Biarpun wujud pelbagai konflik rumah tangga yang dipaparkan namun elemen pengajaran menjadi tunjang dalam penyampaian naskhah berkenaan.

Ini kerana menurut penerbitnya, Siti Rohayah Attan, dia enggan mencetuskan kontroversi yang berpotensi menyebabkan banyak pihak kurang senang dengan naskhah berkenaan.

Sementelah menerima banyak maklum balas daripada peminat tegar novel adaptasi yang mahu pementasan itu berbaur positif, Siti Rohayah berkata:

“Prinsip mengadaptasi novel yang perlu ditekankan adalah tidak boleh sewenang-wenangnya menokok tambah elemen di luar jalan cerita novel tersebut.

“Tambahan pula pihak CTRA Production sudah ada perjanjian bertulis dengan penulis novel, Fauziah Ashari yang dibuat sebelum ini.

“Selepas proses penelitian kandungan, penulis skrip, Rosminah Mohd. Tahir dan saya memilih untuk mengangkat jalan cerita yang mempunyai nilai murni untuk paparan penonton.

“Usaha itu bersesuaian dengan penonton yang terdiri daripada pelbagai usia dan latar belakang yang bakal menonton Ombak Rindu... Tiada Penghujung,” katanya.

Menyangkal sekeras-kerasnya karya terbitannya itu banyak menerapkan elemen romantik, Siti Rohayah menegaskan, keseimbangan menjadi pilihan utama dalam naskhah yang diangkat di layar perak itu.

Tidak bersikap prejudis dengan nasib wanita yang ditindas golongan lelaki, Siti Rohayah mahu berkongsi keperitan seorang wanita yang berada dalam konflik perkahwinan.

Garapan wanita yang melalui pel;bagai onak duri di alam rumah tangga itu dipikul oleh Uqasha Senrose yang memegang watak Izzah.

Aktres itu bergandingan dengan Keith Foo yang memegang watak Hariz.

“Dalam alam perkahwinan, sudah pastilah timbul pelbagai konflik yang membadai pasangan suami isteri. Kita paparkan konflik yang sedang dihadapi Izzah.

“Babak romantik antara Izzah dan Hariz tidak banyak dalam pementasan teater ini. Cuma kita boleh lihat perjalanan kehidupan Izzah selepas mengumumkan perkahwinannya.

“Satu demi satu dugaan yang perlu dilalui Izzah tambahan pula selepas melalui satu kejadian hitam dalam hidupnya,” kata Siti Rohayah.

Latihan

BIARPUN majoriti pelakon Ombak Rindu... Tiada Penghujung adalah baharu namun Siti Rohayah tidak pernah meragui kemampuan bakat masing-masing.

Malah dia percaya melalui sesi latihan yang intensif membolehkan para pendukung watak mendapatkan mood masing-masing sebelum panggung dibuka untuk tontonan.

Sesi latihan untuk pementasan itu sudah diadakan sejak hujung bulan lalu secara berperingkat-peringkat membabitkan pelakon utama diikuti pelakon yang lain.

Latihan tersebut meliputi sesi vokal dan fizikal bagi memantapkan lagi lakonan masing-masing.

Dengan bimbingan pengarah, A. Aris A. Kadir, Siti Rohayah percaya kelemahan setiap pendukung watak utamanya dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

“Selain Uqasha dan Keith, Nonny Nadirah juga pelakon yang buat pertama kalinya berada di pentas teater.

"Mereka bertiga inilah yang diberi latihan sewajarnya.

“Kita bertuah sebab ada pelakon lama, Zaidi Omar dan Mak Wan yang melengkapkan keseluruhan teater ini.

"Pengalaman dan tunjuk ajar daripada mereka amat berguna buat pelakon lain,” ujarnya.

Pementasan Ombak Rindu... Tiada Penghujung juga membabitkan penyertaan Nad Zainal, Zarina Zainoordin, Karl Shafek, Izzue Islam, Aris Lufias dan Ameer (Forteen).- Foto MOHD. NAIM AZIZ