliknya dia lebih bersikap selektif dan cuba membahagikan masa sebaik mungkin untuk kedua-dua cinta hatinya.

“Saya tidak mahu terlalu sibuk sehingga meninggalkan anak-anak. Apabila Akim terlalu sibuk, mungkin saya akan bergerak sedikit perlahan. Kalau boleh, biarlah ada salah seorang di rumah dengan anak-anak. Lagipun mereka masih kecil dan perlukan perhatian,” jelasnya.

Dalam pada itu, jelas Akim pula, sebuah single yang ditujukan khas untuk anak juga sedang dalam proses rakaman. Lagu bertajuk Anugerah itu akan dinyanyikan dengan kumpulannya, Majistret.

Menurut perancangan, jelas Akim, Stacy juga sepatutnya muncul dengan sebuah single berjudul Mahkota Hati semasa dia mengandung.

“Lagu itu memang ditujukan khas untuk Eshaal sewaktu dia dalam kandungan. Tetapi hajat itu tidak kesampaian,” jelas Akim.

Stacy memberitahu, suaranya ketika itu tidak mencapai kemahuannya walaupun proses rakaman sudah dilakukan.

“Suara saya masa itu memang tak sampai sebab itu saya akan lakukan semula rakaman lagu tersebut selepas ini.

“Mungkin lagu itu akan dimasukkan dalam album saya nanti,” jelasnya.

Lebih selektif

Lama tidak hadir dengan single baharu, Stacy akui persoalan itu kerap ditanya oleh peminatnya dan dia sendiri sudah lama mencari lagu baharu untuk dinyanyikan. Tetapi disebabkan waktu yang terhad terutama sebelum dan selepas mengandung, Stacy menangguhkan seketika niatnya itu.

Ketika dia mula berfikir untuk kembali aktif, Akim tampil memberikan single yang bertajuk Cakap Ke Tangan.

“Banyak yang perlu difikirkan ketika mengandung dan selepas bersalin. Sebab itu saya tangguhkan dahulu perancangan melahirkan single baharu sehingga semuanya kembali teratur. Apabila saya rasa sudah sedia untuk kembali aktif, kebetulan pula Akim berikan saya lagu dan saya suka dengan irama lagu itu,” jelasnya.

Cakap Ke Tangan merupakan sebuah lagu rancak yang amat sesuai dengan Stacy yang sinonim dengan gerak tari dan menurut Akim, isterinya sudah lama meminta kepadanya sebuah lagu. Namun disebabkan kesibukan dengan aktiviti seni membataskan dia untuk berkarya.

“Ramadan tempoh hari saya banyak luangkan masa di studio untuk siapkan lagu-lagu yang diminta penyanyi lain termasuklah lagu yang dicipta khas untuk Stacy. Lagu ini bukan lagu yang sudah ada dalam simpanan tetapi baru dicipta dan mencerminkan gaya dan kemahuan Stacy,” katanya.

Pernah mempunyai lagu berentak perlahan seperti Pelangi Senja sebelum ini, Stacy mempunyai dilema tersendiri untuk mengelak daripada menyanyikan lagu-lagu berentak sebegitu.

Bukannya langsung tidak mahu menyanyikan genre itu sebaliknya kata Stacy, lagu berentak perlahan hanya akan fokus kepada stamina dan suara sahaja.

“Ketika ini saya memang perlukan lagu-lagu rancak yang membolehkan saya menari sebagai salah satu cara untuk kembalikan aksi persembahan seperti yang dahulu.

“Kalau lagu perlahan, saya pun akan jadi ‘perlahan’. Perlahan itu bermaksud tidak menjaga tubuh badan sebab hanya beri fokus suara dan stamina sahaja,” jelasnya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan