Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SEBENARNYA, seronok berbual dengan si jantung hati Farid Kamil ini. Percayalah, kalau diajak berbicara mengenai perihal kewanitaan, Diana Danielle pastinya tidak akan menolak.

 Diana Dianalle

Malah teruja untuk berkongsi pandangan, idea dan butir bicara bernas andai ia mampu menjadi satu perkongsian yang bermanfaat untuk semua. Ternyata, dia yang mesra disapa sebagai D ini semakin matang sebagai seorang wanita.

Tak salah kalau dikatakan, kebijaksanaan dan kematangannya itulah yang menjadikan dirinya penuh dengan aura dan semakin dilihat semakin cantik. Bertuah badan.

Lembut bicaranya, D, terbuka untuk berkongsi pandangan mengenai kisah perceraian di usia yang muda yang mana baginya, kes seperti ini banyak berlaku pada waktu ini tanpa mengenal sesiapa pun.

Sedar bahawa kadangkala ada yang menganggap perkataan 'cerai’ itu sendiri adalah sesuatu yang tabu di kalangan masyarakat, D bagaimanapun tidak kekok atau malu untuk berbual mengenai perihal ini yang mana sebelum ini pernah terpalit tempias pada hubungannya dengan Farid.

Pernah mengejutkan banyak pihak mengenai kegoyahan rumahtangganya di fasa penghujung tahun lalu, D, mengakui sepatutnya mana-mana pasangan harus terbuka untuk berbicara mengenai hal ini tidak cuma pada pasangan yang berkahwin di usia muda.

“Saya seorang feminist. Berbual mengenai hal ini tidak pernah menimbulkan rasa kurang senang kerana bagi saya, ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Ketika ini, banyak berlaku ketidakseimbangan dari banyak segi dalam hubungan. Lelaki dan wanita tidak tahu tugas dan tanggungjawab mereka.

“Sudahnya, masing-masing bergaduh dalam diam, sakit hati dan mula menuduh satu sama lain. Saya sendiri pernah rasa dan saya percaya, tanpa komunikasi yang baik dan sifat sabar yang tinggi dalam diri masing-masing, hubungan mudah retak,” katanya.

Bagaimanapun, kata D, dia bersyukur dikurniakan Farid sebagai suami di sisi kerana kematangan Farid menjadikan mereka saling mahu berusaha memperbaiki hubungan yang telah dibina.

“Walau macam mana pun, Farid adalah individu yang merasakan perkahwinan itu seharusnya sekali sahaja seumur hidup dan kerana itu, kami bertahan. Walaupun baru empat tahun berkahwin, tetapi percayalah, macam-macam yang telah kami lalui. Sebab itu saya katakan, saya memahami perasaan mana-mana pasangan muda yang berkahwin kemudian mengalami masalah di pertengahan.

“Saya lihat contoh di sekeliling, kawan-kawan misalnya, mereka tertekan kerana baru memulakan kehidupan bersama pasangan dan kebiasaannya, punca perceraian adalah disebabkan kewangan, terutama pasangan muda.

“Kalau tak mempunyai kesabaran yang tinggi memang susah. Dan perempuan, biasanya harus lebih banyak berkorban. Sebab itu, bila masalah berlaku antara hubungan saya dengan Farid sebelum ini, saya tidak berselindung, saya akui kami hampir gagal menyelamatkannya.

“Bila ada yang bertanya, saya berterus-terang sebab ia adalah satu masalah yang normal. Akan ada fasa ini dalam hubungan suami isteri namun harus anda tahu bagaimana mahu mengendalikan dengan baik.

“Adakah mahu melepaskannya? Teruskan kehidupan baru atau bagaimana? Kalau nak berkahwin dengan orang baru sekali pun, masalah lama perlu diselesaikan dahulu, dari akarnya. Tapi saya sentiasa percaya, masing-masing kena tahu tanggungjawab,” ungkapnya satu persatu.

Dalam pada itu, memulakan langkah tahun baru dengan keazaman mahu dikenali sebagai penyanyi, D, yang baru sahaja menghasilkan single sulung berjudul Tentang Kita juga mengakui karya ciptaan DJ Fuzz itu punya kaitan dengan kehidupannya dengan Farid.

Menguntum senyuman, kata D, lagu tersebut adalah mengenai kerinduan antara pasangan dan percaya atau tidak, Farid sebenarnya baru sahaja mengetahui bahawa nyanyian merupakan cinta pertama D sebelum lakonan.

“Dia terkejut bila saya beritahu mengenai hal ini. Iyalah, sebelum ini tak pernah saya terlalu hebohkan yang saya suka menyanyi. Dia tak halang niat saya untuk teruskan impian ini sebab katanya bila lagi nak buat?

