Menariknya, filem yang mengangkat kisah bekas Presiden Indonesia itu benar-benar melekat di hati khalayak sehingga berjaya menarik hampir lima juta peminat untuk menyaksikan mereka di panggung.

Gandingan itu sekali lagi diterjemah di layar lebar menerusi filem My Stupid Boss. Pastinya keserasian antara dua pelakon utama ini bakal diuji sekali lagi menerusi naskhah komedi karya sutradara Upi.

Berdebar menantikan maklum balas peminat, pastinya kedua-dua pelakon ini mengharapkan sambutan luar biasa. Mereka juga sudah bersedia untuk menerima kritikan sekiranya kemunculan kali ini tidak memenuhi skala yang diharapkan oleh peminat.

Komedi cara sendiri

TERKENAL sebagai pelakon yang penuh karisma merupakan antara pengiktirafan yang sering diraih oleh lelaki ini. Dunia perfileman bagaikan sudah sebati dalam diri sehingga membuatkan namanya sering kali menjadi pilihan kebanyakan sutradara.

Kehebatan Reza Rahadian tidak hanya tertumpu kepada filem Habibie & Ainun sahaja malah pelakon yang berusia 29 tahun ini sebenarnya sudah mencipta nama di tanah kelahirannya dengan puluhan buah filem sejak mula menempatkan diri pada 2004.

Pastinya ingatan khalayak masih tertumpah kepada filem lakonannya seperti Perempuan Berkalung Sorban, Hafalan Shalat Delisa, Perahu Kertas, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Emak Ingin Naik Haji.

Menerusi filem baharunya ini, Reza turut sama meletakkan harapan besar untuk melihat naskhah My Stupid Boss mendapat perhatian peminat seperti yang pernah diraih sebelum ini.

“Ada yang bertanya mengapa saya sanggup menerima tawaran untuk filem komedi begini. Mungkin mereka sudah biasa melihat saya melakonkan watak serius yang lebih dekat dengan kehendak masing-masing.

“Sebagai pelakon saya perlu mencari kelainan agar tidak terlihat sama dalam filem terdahulu. Sebab itu apabila sudah membaca sinopsis filem ini, saya terus memberikan persetujuan kepada Upi.

“Tambahan pula gandingan dengan Bunga, pastinya tidak ada sebab untuk saya menolak filem ini,” katanya ketika ditemui awal minggu lalu.

Selain mereka berdua, My Stupid Boss turut dilakonkan oleh Alex Abbad, Bront Palarae, Atikah Suhaime, Chew Kinwah dan Iskandar Zulkarnain.

Berdasarkan kisah benar yang ditulis melalui sebuah blog sebelum ini, My Stupid Boss sudah diterbitkan dalam empat jilid sejak 2009.

Menjalani penggam­baran sekitar Kuala Lumpur penghujung tahun lalu, Reza turut menyatakan yang dia terpaksa menambah berat badan sebanyak tujuh kilogram semata-mata mahu menghidupkan watak Bossman yang digambarkan sebagai lelaki gemuk, menjengkelkan dan berkepala botak.

“Setiap hari saya memerlukan dua jam untuk bersiap sebelum penggambaran bermula. Selain perlu menambah aksesori untuk kelihatan berisi, pastinya solekan di kepala juga mengambil masa yang lama untuk kelihatan benar-benar botak.

“Walaupun terpaksa bersiap lama sepanjang penggambaran, saya tak ada masalah dan seronok melakukannya. Ini betul-betul menjadi pengalaman baharu buat saya secara peribadi,” jelas Reza.

Pun begitu, Reza tidak menafikan yang dia berasa geli saat melihat wajahnya menerusi filem berkenaan. Katanya, dia sendiri tidak dapat menerima hakikat jika badannya sebesar itu.

Ketika ditanya mengenai gandingan dengan pelakon dari Malaysia, Reza menganggap mereka yang terlibat mempunyai kekuatan, disiplin dan mampu membawakan watak dengan baik.

Reza pernah bergandingan dengan Bront menerusi drama bersiri Half World yang disiarkan di saluran HBO sedikit masa lalu dan pastinya gandingan kali ini bukan sesuatu yang asing.

“Tidak mudah sebenarnya untuk terlibat dalam naskhah komedi begini. Rasanya lebih sukar untuk membuat orang ketawa berbanding dengan emosi lain. Tapi saya telah sedaya upaya memberikan kelainan agar penonton yang hadir nanti puas hati,” katanya lagi.

My Stupid Boss sudah ditayangkan secara serentak di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura bermula 19 Mei lalu.

Tanggungjawab 
 

MENGAKUI yang filem ini benar-benar menguji mutu lakonannya, Bunga tidak menolak yang filem komedi seperti ini juga tidak boleh dipandang remeh walaupun isi ceritanya santai dan bersahaja.

Bagi pelakon wanita ini, setiap filem yang disertai pasti akan dilakukan sebaik mungkin meskipun ada kala menuntut pengorbanan yang besar untuk meyakinkan penonton bahawasanya dia juga boleh membawakan apa sahaja watak.

“Sebelum masuk ke set, kami (pelakon) sudah membuat latihan selama sebulan. Sejak latihan lagi saya sendiri tidak henti-henti ketawa apabila menyaksikan Reza dan rakan-rakan yang lain membuat lawak dan sebagainya.

“Memang ini adalah cabaran yang paling besar untuk saya. Saya ketawa apabila melihat mereka berjenaka tetapi pada masa yang sama saya juga perlu membuat penonton terhibur. Mungkin ini juga antara cabaran terbesar yang saya hadapi melalui filem ini,” kata Bunga.

Mengenai gandingan dengan Reza, Bunga tidak menafikan yang antara mereka sudah mempunyai keserasian sejak membintangi filem Habibie & Ainun. Malah, antara mereka juga sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan masing-masing yang harus ditampung.

Tidak pernah memilih siapa gandingan yang dipadankan dalam filem, Bunga akan mengambil tanggungjawab tersebut untuk memberikan yang terbaik tanpa memikirkan siapa pun pasangannya.

“Dengan Reza akan jadi satu kelebihan memandangkan kami sudah mengenali antara satu sama lain. Kalau dengan hero baharu, mungkin saya perlu mengambil masa untuk mengenali dan mencari keserasian itu.

“Tidak semua produksi memperuntuk masa untuk kita mencari keserasian. Sebab itu saya lebih selesa bekerja dengan orang yang saya sudah biasa kerana itu lebih memudahkan urusan,” tegasnya.

Ketika ditanya mengapa dia tidak bergandingan dengan suaminya, Ashraf Sinclair dalam produksi di sana, Bunga mempunyai alasan tersendiri tentang hal yang satu itu.

Baginya cukuplah mereka digandingkan menerusi filem Saus Kacang sebelum bernikah dahulu kerana tak mahu peminat bosan melihat mereka bergandingan di ruangan lakonan pula.

Ibu kepada Noah Sinclair ini mengakui yang dia dan Ashraf sudah beberapa kali bergandingan dalam iklan komersial dan dilantik sebagai duta produk.

Jadi kerasian mereka tidak perlu berlarutan dalam naskhah filem walaupun ada permintaan untuk itu.