“Farid faham yang saya pun ada minat dan kemahuan yang mahu dikejar sebagai anak seni dan dia juga begitu. Maka ia tak jadi masalah untuk dia terima bahawa saya nak menyanyi sekarang, biarlah orang kata lambat nak mulakan, bila dia katakan begitu, saya pun lebih bersemangat untuk teruskan impian ini,” katanya.

Memperlahankan kerjaya lakonan, kata D, dia mahu fokus pada dunia nyanyian pada waktu ini kerana melihat ia tidak mengambil banyak komitmen masa berbanding lakonan.

Bagaimanapun ia tidak bermakna D sudah tidak mahu berlakon dan ini jawapan yang diberikan oleh si manis ini.

“Sebagai anak seni seharusnya saya tidak patut meletakkan had pada cabang seni. Kalau tak cuba, macam mana nak tingkatkan rasa sifat ingin tahu dan nak lebih berjaya? Satu yang menarik dalam seni ni, kita punya banyak cabang yang boleh kita cuba jadi rugilah kalau tak mencuba,” katanya yang menjadikan pelakon Nur Fazura sebagai inspirasinya.

Mengakui menyanyi juga membolehkan dia meluangkan banyak masa dengan dua permata hati, Muhammad, 4, dan Nur Aurora, 1, naluri keibuan D ternyata mahu melihat anak-anak membesar di depan mata.

Saya seorang feminist. Berbual mengenai hal ini tidak pernah menimbulkan rasa kurang senang kerana bagi saya, ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Ketika ini, banyak berlaku ketidakseimbangan dari banyak segi dalam hubungan. Lelaki dan wanita tidak tahu tugas dan tanggungjawab mereka.

 

Berdiri sendiri

Menyelami perasaannya lebih lanjut, kata D yang berusia 26 tahun, demi menjaga hubungan dengan suami, D sedar sebagai isteri dan ibu, dia perlu lebih banyak bersifat memahami dan tidak terlalu bergantung kepada kudrat suami.

Mengambil contoh soal kewangan, kata D, kerana itu dia sering percaya, wanita perlu tahu untuk berdikari dan bijak mencari peluang kerja sendiri tanpa perlu mengharap pada satu sumber kewangan sahaja, iaitu nafkah dari lelaki.

“Saya berpegang pada kata, rezeki kalau Tuhan nak bagi sikit, maka sikitlah ia, kalau banyak, banyaklah. Jangan pernah persoalkan pemberian Tuhan cuma apa yang kita boleh buat ialah berdoa sentiasa dimurahkan rezeki. Andai kata saya berkahwin dengan orang kaya sekali pun, kalau Tuhan nak tarik sekelip mata saja Dia boleh lakukan.

“Saya tak cari kekayaan atau kesenangan mewah tetapi saya akui, sebagai manusia, kita memang susah nak bersyukur. Itulah kelemahannya. Namun, saya bersyukur kerana memulakan kerjaya di usia yang muda dan tak bergantung pada suami semata.

“Bukannya saya tak mahu bergantung pada Farid, cuma saya fikir, kalau dia tiba-tiba sakit, apa akan jadi? Takkanlah ketika itu baru saya terfikir nak lakukan sesuatu,” katanya.

Mengambil pendekatan bahawa dia terbiasa menjalani kehidupan sebagai seorang wanita yang berdikari, kata D, latar belakangnya sebagai anak kepada seorang ibu tunggal juga menyumbang kepada tindakannya hari ini.

“Sebarang kemungkinan boleh berlaku dan mana tahu, tiba-tiba hati lelaki itu berubah dan terbuka untuk orang lain, dia mengalami kecacatan atau apa. Kita memang tak minta ia berlaku tetapi kita sebagai wanita perlu tahu apa yang perlu dilakukan.

“Sebab itu wanita kena sentiasa bersedia. Masih saya ingat lagi, ketika menyertai kursus kahwin dulu, apa yang ditekankan ialah, wanita kena tahu hak mereka. Sebab itulah saya lebih suka berdikari dan tahu cari duit sendiri.

“Yang penting, saya dan Farid tahu kami masing-masing berjuang untuk keluarga dan anak-anak dan tidak mahu menyusahkan orang lain. Tak perlu ungkit mengenai kesabaran dalam hubungan kerana saya tahu, ada ramai lagi pasangan di luar sana yang punya masalah lebih berat kalau nak dibandingkan dengan apa yang saya lalui. Apa pun, saya bersyukur dengan segala nikmat Tuhan berikan,” tambahnya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan